Wednesday, August 29, 2007

Pisang penawar penyakit

Buah paling digemari penduduk dunia mempunyai 1,001 khasiat, kaya
pelbagai vitamin

PISANG pada mulanya adalah sejenis tumbuhan liar di Asia Tenggara, kini
berjaya dikomersialkan. Buah-buahan berkenaan bukan saja mengenyangkan
malah boleh mengatasi masalah sembelit. Selain mudah didapati dan murah
di pasaran, pisang juga antara buah-buahan yang berpotensi membekalkan
serat, vitamin A serta menjadi makanan ruji masyarakat Afrika.

Pelbagai jenis masakan boleh dihidangkan melalui pisang dengan cara
merebus, menggoreng atau dibuat pengat, lepat, koleh serta
jemput-jemput. Bunyinya sangat sedap dan sudah pasti enak!. Tetapi awas!
Sungguhpun pisang sedap dimakan dan baik untuk kesihatan serta membantu
merawat penyakit tertentu, ia bagaimanapun tidak elok dimakan oleh
pesakit kencing manis. Ini kerana kandungan gula di dalam pisang adalah
tinggi.

Tahukah anda, ada lebih 20 jenis pisang di dunia. Tetapi pisang nipah,
nangka, abu, mas, tanduk raja, embun biasa didengari. Namun pisang
talang, kapas, awak, susu, berangan, kari, embun, kelat keling, rastali,
talang, khaki, kapas, lidi, lemak manis kurang biasa kita dengar,
terutama bagi mereka yang tinggal di bandar.

Ketua Diatetik dan Pemakanan Khasiat, Universiti Perubatan Antarabangsa
(IMU), Prof. Dr. Fatimah Arshad, berkata seperti yang kita tahu, semua
pisang boleh dimakan, bagaimanapun ada berapa jenis pisang yang tidak
boleh dimakan iaitu pisang pisang hutan kerana banyak biji atau pisang
muda.

"Ada pisang yang dimakan mentah dan ada juga tidak boleh dimakan mentah
antaranya pisang tanduk, nangka, abu, lidi dan kapas," katanya ketika
dihubungi, baru-baru ini.

Beliau berkata, pemakanan pisang memberikan banyak khasiat kepada tubuh
badan kerana secara keseluruhannya ia mengandungi tenaga, vitamin A,
serat, vitamin C dan Kalsium.

"Sebagai contoh, 2 biji pisang emas mengandungi 100 kalori, 73gram (g)
air, 1.4g protein, 23 g karbohidrat, 1.7 g serat, 380 mikro gram (mg)
karoten (pre vitamin A), 63 RE vitamin A, 8.3 mg vitamin C dan 342 mg
kalium," katanya.

Khasiat pisang sudah tentu boleh membekalkan tenaga. Pisang mengandungi
asid, enzim, dan sebatian kimia penting. Ia juga mengandungi tiga jenis
gula semula jadi iaitu sukrosa , fruktosa dan glukosa. Gula semula jadi
ini amat penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

Menurut Persatuan Pisang Antarabangsa, pula pisang mengandungi
magnesium, fosforus, iodine, kuprum, vitamin B1, B2, B6 & C, niasin, dan
folat. Penyelidikan yang dijalankan membuktikan dua biji pisang boleh
membekalkan tenaga untuk kita melakukan kerja atau senaman berat selama
90 minit. Seribu satu khasiat pisang kurniaan Allah kepada manusia.
Tidak hairanlah pisang amat popular di kalangan atlet kerana ia
membekalkan tenaga yang cukup ketika mereka beraksi dalam apa saja
pertandingan sukan.

Pisang adalah buah yang paling digemari penduduk seluruh dunia. Ia juga
mampu menawarkan penyakit dan boleh membantu dalam kesihatan manusia.

FAKTA

Daun pisang
* Digunakan sebagai alas makanan kerana menghasilkan bau yang harum
apabila terkena makanan yang panas.
* Digunakan sebagai pelindung hujan
* Pembalut kuih atau masakan seperti ikan bakar atau kuih lepat.
* Batang pisang
* Digunakan untuk membuat rakit.
* Mempunyai gentian yang banyak dan boleh diproses secara perdagangan
untuk membuat tali dan bahan seumpamanya seperti guni.

Buah pisang
* Boleh dimakan masak atau diambil semasa muda untuk dimasak sebagai
lauk, digoreng, dibuat sira, dibuat pengat, dan dijadikan kerepek.

Jantung pisang
* Dibuat sebagai ulam selepas dicelur.

FAKTA
Khasiat pisang dari sudut kesihatan
* Darah tinggi dan strok - pisang membantu menurunkan tekanan darah
tinggi kerana kandungan potasiumnya yang tinggi.
* Kolestrol - pisang rendah dari segi kalori lemak dan sodium yang
membantu merendah kolestrol.
* Cirit-birit - potasium dan magnesium yang terkandung di dalam pisang
amat sesuai merawat orang yang mengalami cirit-birit.
* Anaemia - anaemia ialah penyakit kurang darah. Oleh kerana pisang
kaya dengan zat besi, ia boleh merangsang penghasilan haemoglobin di
dalam darah.
* Kemurungan - orang yang sedang murung lebih cepat ceria apabila makan
pisang. Ini kerana kandungan sejenis protein membantu kita menjadi
tenang.
* Pening-pening - cara paling cepat merawat rasa pening-pening ialah
dengan meminum minuman susu pisang kocak (banana milkshake) yang
dicampur madu. Minuman ini bukan sahaja merawat malah sedap.

INFO
* Pisang yang paling sesuai dimakan untuk menjaga kesihatan ialah
pisang yang masih ada warna hijau di hujungnya.
* Disebabkan permintaan dunia terhadap pisang terlalu tinggi, banyak
hutan rimba telah diteroka dan dibersihkan untuk dibuka ladang penanaman
pisang.
* Jika anda digigit nyamuk, cubalah gosokkan bahagian dalam kulit
pisang pada tempat yang digigit.
* Pisang boleh diberi pada bayi seawal usia tiga bulan sebagai makanan
pejal kerana mudah dihadam.

100 gram pisang menyediakan
* 1.2 gm protein
* 0.3 gm lemak
* 17 mg kalsium
* 78 mg karotin
* 88 mg kalium
* 27.2 gm karbohidrat
* 0.4 gm fiber
* 116 kcal tenaga.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: