Wednesday, August 29, 2007

NIBUNG TEBAL, 24 Ogos 2007 (Hrkh) - Imam dan bilal Masjid Jamek Tasek
Chempedak, Simpang Empat Seberang Perai Selatan (SPS) Haji Shabudin Haji
Ismail, 65, dan Zakaria Rejab, 60, yang dituduh mengimami solat jemaah
tanpa tauliah pada 27 Jun lepas terkejut apabila pertuduhan yang
dikenakan terhadap mereka tidak didaftarkan ke Mahkamah Rendah Syariah,
Jawi pagi tadi.

Mereka yang datang diiringi bersama kira-kira 250 orang terpaksa menunggu
kira-kira 45 minit di perkarangan mahkamah untuk mendengar kes tetapi
sebaliknya kehadiran JHEAPP hanya untuk menunda tarikh sebutan kes pada
23 November depan pula.

Semua perbincangan antara JHEAPP, dua tertuduh dan Jawatankuasa Bertindak
diadakan di dalam Pejabat Pentadbiran Agama Seberang Perai Selatan yang
berada di bangunan bersebelahan.

Paling mengejutkan bila kedua-dua tertuduh masuk ke mahkamah pada jam
9.00pagi mereka diberitahu JHEAPP tidak mendaftarkan kes terbabit jadi
pihak mahkamah tidak membuat sebarang persiapan sepertimana lazimnya.

Yang DiPertua PAS Nibung Tebal, Haji Ismail Salleh berkata, pihak JHEAPP
tidak wajar bertindak sebegitu kerana tindakan itu membuktikan sikap
mereka yang tidak profesional dalam urusan pentadbiran.

Apa salahnya, JHEAPP menalefon kedua-dua tertuduh untuk memaklumkan
terdapat penundaan kes supaya tidak timbul perasaan buruk sangka di
kalangan anak qariah yang selama ini tidak puas hati dengan pemecatan dan
penangkapan imam untuk disoal siasat di Balai Polis Simpang Empat pada 29
Jun 2007.

"Kenapa JHEAPP tidak bersikap profesional dalam urus tadbir yang berkaitan
mahkamah.

"Surat pertuduhan mereka mengarahkan tertuduh hadir ke mahkamah pada hari
ini tapi bila kami datang pihak mahkamah kata kes tidak didaftarkan,"
ujarnya.

Dua orang imam tersebut didapati bersalah kerana melanggari arahan JHEAPP
sebagaiman yang termaktub dalam arahan pekeliling agar tidak mengimamkan
solat jemaah kerana tidak mempunyai tauliah.

Sebelum ini Haji Shabudin merupakan imam kedua masjid berkenaan dan beliau
dipecat pada 27 Jun lalu atas alasan yang sama manakala Rejab Zakaria
selaku bilal juga di dapati bersalah kerana pernah menjadi imam di masjid
berkenaan sedangkan beliau juga tidak pernah ditauliahkan sebagai imam.

Hadir sama untuk memberi sokongan ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri,
Ustaz Hafiz Nordin dan Ketua Dewan Pemuda PAS Nibung Tebal, Saudara Helmi
Harun. - mns

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: