Thursday, August 23, 2007

Turunkan harga minyak, agih untung Petronas

KUALA LUMPUR,20 Ogos 2007 (Hrkh) - Jika menang pilihan raya umum akan
datang, Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim berjanji kepada
rakyat untuk
menurunkan harga minyak yang semakin membebankan serta menekan kos sara
hidup, di samping mengagihkan keuntungan Petronas untuk membasmi
kemiskinan.

Demi memastikan kemenangan tersebut, beliau menyarankan kepada seluruh
rakyat mengembleng tenaga dan bekerjasama bagi merealisasikan matlamat
tersebut.

"Apa yang perlu adalah semua bekerja keras untuk memastikan kemenangan
pada pilihanraya akan datang," katanya ketika berucap di Pahang baru-baru
ini.

"Sudah tentu, semua golongan tidak mengira Melayu, Cina dan India akan
mendapat manafaatnya untuk dikongsi bersama," jelasnya.

Menurut Suara KeADILan online, beliau sebelum itu turut menyentuh isu
kepentingan menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang jelas merugikan
semua
pihak serta menguntungkan kroni tertentu dan perlu digantikan dengan
Agenda
Ekonomi Nasional yang mempunyai dasar yang lebih adil dalam pengagihan
ekonomi negara kepada semua tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Beliau yang digandingkan dengan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato' Tuan
Ibrahim Tuan Man memberi ceramah di hadapan 5,000 orang hadirin di Jengka
4,
Pahang.

Anwar dalam ucapannya turut menyelar tindakan kerajaan pimpinan Abdullah
Badawi membeli jet VVIP baru bernilai RM400 juta menggunakan wang rakyat
sedangkan jet yang sedia ada masih boleh dipakai.

Beliau menegaskan berkali-kali dalam ucapannya bahawa rakyat sekarang
sudah
semakin pandai dan tidak tahan lagi dengan keburukan kerajaan UMNO/BN.

Dalam masa yang sama,Anwar membidas Naib Ketua Pemuda Umno Khairy yang
didakwanya menyalahguna kuasa untuk mengaut kekayaan dalam usia yang
begitu
muda.

Anwar dengan tegas mengumumkan akan memfailkan saman terhadap Khairy di
atas beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat Khairy terhadapnya.

Katanya, beliau mempunyai bukti yang mencukupi untuk menyaman Naib Ketua
Pemuda Umno itu.

Anwar dalam ucapannya turut menafikan kehadiran beliau dalam arena politik
tanah air adalah untuk merampas jawatan menteri dan sebagainya.

Menurut Anwar, beliau telah melalui kehidupan di dunia yang tidak pernah
dirasai oleh orang lain, dari layanan sebagai Pemangku Perdana Menteri
hinggalah kepada layanan seperti binatang, diaibkan dan di penjarakan
selama enam tahun dimana makanan pun dibaling kepadanya seperti memberi
makanan kepada binatang.

"Saya telah melalui kehidupan daripada kehidupan mewah sebagai pemangku
perdana menteri hinggalah kepada kehidupan hina di penjara," katanya yang
dipetik daripada Suara Keadilan online.-Az


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: