Wednesday, August 29, 2007

KENYATAAN MEDIA BERSAMA

PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) iaitu gabungan wakil-wakil
NGO-NGO Islam yang prihatin dalam menangani pelbagai isu-isu berkaitan
dengan kedudukan Islam di Malaysia. Mesyuarat pada 16 Julai 2006 telah
memutuskan untuk menubuhkan gabungan tersebut sebagai rangkaian gerak
kerja bersama organisasi Islam di Malaysia. Hingga kini 80 NGO gabungan.
Laman web rasmi: www.myislamnetwork.net

ALLIED COORDINATION COMMITTEE OF ISLAMIC N.G.O.s (ACCIN)
Al-Hidayah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Belia PERKIM, GEPIMA,
Islamic Information and Services (IIS), Jamiyah, Jemaah Islah Malaysia
(JIM), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Persatuan
Al-Hunafa, Persatuan Darul Fitrah Malaysia, Persatuan Ulamak Malaysia
(PUM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT),
Research & Information Center of Islam (RICOI), World Assembly of Muslim
Youth (WAMY)
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kenyataan Bersama Pertubuhan-Pertubuhan Islam Menolak Merdeka Statement
CPPS, ASLI .


Kami, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Allied
Coordinating Committee for Islamic NGOs (ACCIN), dua gabungan terbesar
pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia yang dianggotai oleh lebih 100
buah pertubuhan, menolak Merdeka Statement in Commemoration of
Malaysia's 50th Anniversary of Independence yang disediakan oleh Centre
for Public Policy Studies, Asian Strategy and Leadership Institute
(ASLI) dan disokong oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan di negara
ini, yang turut cenderung untuk merombak terma-terma penting Kontrak
Sosial yang telah dipersetujui oleh kaum-kaum di Malaysia. Dokumen ini
didakwa bertujuan untuk melaksanakan Agenda Malaysia Baru (A New
Malaysian Agenda) dengan mengemukakan lapan strategi teras.

Antara lain, Merdeka Statement menganjurkan hak kebebasan beragama secara
mutlak tanpa mengambilkira Peruntukan Perlembagaan serta undang-undang
negeri dan persekutuan yang bertujuan mengawal penyebaran agama bukan
Islam di kalangan masyarakat Islam serta menggariskan
peraturan-peraturan tertentu mengenai pentadbiran undang-undang Islam di
Malaysia.

Saranan Merdeka Statement agar Majlis Raja-Raja Melayu mempertahankan hak
rakyat Malaysia untuk memilih agama yang mereka sukai serta menghapuskan
hukuman undang-undang terhadap individu yang melanggar undang-undang
Islam mempunyai maksud tersembunyi untuk menghalalkan amalan murtad di
Malaysia. Adalah aneh untuk menyarankan Raja-Raja Melayu, yang mempunyai
tanggungjawab di bawah Perlembagaan untuk memelihara kesucian agama
Islam, supaya mempertahankan amalan yang melanggar syariat Islam.

Dalam hubungan ini, saranan Merdeka Statement mengenai hak kebebasan
beragama secara mutlak, bukan sahaja bertentangan dengan semangat Kontrak
Sosial yang mempertahankan kedudukan istimewa Islam yang berada di bawah
naungan Raja-Raja Melayu sejak zaman sebelum merdeka lagi, malah tidak
mewakili pandangan majoriti masyarakat Islam di negara ini.

Beberapa saranan dalam Merdeka Statement mengenai usaha-usaha yang perlu
dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan
antara kaum (inter-ethnic) dan dalaman kaum (intra-ethnic) adalah
munasabah. Namun demikian strategi tertentu seperti pelaksanaan dasar
diskriminasi positif yang memberikan layanan istimewa kepada
pegawai-pegawai bukan Bumiputera dalam perkhidmatan awam adalah tidak
wajar.

Ini kerana dasar diskriminasi positif yang dilaksanakan untuk kaum
Bumiputera hanyalah di peringkat pengambilan ke jawatan-jawatan dalam
perkhidmatan awam, dan bukannya ketika mereka sudah berada dalam
perkhidmatan untuk tujuan kenaikan pangkat dan sebagainya. Pelaksanaan
dasar diskriminasi positif kepada pegawai-pegawai bukan Bumiputera
sepertimana yang disarankan dalam Merdeka Statement tentunya akan
menafikan hak munasabah pegawai-pegawai Bumiputera yang sudah berada
dalam perkhidmatan awam.

Adalah tidak munasabah untuk menuntut pemberian "hak" yang baru kepada
kaum bukan Bumiputera, sedangkan pada masa yang sama kaum Bumiputera
diharapkan agar bersedia untuk melepaskan hak-hak istimewa mereka
sepertimana yang telah termeterai dalam Kontrak Sosial yang dipersetujui
oleh pemimpin-pemimpin kaum sebelum merdeka dan termaktub dalam
Perlembagaan.

Hal ini menunjukkan bahawa apa yang sedang dilakukan oleh CPPS-ASLI dan
organisasi-organisasi yang menyokong Merdeka Statement ialah perundingan
semula Kontrak Sosial, bukannya penegasan semula Kontrak Sosial
sebagaimana yang dicanang. Tanpa persetujuan semua kaum, Merdeka
Statement tidak wajar diangkat sebagai pernyataan yang mewakili hasrat
seluruh warganegara Malaysia. Ia hanyalah pernyataan satu pihak.

Di samping itu, "Agenda Malaysia Baru" yang terkandung dalam Merdeka
Statement juga gagal mempertegaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai
Bahasa Rasmi negara, kedudukan agama Islam sebagai sebahagian daripada
sistem perundangan dan pentadbiran negara, dan hak-hak masyarakat Islam
untuk mendapatkan pengadilan menerusi sistem kehakiman Islam sepertimana
yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun pada prinsipnya kami mendokong usaha-usaha pengukuhan perpaduan
nasional, memperkasa dayasaing negara di peringkat antarabangsa,
mewujudkan ekonomi yang berinovatif, mengurangkan ketidakseimbangan
pengagihan ekonomi, memperkasakan institusi-institusi demokrasi negara,
melaksanakan reformasi pendidikan, menjamin kehidupan berkualiti dan
menyokong usaha memerangi rasuah, yang turut disentuh oleh Merdeka
Statement, kami, Pertubuhan-Pertubuhan Islam di Malaysia tetap memandang
dokumen tersebut, jika dilihat intipatinya, adalah satu percubaan untuk
merombak Kontrak Sosial yang telah dipersetujui oleh kaum-kaum di
Malaysia, atas nama Agenda Malaysia Baru dan dengan mengambil kesempatan
sentimen sambutan 50 tahun kemerdekaan negara.

Kami mewakili Pertubuhan-Pertubuhan Islam dengan sebulat suara mengulangi
penegasan mengenai peri pentingnya seluruh warganegara Malaysia
menghormati Kontrak Sosial yang telah dipersetujui oleh kaum-kaum di
negara ini, dan menolak saranan-saranan dalam Merdeka Statement yang
bertujuan untuk merombak terma-terma penting Kontrak Sosial tersebut.
Walaupun dokumen tersebut turut mengandungi beberapa saranan yang
positif tetapi percampuran dengan pelbagai bacaan dan saranan yang
meragukan menjadikan keseluruhan dokumen tersebut bermasalah, negatif
dan wajar ditolak. Kami turut menyeru agar lebih banyak
pertubuhan-pertubuhan Islam tampil menyokong kenyataan kami ini.

Tn. Hj. Yusri Mohamad Tn. Hj. Mohamed Said Hj. Mohamed
Razi
Pengerusi Penyelaras PEMBELA Pengerusi ACCIN / Pengerusi Jamiah
& Presiden ABIM

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: