Monday, February 22, 2010

PINDAAN AKTA MEMBAHARUI UNDANG-UNDANG (PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN) 1976: ABIM MINTA IA DIPERHALUSI

KENYATAAN MEDIA ABIM

PINDAAN AKTA MEMBAHARUI UNDANG-UNDANG (PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN) 1976:
ABIM MINTA IA DIPERHALUSI

25 NOVEMBER 2009 / 8 ZULHIJJAH 1430H

Pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976
kembali menjadi polemik apabila pihak Jabatan Peguam Negara, mengemukakan
cadangan untuk pindaan yang akan memberikan hak
kepada suami atau isteri yang memeluk Islam untuk memfailkan petisyen
perceraian di Mahkamah Sivil.

Cadangan pindaan induk dapat dilihat melalui cadangan untuk meminda sub
seksyen 51(1) akta tersebut, yang memperuntukkan hanya pasangan yang
bukan Islam sahaja yang boleh memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah
Sivil. Ini bermakna selagi pasangan tersebut tidak membuat sebarang
permohonan petisyen perceraian, maka perkahwinan sivil
tersebut masih sah walaupun pasangannya telah memeluk Islam.

Secara umumn, ABIM menyambut baik pindaan ini dan menyarankan agar ia
disegerakan bagi mengelakkan sebarang polemik khususnya melibatkan status
perkahwinan dan agama pihak-pihak yang berkenaan daripada berterusan.
Justeru, pindaan ini harus dilihat dari perspektif yang lebih
kondusif demi menjaga kepentingan dan kebajikan pihak-pihak yang terlibat.

Walaupun pindaan tersebut hanya membabitkan sub seksyen 51 akta terbabit,
tetapi ABIM juga menilai pindaan ini akan memberikan kesan yang besar
terhadap seksyen-seksyen lain di dalam akta yang sama, terutama sekali
melibatkan aset perkahwinan, pemberian nafkah, hak penjagaan anak,
liabiliti dan tanggungan yang berkaitan dengan perceraian yang disebabkan
oleh tindakan salah seorang pasangan terbabit memeluk Islam.

Justeru, ABIM juga menyarankan agar pindaan ini turut diteliti,
memandangkan ia (pindaan) akan turut memberikan kesan terhadap
peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam akta serta enakmen
Undang-undang Keluarga Islam. Ini untuk mengelakkan pindaan ini dari
mengurangkan serta menjejaskan kredibiliti, hak dan bidangkuasa eksklusif
Mahkamah Syariah.

Dalam hal ini, ABIM juga menganjurkan agar pandangan pihak-pihak yang
mempunyai autoriti dalam isu terbabit seperti Majlis Agama Islam Negeri,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Jabatan Mufti dipertimbangkan, bagi
mendapat pandangan mengenai pindaan tersebut dari sudut Hukum Syarak,
kesan serta implikasi pindaan ini turut menyentuh isu serta hak beragama
dan status agama anak-anak daripada perkahwinan tersebut.

ABIM juga mencadangkan pandangan yang dikemukakan oleh pakar undang-undang
serta ahli akademik diambil kira bagi mencanai cadangan proses harmonisasi
undang-undang sivil dan syariah diteliti dan diperhalusi bagi memastikan
Essence (intipati) dan Spirit (hasrat) perundangan Syariah tetap
dipertahankan, walaupun prosiding tersebut dilaksanakan di Mahkamah
Sivil.

MOHAMAD RAIMI ABD
RAHIM                                                            
SETIAUSAHA
AGUNG                                                                          
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: