Monday, February 22, 2010

Khairil pejuang kesukarelawanan tulen

Khairil pejuang kesukarelawanan tulen
Oleh Rohaniza Idris

Sanggup lepaskan gaji besar, seru golongan muda, profesional sertai
bantuan kemanusiaan

http://www.bharian.com.my/Sunday/Rencana/20091010232058/Article/index_html

PERNAHKAH anda terfikir menjadi sukarelawan sepenuh masa yang berkhidmat
untuk menyelamat dan memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana
serta mempertaruhkan nyawa di zon perang.

Pastinya, dalam 10 orang yang ditanya sukar untuk mencari seorang pun yang
memberi jawapan sanggup menjadi sukarelawan atau pekerja bantuan
kemanusiaan.

Namun, berbeza dengan Khairil Annuar Khalid, 48, yang sanggup melepaskan
jawatan dan gaji besar yang diperoleh daripada syarikat multinasional
Hewlett Packard pada 1980-an hanya semata-mata kerana mahu menjadi
sukarelawan sepenuh masa.


Malah, beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang sukarelawan
dan bantuan kemanusiaan bertekad untuk terus membantu masyarakat dunia
yang memerlukan bantuan akibat peperangan dan bencana alam.

"Ketika menyatakan hasrat mahu berhenti kerana mahu menjadi sukarelawan,
saya dibidas ketua di tempat bekerja dan dia menyatakan saya tidak akan
mampu menyelamatkan dunia. Saya menjawab yang saya tahu tidak akan dapat
menyelamatkan dunia tetapi sekurang-kurangnya saya berusaha menyelamatkan
dunia," katanya ditemui di kediaman yang dibelinya hasil titik peluh
bekerja sebagai sukarelawan dengan pelbagai pertubuhan bantuan
kemanusiaan antarabangsa dan tempatan.

Beliau yang agak emosional setiap kali menceritakan pengalamannya, berkata
sering kali ada pandangan salah mengenai pekerjaan sebagai sukarelawan dan
ramai yang menyatakan pekerjaan itu tiada masa depan.

"Sebenarnya itu hanya mitos saja kerana bekerja sebagai sukarelawan atau
pekerja bantuan kemanusiaan adalah profesyen yang baik dan berpotensi.
Perlu difahami bahawa sukarelawan bukan semuanya tidak dibayar atau
diberikan gaji.

"Jika anda menyertai mana-mana pertubuhan bantuan kemanusiaan, anda akan
dibayar bergantung kepada kepakaran dan tugas yang anda lakukan. Nama
saja sukarelawan, namun anda masih dibayar tetapi bukannya gaji yang
menjadi asas tugas anda, sebaliknya lebih kepada tugas menyelamat dan
memberi bantuan," katanya mengakui berkhidmat sebagai pekerja bantuan
kemanusiaan bukannya jawatan yang popular seperti profesyen lain.

Beliau menceritakan mula menyertai organisasi bantuan kemanusiaan
antarabangsa sepenuh masa pada 1988 dan dihantar ke Kemboja bagi misi
menyelamat di kawasan peperangan di negara berkenaan.

"Ketika itu saya berusia 27 tahun dan belum berkahwin. Selama satu
setengah tahun, saya berahsia dengan keluarga dan mereka tidak mengesyaki
apa-apa kerana setiap bulan atau dua bulan sekali akan kembali ke tanah
air.

"Rahsia terpaksa dibocorkan apabila saya mendapat tawaran berkhidmat di
Amerika Tengah membantu pelarian perang di El-Salvador. Keluarga terkejut
dan menentang, namun berkat doa dan kesungguhan yang saya tunjukkan, ibu
bapa menerima dengan baik pekerjaan saya ini...Alhamdulillah," katanya
yang bertemu jodoh dengan Dr Norhasimah Hashim ketika berkhidmat di
Bosnia Herzegovina.

Norhasimah juga aktif dalam kerja sukarelawan dan bersama-sama beliau
berkhidmat di Sarajevo dan Kosovo ketika membantu mangsa konflik
peperangan di Balkan itu. Malah, anak sulung beliau Muhammad Khairil
Asyraf turut dibawa menyertai misi bantuan ketika berusia empat bulan dan
membesar di Sarajevo sehingga lima tahun.

Khairil Annuar berkata, minat yang mendalam timbul sejak di bangku sekolah
lagi, namun tidak banyak maklumat mengenai bidang berkenaan.

Namun, hobi membaca membuka matanya mengenai kerja sukarelawan yang pada
ketika itu tidak begitu diketahui di negara ini.

"Saya memohon menjadi sukarelawan dengan sebuah pertubuhan bantuan
kemanusiaan antarabangsa dan diterima dengan latihan pertama dilakukan
bersama sukarelawan yang lebih kanan di Kemboja," katanya.

Bercerita lanjut, selepas El Salvador, beliau pernah berkhidmat di Asia
Tengah ketika konflik di Chechnya dan beberapa negara lain di bawah
Kesatuan Soviet seperti Uzbekistan, Turkmenistan, Azerbaijan dan
Tajikistan.

"Saya berkhidmat di Asia Tengah selama satu setengah tahun dan kemudian
menyertai misi menyelamat dan memberi bantuan untuk mangsa perang ketika
peperangan di Balkan. Saya berkhidmat di Sarajevo, Bosnia, Kosovo dan
Montenegro selama enam tahun dan menyaksikan peperangan berlangsung
sehingga tamat," katanya yang turut serta dalam pertubuhan kemanusiaan
antarabangsa membantu kerajaan membuka Kedutaan di Sarajevo,
Bosnia-Herzegovina.

Ketika di Bosnia, Khairil Annuar yang ketika itu masih berkhidmat dengan
pertubuhan kemanusiaan antarabangsa turut membantu pasukan kemanusiaan
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang menjadi pertubuhan kemanusiaan
pertama dari Malaysia ke wilayah perang berkenaan.

Selepas menyedari Abim memerlukan khidmat sukarelawan yang berpengalaman
dengan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, beliau mengambil keputusan
pulang ke Malaysia dan menyertai pertubuhan Malaysia Relief Agency (MRA).

Keputusan pulang ke tanah air juga dibuat selepas mengambil kira
pertambahan ahli keluarga, selain faktor usia dan sejak itu beliau juga
mengambil keputusan berkhidmat di kawasan konflik untuk tempoh yang
singkat, selain banyak menumpukan kerja menyelamat dan bantuan
kemanusiaan pada peringkat tempatan.

Beliau menjelaskan penyertaan golongan profesional bukan setakat pasukan
bantuan perubatan dan rawatan saja, sebaliknya mereka yang bertugas
sebagai peguam, jurutera, arkitek dan kaunselor juga diperlukan kerana
kepakaran mereka sangat berharga.

Beliau menjelaskan sukarelawan atau pekerja bantuan kemanusiaan
dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang berbayar dan tidak berbayar.

Golongan berbayar bererti mereka bertugas sepenuh masa dengan pertubuhan
kemanusiaan, manakala yang tidak berbayar ialah sukarelawan separuh masa
yang hanya dibayar elaun makan, tiket penerbangan dan kemudahan
penginapan ketika bertugas.

Khairil Annuar merayu golongan muda dan profesional di negara ini
membabitkan diri dalam bidang sukarelawan dan bantuan kemanusiaan kerana
mereka mempunyai kepakaran yang sangat diperlukan di kawasan berkenaan.

"Dalam misi bantuan kemanusiaan dan menyelamat, tugasnya ialah memberi
bantuan dan menyelamat, jika sukarelawan tiada ilmu pengetahuan, lemah
dan kurang bijak, bagaimana mereka mahu membantu orang yang dalam
kesusahan," katanya yang mendedahkan kepada anaknya mengenai kerja
sukarelawan seawal usia kanak-kanak lagi.

PROFIL: Khairil Annuar Khalid
Umur: 48 tahun
Asal: Penaga, Pulau Pinang
Pendidikan: ITM, Perlis
Profesyen: Sukarelawan Sepenuh Masa, Pengarah Bantuan Kecemasan, MRA
Isteri: Norhashimah Hashim, 40.
Profesyen: Doktor
Anak: Muhammad Khairil Asyraf, 12, Noor Athirah, 8, dan Muhammad Khairil
Akram, 5.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: