percaturan geo politik dunia semasa dan menghargai kesejahteraan masa
depan bersama. Setiap pergeseran memainkan peranan jelek apabila
mengapikan sentimen puak dan patriotisme sempit. Sejarah menunjukkan
dan mengingatkan bahawa sering tekanan ekonomi dan kemelesetan
pembangunan membawa bahaya krisis dan permusuhan terutama jika tiada
kepimpinan yang celik, berhikmah dan berwawasan.
Kita harus belajar daripada ketandusan kebijaksanaan politik serta
kehilangan integriti siasah pimpinan Islam di Afghanistan, Pakistan dan
Iraq yang menghasilkan penjajahan semula.
Di bawah dipetik secebis memoir pengalaman ayah sewaktu hubungan getir
di antara kedua negara:-
Konfrontasi dan Kedamaian
Pengisytiharan penubuhan Persekutuan Malaysia yang menggabungkan Sabah dan
Sarawak pada 1963 ditentang hebat oleh Indonesia. Pungutan suara
yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Cobbold telah ditolak bulat-bulat
oleh Sokarno, Presiden Republik Indonesia. Dia berikrar akan
menghancurkan Persekutuan Malaysia yang baru ini, seraya mengulangi
kata-kata masyhurnya â" ganyang Malaysia. Kepetahan pidato Bung Sokarno
memang berapi dan acumannya membara. Bermulalah Konfrontasi, berantakan
di antara Indonesia dan Malaysia mempertarungkan angkatan bersenjata
dan pasukan keselamatan beradu sesama dua jiran yang mempunyai satu
rumpun, kebudayaan yang seiras dan latar etnik, agama serta bahasa yang
serupa. Negara-negara Barat seperti UK dan US menyokong Malaysia
sementara golongan kiri dan para revolusioner mendokong Indonesia.
Konflik ini mencerminkan suasana politik orde dunia era itu dan mungkin
sebahagian lagi rangkaian persengketaan berdarah secara proksi Perang
Dingin di antara Blok Barat dan Blok Timur.
Konfrontasi Indonesia adalah perang secara persegeran, pelumpuhan,
penyusupan, pemberontakan berdalang asing, serbuan komando,
pencerobohan merentasi sempadan dan pengintipan. Konfrontasi adalah
perang berlaku yang tanpa pengiystiharan. Medan utama pertempuran
adalah di Malaysia Timur. Tentera dan perisekan British terlibat secara
langsung beserta askar-askar Australia dan New Zealand sejajar dengan
perjanjian pertahanan bersama di kalangan anggota negara-negara
Komanwel serantau.
Bapa saya telah dihantar menyertai misi ke Sabah dan dia telah
berpengkalan di Tawau. Tidak banyak yang dapat diingatkan kembali
tentang pengalamannya walaupun dia berkhidmat di sana berbulan-bulan
lamanya sepanjang konflik berkenaan di Sabah. Ada yang diceritakannya
tentang operasi risekan dan kegiatan rahsia yang dijalankan bagi
menggagalkan penyusupan askar Indonesia. Pada suatu operasi, lokasi
pencerobohan mendadak Indonesia telah dikenalpasti. Pendaratan mereka
diperhati dan tentera Indonesia telah digempur dan dimusnahkan oleh
pasukan keselamatan Malaysia bersama askar sekutu mereka.
Penyusup-penyusup Indonesia yang terselamat diberkas.
Penyusupan Indonesia dan percubaan mereka untuk mencetuskan
pemberontakan dalaman telah gagal. Apa yang mungkin mereka mengharapkan
adalah supaya berlaku kebangkitan oleh penduduk tempatan dan sebab itu
agen-agen Indonesia cuba menghubungi, membina rangkaian dan mencetuskan
pemberontakan. Secara militernya mereka tidak punya harapan samasekali.
Ramai para pejuang Indonesia yang terkorban. Banyak juga yang ditangkap
dan dipenjara. Mereka tidak memperolehi sokongan tempatan. Lantas, idea
gagasan Indonesia Raya telah terbenam di Malaysia Timur.
Perang propaganda yang dimainkan bertalu-talu melalui kacamata TV,
radio dan tayangan wayang di padang-padang terbuka amat hangat dan
kedua-dua pihak menyiarkan keburukan dan kekejaman di antara satu sama
lain. Suasana kecurigaan memenuhi minda sehinggakan orang Melayu yang
berketurunan Jawa, Bawean, Rawa and Sumatra asalnya di pandang serong
dan puak-puak ekstrem secara tidak adil menuduh mereka sebagai musuh
dalam selimut. Begitulah keadaan dan pemandangan peristiwa-peristiwa
yang malang yang telah menyebabkan kehilangan nyawa yang ramai,
kecederaan dan penderitaan serta merosakkan banyak harta benda yang
mungkin juga suatu punca Indonesia mengalami kerugian secara ekonomi
dan sosial kemudiannya. Malaysia juga menderita dan ini menambahkan
lagi kebimbangannya tentang keselamatan dan ketenteraman negara
menghadapi ancaman luar dan dalam negara.
Peristiwa-peristiwa ini membuatkan bapa sibuk dengan tugasnya, sentiasa
berada jauh dan ibu bersendirian menangani ketiadaannya apabila dia
berkhidmat di Sabah atau di tempat-tempat lain. Ibu terpaksa menjaga
kesemua empat orang kami yang masih kecil dan bersekolah. Dia akan
menunjukkan kepada kami gambar-gambar poskad Tawau dan tempat-tempat
lain di Sabah termasuk juga gambar-gambar bapa di sana. Pada kami yang
masih kecil, pemandang jauh ini menarik dan mengkagumkan. Kami akan
menjadi asyik dengan gambar-gambar ini walaupun ia hanya bercorak hitam
putih. Ibu terus teguh berusaha, memastikan kami bersama, menentukan
kami cukup makan minum dan sihat sepanjang hari-hari yang kesunyian
tanpa bapa berada bersama kami. Ibu menjadi tempat bergantung yang
kukuh walaupun di kala kesepian itu dan dia tidak pernah berputus asa.
Bebarapa tahun kemudian pada 1969, bapa telah berpeluang untuk berada
bersama pasukan keselamatan bagi mengawal melindungi rombongan Menteri
Luar Indonesia waktu itu, Adam Malik. Dia datang untuk menziarahi
saudara maranya di Chemor, Perak. Adam Malik dilaporkan sebagai
bertanggungjawab berperanan mencari jalan penyelesaian secara rundingan
bagi menamatkan Konfrontasi dan mengakhiri konflik yang pahit dan
merugikan itu. Usahanya dilihat sebagai sangat penting bagi mencapai
kedamaian. Lawatannya bagi menziarah saudara kesayangan di Chemor
dipandang sebagai lambang yang simbolik talian erat dan persefahaman
yang akrab di antara kedua buah negara. Ia mengisyaratkan bahawa
ketegangan itu telah berlalu. Bapa saya selalu mengenangkan tugasnya
pada ketika itu sebagai sumbangannya yang kecil tetapi penuh bermakna
kepada perdamaian.
Bapa saya telah berlalu dan berubah daripada seorang yang berjuang
menentang penceroboh Indonesia kepada mengawal dan melindungi seorang
pemimpin keamanan dari negara yang terpuji itu. Semoga tiada lagi
pertikaian sesama negara kita buat selama-lamanya.
Posted By Outreacher to prihatin at 6/10/2009
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment