Monday, February 22, 2010

Kenapa Chin Peng boleh kembali ke tanah air

Kenapa Chin Peng tidak boleh kembali ke tanah air

Keadaan Darurat sebenarnya dialami oleh orang-orang kampung lebih awal
lagi daripada pengisytiharan rasmi British pada tahun 1948. Orang
kampung telah terpaksa berdepan dengan pengganas komunis di bawah
panji-panji MPAJA lebih terdahulu daripada yang dialami
peladang-peladang British. Hanya dokumentasi pengalaman dan peristiwa
ini belum dirakamkan sepenuhnya.

Mereka lebih kenali gelagat dan kezaliman teroris komunis ini (di gelar
CT's oleh pihak Inggeris) sewaktu anggota komunis menjadi sekutu
British menentang Jepun atas nama MPAJA. Setiausaha Agong Parti Komunis
Malaya (jelmaan MPAJA) sebelum Chin Peng, bernama Lai Tek merupakan
agen risekan bermuka dua (double agent) bagi Jepun dan British. Parti
Komunis Malaya pula sarat dengan penyusupan serta komplot (intrigue)
sepanjang sejarahnya.

Berikut secebis memoir ayah pada waktu darurat dan cemas itu:-

------------------------------------------------------------------

Bintang Tiga Bermaharajalela


Bapa tidak mahu mengambil sebarang risiko dan bertarung nasib. Dia
menanamkan segala benda-benda Jepun yang ada padanya. Ini termasuklah
dokumen-dokumen serta sebilah pedang Jepun yang bernilai. Kami hanya
mengetahui tentang kewujudan gambarnya dalam pakaian seragam askar
Jepun dan pingat-pingat kebaktian yang merupakan kenangan masa itu.

Dia bergegas menuju jalan balik ke kampung. Perjalanannya sangat jauh
pada ketika itu kerana sistem pengangkutan masih belum pulih dalam
keadaan baru lepas perang. Dia terpaksa mengharungi dan berjalankaki
melalui jarak-jarak yang jauh serta di atas jalan-jalan yang diluluhawa.

Kampung pusaka kami adalah Lambor Kanan yang berada di tebing Sungai
Perak. Lambor Kanan termasyhur kerana kisah legenda berkisar Ikan Tapah
(nama saintifik: Wallago attu). Orang tua-tua telah berkata dan ramai
juga masih percaya bahawa anak cucu keturunan Lambor Kanan ditegah
daripada memakan Ikan Tapah dan jika mereka melanggar larangan ini akan
ditimpa penyakit alahan.


Cerita-cerita turun temurun orang tua-tua dan generasi sinambungannya
meriwayatkan tentang nasib Pak Kadok dan bagaimana dia diselamatkan
bagi menebuskan kembali kampungnya apabila terjumpa ikan ini. Kita
tinggalkan saja kisah dongeng yang aneh lagi ganjil ini kepada para
saudagar misteri.


Lambor Kanan juga terkenal dengan loghat percakapan Melayu yang unik
dengan cara sebutannya dan di kalangan banyak loghat Melayu kadangkala
bunyinya agak melucukan.

Lambor Kanan juga dikenangi oleh ramai pada zaman itu dan juga masih
diingati oleh beberapa orang sekarang sebagai tempat munculnya para
pahlawan yang gagah dan pejuang yang garang. Telah disampaikan dari
mulut ke mulut bahawa sejurus selepas Jepun menyerah kalah pada tahun
1945 dan dalam suasana tanpa undang-undang serta ketenteraman, telah
tercetus peristiwa berdarah pertempuran sengit dan terbuka di antara
orang kampung dan pengganas samseng-samseng MPAJA.


Begitulah keadaannya apabila bapa saya menuju balik ke Lambor Kanan.
Waktu itu telah terasa ketegangan yang hebat walaupun suasana semacam
diselubungi ketenangan yang memperdayakan. Secara senyap dan melalui
pergerakan rahsia, ketua-ketua kampung, guru-guru agama dan bakal-bakal
pemimpin masyarakat berjumpa, berstrategi, merancang dan menyebarkan
pesanan tentang suatu kebangkitan yang akan datang. Mereka berazam
untuk mengangkat senjata bagi menumpaskan dan memusnahkan
samseng-samseng MPAJA serta membebaskan kesemua kampung-kampung mereka
daripada cengkaman keganasan MPAJA. Bagi mereka sudah tiada kesabaran
lagi dan telah tersemat di dalam hati mereka bahawa MPAJA adalah
sejahat-jahatnya penjenayah yang mengganas, yang menakutkan dan
mengancam hidup mereka, keluarga mereka dan cara hidup mereka yang
selama ini aman damai.

Sewaktu pendudukan Jepun, kawasan-kawasan yang dikuasai Jepun hanyalah
di bandar-bandar dan pekan utama. Kawasan desa dan luar bandar menjadi
wilayah penguasaan MPAJA dan sekutu mereka, yang nanti akan muncul
sebagai gerila komunis â€" pengganas komunis atau penyangak (bandit)
gelaran media British. MPAJA bergerak bebas melakukan kezaliman dan
kekejaman. Apabila tentera Jepun datang menjalankan rondaan dan
memasuki kampung-kampung serta kawasan pendalaman, MPAJA melarikan diri
untuk berselindung di dalam hutan banat di pinggir kampung-kampung di
mana terletak pengkalan-pengkalan yang tersorok. Setelah askar Jepun
meninggalkan kawasan itu, maka MPAJA muncul semula dan kembali untuk
berkuasa ke atas orang-orang kampung yang berada dalam ketakutan serta
tanpa perlindungan.

MPAJA melayani dan mengkasari orang-orang kampung dengan
sewenang-wenangnya. Penduduk kampung dalam keadaan yang sungguh gentar
dan penuh kebimbangan. MPAJA bertindak ikut kebuasan nafsu mereka,
merompak dan merampas sebarang makanan, harta dan barang-barang
bernilai dengan memberi alasan bahawa ianya demi “perjuangan”.
Anak-anak dara dipandang sebagai pemilikan untuk dikahwinkan oleh
lelaki-lelaki ”perjuangan”. Mereka yang disyaki bersubahat dengan
Jepun
ditembak secara terbuka di khalayak ramai atau dicolek diberkas untuk
dibawa ke dalam hutan dan hilang tanpa dijumpai. Ada yang didera dan
disiksa kerana melawan atau hanya semata-mata jika disangka sebagai
penentang. Individu-individu di kalangan anggota MPAJA juga mengambil
kesempatan dengan kuasa cengkaman mereka. Orang-orang Melayu yang
menjadi anggota MPAJA atau yang bekerja dengan mereka, tali barut â€"
pengkhianat dan bersubahat, sangat kejam dengan kesombongan dan
keangkuhan mereka memeras ugut orang-orang kampung yang lemah dan daif
dengan menakut-nakutkan mereka. Keadaaan muram dan getir ini dihadapi
dan dirasai di segenap desa ibu pertiwi dan masyarakat yang tertindas
ini menyimpan kebencian, perasaan pahit dan bara yang terpendam yang
tidak akan mampu dipulihkan atau dipadamkan.

Kezaliman dan kekejaman di tengah-tengah desa pertiwi Melayu ini
merupakan satu punca asas bagi mengukuhkan penolakan dan penentangan
orang Melayu terhadap pemberontakan komunis. Kefahaman atheist pegangan
orang komunis dan penolakan mereka terhadap agama memang bercanggah dan
bertentangan dengan jiwa sanubari dan iman orang Melayu-Islam. Itulah
sebabnya mereka berada di medan depan perjuangan dan pertarungan serta
rela mengorbankan diri bagi mengalahkan dan menewaskan komunis di Tanah
Melayu buat selama-lamanya. Tiada sebarang keraguan tentang hakikat ini.

Oleh itu, apabila berita tiba ke kampung-kampung bahawa Jepun telah
menyerah kalah dan British pula belum kelihatan lagi, maka mereka
bertambah keluh kesah merisaukan tentang pemerintahan MPAJA atau apa
dikatakan sebagai Bintang Tiga bermaharajalela. Tempoh kekejaman selama
empat belas hari telah bermula.

--
Posted By Outreacher to prihatin at 6/11/2009

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: