Monday, February 22, 2010

Liberalisasi ekonomi negara: Relevankah lagi Umno-BN?

Liberalisasi ekonomi negara: Relevankah lagi Umno-BN?
Suhaizan Kayat, Jul 07, 09

DALAM menghadapi persaingan ekonomi global, kerajaan tidak dapat lari
daripada mengubah beberapa polisinya. Jika perubahan tidak dibuat maka
pelaburan asing tidak akan masuk ke negara kita. Contohnya, kerajaan
Singapura yang mempunyai polisi ekonomi yang jauh lebih liberal daripada
kita telah banyak mendahului negara dalam pelbagai sektor ekonomi.
Iklan

Singapura telah menurunkan kadar cukai korporat sebanyak 9 peratus sejak
tahun 2000. Sedangkan cukai korporat Malaysia pada tahun 1998 adalah 28
peratus, tahun 2008 sebanyak 26 peratus dan tahun 2009 dikurangkan hanya
kepada 25 peratus.

Kegagalan pihak kerajaan menurunkan cukai korporat sama seperti
Singapura menjadi salah satu punca kurangnya daya saing negara untuk
menarik lebih banyak pelaburan.

Tanpa persetujuan rakyat

Sebenarnya pihak kerajaan telah meliberalisasikan ekonomi negara kita
tanpa persetujuan rakyat dalam koridor-koridor yang diciptanya sendiri.
Pemansuhan ekuiti bumiputera, kemasukan profesional luar negara,
pemansuhan FIC (Jawatankuasa Pelaburan Asing), penjualan hartanah kepada
rakyat Singapura tanpa melalui FIC dan sebagainya telah dilakukan dalam
Iskandar Malaysia(IM).

Atas liberalisasi ekonomi yang tidak disedari rakyat ini maka Dato' Seri
Najib Tun Razak telah berbangga dengan pencapaian pelaburan yang telah
dicapai oleh negara. Di Iskandar Malaysia (IM) kerajaan telah
mensasarkan RM47 bilion pelaburan, sehingga kini hampir mencapai sasaran
iaitu RM41 bilion. Di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) kerajaan
mensasarkan RM28 bilion, sehingga kini telah memperolehi RM8.36 bilion.

Di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kerajaan mensasarkan sebanyak
RM20 bilion, sehingga kini telah memperolehi lebih daripada sasaran
iaitu RM22.7 bilion. Di Koridor Pembangunan Sabah (SDC) kerajaan
mensasarkan RM16 bilion, setakat ini telah memperolehi RM3.75 bilion.

Di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) kerajaan mensasarkan RM34
bilion, pencapaiannya sangat tinggi iaitu RM79.9 bilion. Jika dicampur
keseluruhannya maka kerajaan mensasarkan RM145 bilion bagi lima koridor
dan sekarang telah mencapai RM155.71 bilion. Inilah kejayaan yang
dibanggakan oleh Najib.

Berdasarkan kepada pencapaian di lima koridor inilah yang menyebabkan PM
mengisytiharkan liberalisasi ekonomi bukan sahaja di dalam koridor yang
diciptanya tetapi menjadi suatu dasar menggantikan Dasar Ekonomi Baru
(DEB) yang dicipta oleh bapanya Tun Abdul Razak.

Isi kandungan liberalisasi ekonomi negara adalah pertamanya penurunan
pegangan ekuiti bumiputera daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus.
Keduanya penurunan ekuiti bukan bumiputera daripada 25 peratus kepada
12.5 peratus. Ketiganya pegangan ekuiti asing telah ditingkatkan
daripada 49 peratus kepada 70 peratus. Keempatnya pemansuhan FIC,
kelimanya Penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS). Dan yang terakhir
peningkatan had nilai hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing
daripada RM250,000 kepada RM500,000.

Terdapat kesan positif dan negatif daripada dasar liberalisasi ini.
Pertamanya kesan positif daya saing negara akan meningkat. Pelabur akan
datang melalui insentif yang diberikan. Ini terbukti daripada kesan
liberalisasi ekonomi di lima koridor di atas. Keduanya adalah
peningkatan 100 peratus had nilai hartanah untuk warga asing yang hendak
membeli rumah di negara kita. Tentulah pemaju akan dapat keuntungan
lebih dan kerajaan akan memperoleh hasil cukai yang lebih tinggi.

Ketiganya peluang pekerjaan di negara kita akan bertambah. Maka kadar
pengangguran akan berkurangan. Keempatnya peniaga Industri Kecil dan
Sederhana (IKS) akan mendapat limpahan daripada kehadiran pelaburan
asing ini. Sektor perkhidmatan adalah sektor yang akan menerima kesan
yang sangat positif. Kelimanya eksport negara akan bertambah. Nilai
ringgit boleh meningkat. Kerajaan akan mendapat pendapatan hasil
daripada cukai yang berkaitan.

Penurunan pegangan

Kesan negatif daripada liberalisasi ekonomi adalah pertamanya penurunan
pegangan ekuiti bumiputera daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus telah
mengurangkan peluang bumiputera untuk terlibat dalam sektor pelaburan di
negara sendiri.

Lebih malang lagi apabila pegangan ekuiti asing telah ditingkatkan
daripada 49% kepada 70 peratus. Dasar ini seolah-olahnya seperti Najib
mahu mewujudkan 1 World bukannya 1 Malaysia. Tun Dr Mahathir Mohamad pun
telah memberi respons yang sama apabila beliau menyatakan bahawa Najib
mahu menjadi popular.

Najib tidak pun membantu Melayu, Cina atau India. Najib lebih
mengutamakan orang asing. Pada tahun 1970 an semasa DEB mahu digubal
pegangan asing adalah 63.3 peratus. Sekarang pegangan asing adalah 43.9
peratus. Pegangan ekuiti bumiputera pada tahun 1970 an adalah 2.4
peratus, sekarang 19.4 peratus.

Pada tahun 2009 dasar liberalisasi mahu menetapkan pegangan asing 70
peratus dan bumiputera 12.5 peratus maka sebenarnya kerajaan mahu
mengembalikan negara kita ke zaman sebelum DEB digubal. Jika kerajaan
mensasarkan 30 peratus pegangan ekuiti bumiputra dalam DEB, bumiputera
hanya mampu mencapai 19.4 peratus.

Soalnya berapa peratus pegangan ekuti bumiputra pada tahun 2020 jika
kerajaan hanya memperuntukkan 12.5 peratus sahaja ekuti bumiputra dalam
dasar liberalisasi ekonomi?

Kesan negatif keduanya kerajaan terlalu bergantung kepada pelaburan
asing. Sepatutnya kerajaan membina pelabur-pelabur di kalangan rakyat
Malaysia tidak kira apa jua bangsa. Kesetiaan mereka telah dipupuk dari
bangku sekolah lagi. Pergantungan kepada pelaburan asing ini menjadikan
ekonomi negara kita sangat rapuh.

Tun Mahathir juga menyatakan warga asing tidak setia. Mereka boleh
keluar pada bila-bila masa sahaja. Secara logiknya, pelabur-pelabur ini
adalah golongan kapitalis-kapitalis yang mementingkan untung
semata-mata. Membunuh pesaing dalam ekonomi global adalah menjadi salah
satu agendanya. Oleh itu negara kita sangat terdedah kepada perangkap
kapitalis ini.

Apakah akan terjadi kepada ekonomi negara kita, jika kapitalis ini
berpakat untuk keluar daripada negara kita? Habis madu, sepah dibuang.
Yang tinggal hanyalah 25 peratus pelaburan yang terdiri daripada Melayu,
Cina dan India sahaja.

Kesan negatif ketiganya, pemansuhan FIC yang ditukar sebahagian
peranannya oleh EKUINAS. EKUINAS telah diberi peranan yang banyak dalam
meningkatkan bumiputera dalam sektor pelaburan. Modal asas adalah RM500
juta. Dijangka akan meningkat ke pelaburan RM10 bilion. Semasa FIC
berperanan dahulu nilai pelaburan bumiputera pernah mencapai RM54
bilion.

Malangnya sekarang tinggal RM2 bilion. Soalnya ke manakah hilangnya RM52
bilion? Warga asing dan bukan bumiputera melabur untuk mendapat
keuntungan jangka panjang. Malangnya bumiputera melabur untuk mendapat
pulangan jangka pendek. Tawaran ekuiti kepada bumiputera adalah dalam
tawaran awal permulaan (IPO). Setelah saham ditawarkan, bumiputera pun
membelinya.

Apabila saham meningkat mereka jual saham tersebut. Itulah dia pelaburan
jangka pendek. Semasa IPO ditawarkan, kroni-kroni Umno juga yang
memperolehi. Sebab mereka rapat dengan pemimpin Umno. Mungkin semasa
Perhimpunan Agung Umno banyak duit diperlukan.

Saham ini dijual untuk mendapat pulangan jangka pendek bagi merasuah
para pewakilan bagi menjadi pemimpin di semua peringkat. Inilah imej
pelaburan Umnoputra.

Sasaran terlalu rendah

Kesan negatif keempat, kerajaan telah menurunkan ekuiti rakyat Malaysia
daripada 55 peratus kepada 25 peratus sahaja. Sasaran ini terlalu rendah
sekali.

Berdasarkan kepada prestasi pemantauan kerajaan terhadap polisi yang
telah digariskan sebelum ini maka tidak mustahil warga asing akan
menjadi golongan pemodal yang kaya raya tetapi rakyat Malaysia akan
menjadi golongan pekerja yang miskin.

Maka berlakunya jurang yang besar antara pelabur yang menguasai industri
dengan pekerjanya yang terdiri daripada rakyat tempatan. Yang paling
membimbangkan adalah perbezaan ini boleh membawa kesan tidak stabil
dalam sosio-ekonomi dalam negara kita.

Terdapat tiga faktor utama mengapa pelabur datang ke negara kita.
Pertamanya sosio-politik yang stabil. Kedua, kurangnya birokrasi dan
ketiganya jaminan buruh yang murah dan mahir.

Bagi memenuhi ketiga-tiga faktor ini maka pihak kerajaan perlu
menyelesaikan musuh utama negara iaitu rasuah dan salahguna kuasa. Musuh
ini akan menyebabkan sosio-politik tidak stabil, birokrasi bertambah dan
tenaga mahir tidak dapat dilahirkan.

Soalnya mampukah negara menghadapi rasuah dan salahguna kuasa jika:

1. Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang didapati rasuah tetapi
masih kekal menjadi Ketua Pemuda Umno Malaysia.

2. Dato' Mohd Ali Rustam boleh menjadi Ketua Menteri Malaka sedangkan
beliau terlibat dengan rasuah dalam pemilihan Umno.

3. Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak boleh dicabul oleh Perdana Menteri
sendiri.

4. Hakim boleh diatur dan dibeli dalam kes video klip VK Linggam.

5. Indeks Rasuah Malaysia semakin meningkat.

6. Bekas-bekas menteri masih tidak didakwa terhadap penglibatannya dalam
rasuah.

7. Keraguan terhadap kes kematian Altantuya belum diselesaikan.

Krisis utama

Di sinilah timbul krisis utama iaitu mampukan Kerajaan BN menghadapi
krisis ekonomi global ini. Hujah yang menyatakan BN mampu menarik
pelaburan di lima koridor adalah dangkal kerana apabila pintu dibuka
bukan sahaja ikan seluang akan masuk tetapi jerung pun boleh masuk.
Pendek kata orang lemah pun boleh tarik pelaburan jika pintu telah
dibuka.

Masalahnya adalah kerajaan BN telah terbukti tidak mampu membebaskan
negara ini daripada rasuah dan salahguna kuasa. Ia juga sangat lemah
dari segi memantau segala polisi yang telah digariskan. Apa yang sangat
membimbangkan adalah jika Dasar Ekonomi Baru (DEB) berhadapan dengan
ketirisan dan projek 'Ali-Baba'.

Kita khuatir setelah liberalisasi terlaksana maka timbul satu lagi
masalah iaitu projek 'Ali-John',' Ali-Thomson', 'Lim-John' dan
'Sami-John'. Oleh itu dalam mengadapi persaingan global ini kerajaan BN
wajib ditumbangkan. Jangan dengar guruh dilangit air di tempayan kita
curahkan.

Janganlah demi mencari pelaburan asing, habis ekuiti rakyat kita
buangkan. Sebab itulah sebelum air tempayan dibuang oleh BN biar kita
tumbangkan BN terlebih dahulu. Biarkan kerajaan Pakatan Rakyat
memerintah. Barulah negara akan mampu bersaing dalam ekonomi global.

----

Suhaizan ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat_


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: