Saturday, November 18, 2006

Tua di Kuala Lumpur

Tua di Kuala Lumpur

Tue Sep 26, 06 12:56:55 PM
Oleh Muhammad Nor Abd Samad
agi minggu yang lalu, tatkala keluar rumah untuk pergi ke pasar, seperti biasa aku terserempak lagi dengan Pak Din, tuan rumah tempat aku menyewa, sedang menyiram bunga dan membersihkan halaman rumahnya.


"Rajin sungguh Pak Din tu ya bang," kata isteriku sewaktu melabuhkan punggung di kerusi yang tidak lagi empuk kereta Kancil 660ku, untuk memulakan perjalanan ke pasar yang tidak berapa jauh dari situ.


"Bukan soal rajin, tapi terpaksa buat untuk menghilangkan boring," kataku membuat andaian. "Orang macam Pak Din tu apa lagi aktiviti yang ada..." sambungku. Isterilku hanya diam, barangkali cuba mencari rasional di sebalik jawapan itu.



Tua di Kuala Lumpur kadang-kadang menggerunkan
Kerja membersih laman, menyiram bunga dan mencuci longkang bukan hanya dilakukan oleh Pak Din pada pagi minggu sahaja, tetapi tiap-tiap hari, iaitu di waktu pagi sekitar pukul 7.00 hingga pukul 9.00.


Selepas solat Subuh di masjid berdekatan, dan mungkin selepas bersarapan pagi, Pak Din akan memulakan rutin hidupnya membersihkan kawasan persekitaran rumahnya, termasuk rumah yang aku sewa, dengan tekun sehingga semuanya selesai.


Setiap ruang persekitaran rumah tidak lepas daripada pemerhatian Pak Din. Daun bunga yang terjulur di luar kawalan pasti akan di 'trim'. Bunga yang layu akan disirami dan dibajai. Longkang akan dicuci, halaman rumah akan disapu dan dibersihkan. Sampah-sampah akan dipungkut dan dibuang ke dalam tong sampah. Dan kawasan yang bersimen akan dibasuh dan dikeringkan dengan mop.


Begitulah setiap hari. Pak Din tidak pernah cuai melakukannya kecuali jika dia sakit atau mempunyai urusan di tempat lain.


Di taman perumahan tempat aku tinggal ini, bukan Pak Din seorang sahaja yang membuat kerja-kerja membersihkan laman dan menyiram bunga seperti ini. Terdapat beberapa orang lagi yang seangkatan dengannya melakukan perkara yang sama. Ia seolah-olah telah menjadi aktiviti wajib bagi golongan yang sudah berusia dan pencen seperti Pak Din itu, di sini.


Bagi orang tua yang tinggal Kuala Lumpur, apalah apalah sangat aktiviti yang boleh dilakukan untuk mencergaskan badan dan mengeluarkan sedikit peluh bagi mengelakkan timbulnya pelbagai penyakit akibat ketidakatifan diri. Berbeza keadaan di kampung, orang setua Pak Din itu, berusia lewat 60-an, masih banyak aktiviti untuk dilakukan. Masih boleh menorah getah, membuat kerja-kerja kebun dan pelbagai lagi.


Bapaku di kampung, yang seusia dengan Pak Din ini masih terlalu banyak aktiviti fizikal yang dilakukannya. Pagi-pagi bapa akan pergi menoreh dan pada sebelah petang dia akan ke kebun, menguruskan pisang dan betik yang ditanamnya. Bapaku tidak pernah membuat kerja-kerja membersihkan laman, menyiram bunga dan mencuci longkang seperti Pak Din itu. Semua itu diuruskan oleh ibuku.


Tua di Kuala Lumpur kadang-kadang menggerunkan. Kalaulah sewaktu pencen nanti aku tinggal di rumah seperti Pak Din itu, rumah atas tanah, rumah tanah lot, ada juga laman dan longkang untuk dibersihkan, untuk mengeluarkan sedikit peluh. Tapi bagaimana sekiranya jika aku terpaksa tinggal di flat atau di apartment? Di situ nanti tidak ada laman, tidak ada longkang untuk dibersihkan. Tidak ada juga bunga-bunga untuk disiram. Apakah waktu itu nanti aku terpaksa berjoging setiap petang semata-mata untuk mengeluarkan peluh bagi mengelakkan timbulnya berbagai penyakit? Atau apakah aku hanya akan memerap di rumah bertemankan Astro saban hari?


Tua di Kuala Lumpur... kunanti dengan penuh debaran.

No comments: