Saturday, November 18, 2006

Malam merdeka: Antara Paloh, Jepun dan Komunis

Malam merdeka: Antara Paloh, Jepun dan Komunis
Mon Sep 18, 06 01:47:06 PM
Oleh M Khalel Kas
PADA malam kemerdekaan (31 Ogos) lalu anak bongsuku, Nu'man merenggek meminta untuk membuka peti ajaib (televisyen) kerana ingin melihat sebuah tayangan filem Melayu yang dinamakan Paloh.


Disebabkan tidak mahu menghampakan harapannya, dan juga berjanji setia bahawa akan
melipatgandakan usaha mengulangkaji pelajarannya pada hari esok, maka tontonlah dia bersama-sama dengan diri ini pada jam 10.00 malam - 12.55 pagi.


Cerita Paloh, arahan Adman Salleh yang dibikini lebih berkisar di sekitar kehidupan masyarakat di zaman Jepun dan kekalutan Tanah Melayu akibat pemberontakan Komunis.


Dalam asyik menonton itu, Nu'man bertanya,"Ayah, komunis tu jahat ke?"
Disebabkan malas untuk beranalogi dan berhujah serta memikirkan minda anak 9 tahun, maka aku menjawab, "Ya, jahat!"


"Kalau jahat, Jepun baiklah?"tanya dia kembali.


Aku terkelu sekejap. Dan seperti tadi kerana mata mula berpinar kerana tidak berehat sepanjang hari itu di samping 'malasnya' untuk 'berfantasi' dalam menjawab, maka jawab lagi oleh diriku,"Ya Man...Jepun pun jahat."


"Habis tu...kalau Jepun jahat, komunis jahat, siapa pula baik dalam cerita ni,"soalnya lagi.


Ishh...makin jauh dia beranimasi. Aku mula bercelik. Hmmm...apa cerita Paloh ini sebenarnya?


Aku mula membulatkan mata. Rasa kesal mula menebal, sebab 'buta' seni dan tidak peduli tentang perkembangan filem tempatan.


Sambil mencongak sejarah yang diingati semasa belajar lebih 20 tahun dulu, aku pun menjelaskan.


"Malaysia mula merdeka pada 31 Ogos 1957. Bukan senang kita nak merdeka. Kita terpaksa berjuang, dan ramai yang pernah terkorban dalam menuntut kemerdekaan dari tangan Inggeris. Sebelum Inggeris, kita pernah dijajah oleh Jepun, Portugis dan Belanda. Di zaman Jepun, ramai yang sengsara akibat kekejaman yang dibawa oleh pemerintah Jepun. Dan bila Jepun kalah dalam Perang Dunia Ke-2, British kembali perintah Tanah Melayu. Dan bermulalah suara-suara yang menuntut kemerdekaan daripada British ketika itu. Di situlah munculnya, nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman yang akhirnya berjaya menyakinkan British agar melepaskan Tanah Melayu kepada anak-anak tempatan,"jelasku panjang lebar.


Aku lihat Nu'man angguk. Cuma sesekali dia geleng kepala.


Aku pun bertanya,"kenapa geleng...tak faham ke?"


Dia geleng lagi.


Aku bertanya lagi,"Dah tu, adik keliru?"


Dia terus geleng. Kali ini dia tuding jari ke kaca televisyen. Di kaca televisyen, kelihatan watak Ahmad (askar upahan Jepun), sedang duduk bersama dengan ayah Siew Lan di samping seorang Komrad Komunis.


Kata Nu'man, "Abis tu...takkan Komunis jahat juga. Tengok tu. Dia sedang pakat dengan orang-orang kampung untuk kalahkan Jepun. Jadi komunis pun baik...bukan jahat. Komunis pun tuntut merdeka."


Aku berpinar. Ya tuhan! Ke situ fikiran anak kecil ini. Komunis yang diajarkan di sekolah-sekolah selama berpuluh tahun bahawa adalah puak penganas, malah anggotanya tidak pernah diiktiraf oleh pemerintah dianggap sebagai pejuang kemerdekaan oleh anak kecilku yang baru berusia 9 tahun.


Memanglah, kalau nak difikirkan; ramai sebenarnya yang terbabit dalam memperjuangkan kemerdekaan tanahair ini. Baik dari zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu sehinggalah ke zaman ini, termasuklah memerdekakan diri dan minda dari segala penjajahan buruk laku dalam psikologi jiwa serta fahaman masa kini.


Namun, akal sikecil yang meletakkan tentangan Komunis terhadap Jepun dan British sebagai antara pejuang kemerdekaan bukan satu perkara yang boleh diperlekehkan.


Walaupun, ramai sengsara ketika Komunis bermaharalela suatu waktu dahulu, namun jika diambil sedikit dari sudut penentangan terhadap penjajah, kita masih wajar mengakui sumbangan mereka.


(Mengingat peristiwa itu - maka berita mengenai kematian Rashid Maidin pada pagi 1 September 2006 di Selatan Thailand wajar kita renungkan - terutama buat anak-anak muda yang sudah tidak kenal sesiapa lagi yang terbabit dalam proses kemerdekaan negara; berikut serba sedikit perihal siapakah Rashid Maidin terutamanya bagi anak-anak muda masa kini. Sumber: Wikipedia)


Rashid Maidin (atau Rashid Mydin; lahir: 10 Oktober 1917) ialah pemimpin kanan Melayu dalam Parti Komunis Malaya.


Rashid dilahirkan di Kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak. Gunung Mesah terletak di tepi jalan utama antara Gopeng dengan Ipoh. Di sini ada perkampungan Melayu yang dipenuhi rumah-rumah papan dan sekarang bertukar kepada rumah batu separuh.


Isteri pertamanya, Hamidah binti Abdul Rashid, kini menetap di Gopeng.


Kerjaya politik
Pada mulanya, Rashid menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang kemudian diharamkan oleh kerajaan British kerana dituduh berhaluan kiri dan menentang British secara seluruh.


Ketika berjuang dalam PKMM, Rashid pernah ditahan beberapa kali oleh kerajaan British di pusat tahanan Tanjung Beruas, Melaka serta di Larkin, Taiping, Morib dan Tanjung Beruas. Dia pernah mengetuai mogok lapar dalam pusat tahanan tersebut bersama Pak Sako. Sebagai orang tahanan, mereka dibenarkan bekerja di luar pusat tahanan. Upah yang diberi ialah 75 sen sehari.


Rashid menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1951 dan menjadi ahli jawatankuasa pusat PKM bersama Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan Abdullah C.D di Perak.


Pemberontakan bersenjata menentang British
Rashid memilih PKM sebagai wadah perjuangan yang baru. Selepas diburu oleh pihak berkuasa Malaysia, Rashid dan gerombolannya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran sempadan Malaysia dengan Thailand.


Di sana Rashid berkahwin dengan seorang gadis Cina yang juga merupakan ahli PKM. Isterinya kini bernama Latifah. Chin Peng memberi kepercayaan kepadanya untuk memimpin Regimen ke-10 PKM di Bentong, Pahang.


Kini
Rashid Maidin menetap di perkampungan yang dinamakan "Perkampungan Malaysia" di sempadan Thailand Selatan. Jumlah rumah 62 buah dan penduduk di situ lebih kurang 200 orang.


Rumahnya dua tingkat yang diubahsuai daripada rumah asal yang hanya mempunyai satu bilik. Kiri kanan dipenuhi pokok dokong, rambutan dan buah-buahan tempatan, iaitu pemandangan yang biasa dilihat di kampung-kampung di Malaysia. Di kampung itu, dia mengajar anak-anak kampung mengaji al-Quran.


Sahabatnya, Pak Sako berkata Rashid Maidin kuat beragama.


* Mungkin penerangan penulis terutamanya mengenai sedutan kehidupan dan 'watak' dalam arena kemerdekaan iaitu Rashid Maidin akan menimbulkan sedikit kegelisahan,jika tidak banyak terhadap anak-anak masa kini, mahupun para pimpinan negara serta yang lain.


Namun, buat dengan niat untuk menjauhkan sumbangan serta pengorbanan ahli kemerdekaan yang lain, cuma nama Rashid Maidin agak 'jauh' dari pendengaran dan fahaman sejarah dalam diri anak-anak muda masa kini.


Dan seperkara, ketentuan Yang Maha Kuasa; beliau meninggal dunia pada tangal 1 September 2006 - sehari selepas kita menyambut kemerdekaan. Al-Fatihah buat semua yang terkorban dalam usaha menuntut kemerdekaan negara.

No comments: