Saturday, November 18, 2006

Hak Muslim: Wang KWSP mesti diagih ikut faraid

Hak Muslim: Wang KWSP mesti diagih ikut faraid
Bersama Zainul Rijal Abu Bakar

Penama bertanggungjawab bahagi secara hukum syarak

SUAMI saya meninggal dunia pada awal tahun ini. Saya adalah isteri kedua. Kami berkahwin lebih kurang tiga tahun dan dikurniakan dua anak. Suami berkahwin dengan isteri pertama lebih 10 tahun dan mereka mempunyai empat anak.

Suami meninggalkan beberapa harta yang kini dalam proses untuk mendapatkan surat faraid dan pentadbiran harta daripada Mahkamah Tinggi. Apa yang menyedihkan saya ialah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) arwah suami saya dikeluarkan tanpa menunggu surat pentadbiran harta daripada mahkamah.

Wang itu diambil semuanya oleh isteri pertama kerana arwah suami menamakan beliau sebagai penama tunggal untuk caruman itu. Beliau berkata saya dan anak tidak berhak langsung ke atas simpanan itu. Beliau juga berkata oleh kerana saya baru berkahwin, saya tidak berhak dengan wang KWSP. Adakah saya berhak ke atas simpanan KWSP arwah suami saya itu.
Mazlina,
Ampang, Selangor.

Jawapan:
Dalam Islam, hukum mengenai harta pusaka mempunyai hikmah tersendiri. Antaranya mewujudkan kasih sayang, menanam semangat kemesraan, tolong menolong dan bertimbang rasa di antara ahli waris.

Harta pusaka dibahagikan mengikut susunan yang diatur mengikut susun galur dinyatakan dengan terperinci di dalam al-Quran.

Nas al-Quran berhubung pengagihan harta pusaka amat jelas dan dibuat secara terperinci.

Pemberian harta pusaka kepada waris yang berhak menerima bertujuan menghapuskan rasa kekecewaan serta penindasan di kalangan ahli waris.

Perasaan kasih sayang dan timbang rasa dapat diukur dan dihasilkan dengan cara ini.

Hal ini kerana perlakuan hidup manusia kadang-kadang tidak selari dengan kehendak atau tuntutan syarak, terutama dalam perkara yang membabitkan harta benda, wang ringgit atau kedudukan.

Perpindahan harta pusaka ke tangan waris kadang-kadang dilakukan secara bertentangan dengan hukum syarak atas tujuan tertentu.

Sebenarnya ia amat bergantung kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu.

Ia juga boleh berlaku akibat kejahilan seseorang atau sifat tamak seseorang yang ingin memonopoli harta pusaka itu.

Jika penamaan dibuat, pihak KWSP memang berhak mengeluarkan wang simpanan itu kepada penama.

Oleh itu, bukan menjadi kesalahan kepada KWSP mengeluarkan wang caruman itu kepada isteri pertama suami puan.

Penamaan di dalam akaun caruman KWSP tidak boleh disifatkan sebagai pemberian.

Bagi orang Islam, penamaan yang dilakukan di dalam akaun caruman KWSP hanya bagi membenarkan KWSP mengeluarkan wang itu kepada penama untuk diagihkan kepada waris yang berhak.

Pengeluaran wang dengan cara ini tidak mengambil masa lama kerana waris tidak perlu menunggu sijil faraid dan surat pentadbiran harta pusaka dikeluarkan.

Penama bertanggungan sepenuhnya untuk mengagihkan wang itu mengikut hukum faraid.

Sebenarnya, ketika wang simpanan dikeluarkan penama dikehendaki menandatangani suatu aku janji bahawa beliau akan mengagihkan wang simpanan itu mengikut faraid.

Kegagalan mematuhi aku janji itu memberi kesan kepada penama dari sudut undang-undang.

Tindakan menurut undang-undang boleh diambil terhadap penama itu.

Penama hanya bertindak sebagai pentadbir yang wajib menguruskan wang itu mengikut hukum faraid.

Oleh itu, puan boleh menuntut wang simpanan itu bagi kepentingan puan dan anak.

Di sini juga, tidak timbul persoalan puan baru berkahwin dengan suami dan tidak melayakkan puan menuntut wang itu.

Puan berhak atas apa yang ditinggalkan oleh arwah suami mengikut faraid.

Namun, puan dinasihatkan supaya cuba berunding dengan madu terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang.

Ia kerana tindakan undang-undang mungkin mengeruhkan perhubungan puan dan anak dengan keluarga di sebelah sana.

Mungkin juga mereka tidak faham konsep penamaan di dalam caruman KWSP dan menyangkakan bahawa ia menjadi miliknya.

Puan boleh menjelaskan kepada beliau secara baik kedudukan undang-undang sebenarnya. Sekiranya perlu puan bolehlah meminta beliau merujuk kepada orang yang lebih tahu mengenai perkara ini seperti peguam dan pegawai KWSP.

Jalan penyelesaian secara perundingan adalah yang paling sesuai di dalam menyelesaikan sesuatu masalah dihadapi.

Jika boleh janganlah diputuskan hubungan kekeluargaan walaupun selepas ketiadaan suami.

Puan perlu bijak di dalam menangani isu ini terutama apabila ia membabitkan wang ringgit dan pertalian persaudaraan.

Bertolak ansur dan saling faham memahami antara satu sama lain adalah penting bagi menyelesaikan permasalahan keluarga sebegini.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Artikel ini dengan kerjasama PGSM. Pandangan dan persoalan kemukakan kepada PGSM pada admin@pgsm.org.my, faksimile 03-80259495 atau layari http://www.pgsm.org.my/v2

No comments: