Saturday, November 18, 2006

Kenyataan Ketua Pengarah IKIM dikesali

Kenyataan Ketua Pengarah IKIM dikesali
Wed Oct 18, 06 10:27:23 AM
Oleh Ustaz Ahmad Awang
Saya ingin merujuk kepada kenyataan yang disiarkan oleh akhbar The Star yang bertarikh 13 Oktober 2006 yang dibuat oleh Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) mengenai desakan untuk memecat Ketua Jabatan Syariah Takakul Malaysia, Mohd. Fauzi Mustaffa berhubung dengan larangan melalui SMS untuk kakitangannya mengucapkan Selamat Deepavali kepada para penganut yang beragama Hindu.


Sebagai seorang intelektual, beliau seharusnya tidak boleh bersikap terlalu ekstrem di dalam soalnya ini dan apakah hak Ketua Pengarah Ikim itu untuk meminta pihak Takaful Malaysia memecat Mohd. Fauzi Mustaffa. Harus diingatkan bahawa jawatan Penasihat Syariah adalah diluluskan oleh Bank Negara dan tokoh-tokoh ulama. Beliau harus bersikap rasional dan sebagai seorang Islam tidak sewajarnya meletakkan semua agama pada kedudukan yang sama.


Dalam konteks ini sebarang ucapan terhadap perayaan yang berbentuk agama adalah tidak dibenarkan. Ucapan seperti ‘ Happy Durga Pooja’, ‘Happy Lakshmi Pooja’ dan ‘Happy Deepavali’ adalah berasaskan kepada kepercayaan merayakan kemenangan Tuhan yang baik berjaya mengalahkan Tuhan yang jahat.


Perayaan Deepavali walaupun dikaitkan dengan hari menuai tetapi yang penting ialah ia disambut sebagai hari kemenangan Tuhan penganut Hindu. Dengan kata lain, sambutan itu ada kaitan dengan kepercayaan dan persembahan Tuhan Hindu. Dalam ajaran Islam, kita tidak boleh campur-adukkan persoalan akidah itu dengan agama-agama lain.


Dalam hal ini, tuduhan yang menyatakan bahawa Mohd. Fauzi Mustaffa berfikiran sempit adalah tidak tepat. Beliau bercakap atas dasar untuk menjaga akidah orang Islam. Walaupun Islam tidak membenarkan penganutnya membuat ucapan sedemikian tetapi ia tidak melarangkan orang Islam daripada bercampur-gaul dan menziarahi masyarakat India pada musim perayaan tersebut selagi mana tidak bercanggah dengan akidah dan syariat Islamiah. Malahan Islam menggalakkan umatnya mengadakan konteks sosial dengan masyrakat non muslim sama ada sebagai sahabat, jiran tetangga, rakan sekerja dan sebagainya.


Agama Islam juga tidak melarang orang Islam daripada mengucapkan Selamat Hari Jadi dan lain-lain ucapan lain yang tidak menyentuh persoalan akidah. Pada sambutan Hari Krismas umpamanya, di dalam negara di mana umat Islam merupakan golongan minoriti dan untuk tidak dianggap sebagai memusuhi penganut Kristian maka sekadar mengucapkannya tidak menjadi satu kesalahan kalau dalam hati tetap beriman dengan Tuhan yang esa. Sebagai orang Islam, kita beriman kepada Nabi Isa tetapi sebagai rasul bukannya Tuhan.


Fatwa mengenai larangan memberikan ucapan kepada perayaan yang bercorak keagamaan sebenarnya telah dibuat lebih dua dekad yang lalu. Sepatutnya Ketua Pengarah Ikim sebelum membuat kenyataan harus merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan atau muzakarah mufti-mufti terlebih dahulu. Adalah tidak adil dan biadap untuk seorang intelektual Islam membuat kenyataan melulu tanpa membuat pertimbangan yang sewajarnya terhadap pokok persoalan yang hendak dibicarakannya.


Ustaz Haji Ahmad Awang
Ketua Penerangan PAS.

No comments: