Saturday, November 18, 2006

Istidraj

Apakah dia istidraj itu?

Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana
pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.
Rasullulah s.a.w. bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala
memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat
(durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah
SWT." (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi

Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru
dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang
kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan
maksiat mereka. Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita
hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak
langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari
semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan
Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi,
hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana
pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah,
rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak,dia boleh
hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati?
Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka,
ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.

Rasullulah s.a.w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi
Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka
bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik
Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila
sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat
maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada
orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak
mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak
payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit
ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong."

Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan
tujuan untuk menghancurkannya. Rasullulah s.a.w bersabda: "Apabila
Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua
itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul æIbad)

Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah
batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak
membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap,
anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap),
dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat,
cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin
pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain
selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati,namun dia masih belum
mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku
dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud?
Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya
disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya
sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan
bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita
kaya,jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya,akhirnya binasa juga.

Jadi,jika kita kaji dan fikir betul-betul,maka terjawablah segala
keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan
orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang
diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya.
Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa
hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan
kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj.
Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang menggunakan nikmatnya
untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan
pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti
ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita
cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredhaan Allah.

Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang
itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang
diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan
menggunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas
mengabdikan diri kepada Allah.
Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian
yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan
Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Wallahualam.

"Dari Abdullah bin 'Amr R. A, Rasulullah S. A. W bersabda:
" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.."

No comments: