Saturday, November 18, 2006

Menjauhi Sikap Keterlaluan Dalam Menanggapi Isu-Isu Agama

16 NOVEMBER 2006

Menjauhi Sikap Keterlaluan Dalam
Menanggapi Isu-isu Agama


PEMBELA yang merupakan gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam utama di Malaysia menyambut baik penegasan, pandangan dan saranan berkaitan dengan kedudukan Islam di Malaysia yang dikemukakan oleh YAB PM merangkap Presiden UMNO dalam ucapan perasmiannya semalam.

YAB PM antara lain mengingatkan agar semua pihak mengelakkan pendekatan keterlaluan dalam menangani isu-isu berkaitan agama. Pendekatan keterlaluan ini termasuklah sama ada mengambil sikap yang beliau istilahkan sebagai ultra-konservatif atau lawannya mengambil sikap ultra-liberal dan permisif. Kedua-dua sikap keterlaluan ini boleh menyebabkan timbulnya suasana tegang dan mengancam kesentosaan masyarakat.

PEMBELA turut berkongsi kebimbangan YAB Perdana Menteri terhadap kemungkinan menularnya sikap melampau isu-isu berkaitan dengan Islam dan agama di negara kita, baik dari kalangan orang Islam ataupun bukan Islam. Kita bersependapat bahawa dasar-dasar kerajaan berkaitan Islam termasuk Islam Hadhari tidak wajar digunakan sebagai alasan untuk mengemukakan tafsiran dan pendekatan Islam yang berbentuk beku, jumud, bergaris keras dan ekstrim.

Sebarang tindakan menafsirkan ajaran agama Islam dengan terlampau ketat atau terlalu liberal adalah salah dan memberi gambaran yang tidak tepat terhadap Islam. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa pentafsiran dan mengenalpasti batas-batas sebenar ajaran Islam bukanlah suatu yang perlu dipermasalahkan. Sejak lebih 1400 tahun, melalui tradisi keilmuwannya yang gemilang, Islam telah menentukan sikapnya dalam pelbagai persoalan termasuk batasan antara sikap terlampau ketat dan terlampau longgar dalam menafsirkan ajaran agama. Oleh itu kita harus setia kepada prinsip-prinsip dan institusi-institusi asasi dalam Islam seperti Ijtihad, Fatwa dan Syura dalam menentukan pendirian kerajaan dan masyarakat dalam isu-isu agama yang dianggap sangat sensitif dan kontroversial.
&nb! sp;
YAB Perdana Menteri juga menegaskan peri-pentingnya semua pihak memelihara hubungan antara kaum dan agama di negara kita dengan menjauhi sikap tidak toleran serta tidak terus-menerus mempersoalkan kontrak sosial yang diamalkan sesama kita. Beliau turut mengingatkan bahawa perlunya apa-apa maklumat berkaitan isu-isu sensitif termasuk yang berkaitan agama ditapis dan dipastikan sebelum apa-apa sikap dan tindakan diambil.

PEMBELA sangat mengalu-alukan kenyataan YAB Perdana Menteri yang turut disuarakan dengan jelas oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan beberapa pimpinan utama UMNO dalam ucapan-ucapan mereka. Kejayaan kita di Malaysia menempa kejayaan dan memelihara kestabilan hingga ke hari ini adalah sangat bergantung kepada kesediaan kita memelihara elemen-elemen kontrak sosial termasuklah kedudukan agama Islam dan institusi-institusinya. Disamping turut menyumbang dalam meningkatkan dan memelihara kesucian Islam di negara kita, PEMBELA turut menegaskan komitmennya terhadap kehidupan bermasyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Islam mengajar dan menuntut semua penganutnya untuk berlaku adil dan memelihara perhubungan dan hak-hak jiran dan teman yang bukan beragama Islam. Apa-apa masalah dan isu yang timbul hendaklah ditangani dengan objektif dilatari dengan semangat tolak-ansur dan toleransi yang tinggi. Dalam realiti masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia, semua pihak perlu sangat teliti dan berhati-hati menilai apa-apa isu yang tercetus dengan merujuk kepada fakta dan maklumat yang tepat dan objektif.


YUSRI MOHAMAD

Pengerusi Mesyuarat PEMBELA,
dan Presiden ABIM

No comments: