Saturday, November 18, 2006

Sikap Dalam Berpolemik

Saya tidak mahu terlibat langsung dengan hal-hal polemik. Saya amat sedih tiap kali Islam di-polemikkan dan isu-isu dibangkitkan dan dihangatkan secara umum dan meluas sebab:

(1) Dalam kehangatan perang lidah, al-Qur'an dan Hadith, lantaran itu Allah, Rasulullah dan Islam akan diheret ke sana ke sini, ke hulu ke hilir, menjadi bahan untuk menang bahas dan debat. Bagi saya ini menjatuhkan kesucian Allah, Rasulullah dan Islam walau pun niat awalnya, dan mungkin juga seterusnya, adalah untuk memuliakan mereka dan mempertahankan kesucian Islam. Pada umumnya tidak ada sesiapa pun mempunyai niat buruk, baik yang menyokong atau yang menentang, tapi sayangnya, dan amat menyedihkan, kerana di-akhirnya inilah akibatnya.


(2) Polemik mengundang polarisasi sebab yang terlibat dan yang mendengar pasti akan memiihak, menyebelahi salah satu pasukan yang berdebat. Dalam perbahasan, tentunya ada penyokong dan ada penentang - maka berpecahlah Umat. Ia juga menjadi amat pelik apabila mereka yang melaungkan penyatuan Ummah dan perpaduan Ummah adalah juga yang mengakibatkan perpecahan Ummah.

(3) Dalam perbahasan dan debat, tentunya ada yang kalah dan ada yang menang, dan tak semestinya yang benar itu sentiasa dapat kemenangan sebab medan perbahasan tidak sama rata -
(a) ada pihak dapat ruang bahas lebih luas dari yang lain
(b) ada yang mempunyai kepetahan hujah yang lebih baik
(c) ada juga yang mendapat sokongan politik yang menguatkan bahas mereka
Justeru itu yang silap dan salah mungkin "menang" bahas. Lebih menyedihkan, sekiranya yang benar itu tewas, maka kebenaran sudah nampak kalah, dan keadaan ini akan di manipulasikan olih mereka yang mempunyai agenda tersendiri.

(4) Dalam polimik yang melibatkan para ulama dan cendiakawan - sama ada terlibat langsung atau dilibatkan - kita sebenarnya melaga-lagakan mereka sesama sendiri, dan lantaran itu, menjatuhkan status 'ulama selaku pewaris Rasul, apatah lagi diri mereka sendiri secara peribadi. Lantaran itu juga, pusat atau punca rujuk kita sudah di lemahkan. Terlalu ramai 'ulama dan cendiakawan yang telah menjadi mangsa polemik, yang telah kita musnahkan status 'ulama mereka sebab kita heret mereka mempertahankan hujah kita. Akibatnya apabila kita kalah, maka status mereka turut terjejas. Para penyokong pasukan-pasukan yang berdebat mungkin juga akan terbawa-bawa dengan emosi debat, hilang pedoman, hingga memomok-momokkan para 'ulama dan cendiakawan yang terlibat dan lantaran itu kesucian 'ilmu yang ada pada mereka itu turut terhina.

(5) Kita perlu sedar bahawa di setiap masa - sejak jenerasi Nabi Adam a.s. lagi - sudah ada yang engkar kepada Allah dan melanggar perentah Allah s.w.t., dan menjadi musuh Allah; apatah lagi di zaman kita sekarang. Dalam lain perkataan, kita perlu sentiasa waspada terhadap usaha-usaha musuh Islam dan Umamt memainkan jarum mereka, secara terbuka atau halus, dan jangn hendaknya kita memberi mereka peluang dan ruang memusnahkan kita melalui perbuatan dan tangan kita sendiri.

Saya berpengang pada dasar benar dan bijak; tak cukup hanya benar sahaja, kita perlu juga bijak - "We must be right and wise". Lantaran itu, isu-isu yang terbangkit sekarang, pada himat saya, wajarlah ditanggani secara tertutup hinggalah diumumkan secara bijak. Saya tidak menentang perbahas ilmu, apatah lagi perbincangan dan perbahasan yang mempertahankan kesucian Islam dan untuk kebaikan Umat tetapi perlulah dilakukan dengan bijak - benar dan bijak - di kalangan mereka yang ahli dalamnya, dan kemudiannya disampaikan keperingkat umum secara jelas dan mudah supaya dapat menjadi panduan dan amalan, atau pun sebagai ingatan dan nasihat.

Saya juga telah di hubungi oleh pemberita untuk memberi pendapat. Saya jawab, saya tak ikuti perkembangan ini dan tidak berminat terlibat dengannya sebab saya sedar bahawa jawapan saya sudah pasti akan menambahkan lagi kehangatan perang lidah ini - apa untungnya kepada Umat?

Mohon berbanyak maaf sekiranya tulisan saya ini menyinggung perasaan sesiapa. Saya hanya memohon agar semua pihak ambil kira emosi dan tahap iman and ilmu masyakat umum Malaysia, baik Islam atau pun bukan Islam, supaya Islam tidak jadi mangsa niat ikhlas dan murni mana-mana pihak.


18 Jun 2006
Seorang sarjana perbandingan agama

No comments: