Saturday, June 24, 2006

Wawancara bersama Dr Mahmoud Zahar, Menteri Luar Palestin
Posted on Tuesday, June 06

Sewaktu Mahmoud Zahar menghadiri persidangan NAM di Kuala Lumpur, wartawan palestinkini.info telah berpeluang untuk menemui beliau di lobi hotel Marriot Putrajaya. Beliau telah diwawancara mengenai pelbagai isu terkini Palestin selama hampir setengah jam. Berikut adalah perincian lanjut mengenai wawancara tersebut:


Maszlee Malik (MM): Selamat Datang ke Malaysia, apakah pandangan anda mengenai Malaysia secara umum?

Dr Mahmoud Zahar (MZ): Terima Kasih. Malaysia adalah sebuah negara yang indah dan cantik. Anda semua bertuah menjadi rakyat Malaysia. Kami di Palestin sentiasa mendengar yang elok-elok tentang Malaysia, dan kami menyangkakan Malaysia adalah sebuah negara yang mendaulatkan sistem Islam. Kami juga sentiasa mendengar bahawa rakyat Malaysia amat prihatin terhadap isu Palestin.

MM: Selepas anda berada di sini, bagaimana persepsi tersebut?

MZ: Cukuplah saya mengatakan, saya amat berbangga dengan Malaysia, cuma saya merasakan umat Islam di Malaysia perlu berusah alebih lagi untuk memastikan sistem Islam yang adil dan indah dapat dinikmati oleh semua.

MM: Kita berbalik kepada isu Palestin pula. Anda telah dijemput oleh kerajaan Malaysia ke persidangan NAM mewakili kerajaan Palestin yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat. Farouq Qadumi pula mendakwa beliau juga merupakan wakil kerajaan Palestin yang sah kerana beliau mewakili PLO dan Fatah. Ini mengelirukan banyak pihak, terutamanya rakyat Malaysia. Siapakah wakil Palestin yang sebenar?

MZ: Saya telah diundang oleh menteri Luar anda untuk mewakili kerajaan Palestin yang sah ke persidangan NAM. Kerajaan Palestin adalah mewakili rakyat Palestin, kerana mereka telah memilih kami lewat pilihanraya 25 Januari yang lalu. Kerajaan yang diterajui oleh saudara Ismail Haneyyah telah memilih saya untuk menjadi menteri luar yang mewakili mereka. Rombongan saya adalah rombongan yang mewakili kementerian luar Palestin mewakili rakyat Palestin. Bersama saya terdapat pegawai kementerian yang mewakili Fatah, Front Demokratik dan juga PA saya yang merupakan mantan wartawan akhbar di Gaza. Rombongan kami tidak syak lagi mewakili rakyat Palestin yang sah, dan kami telah dijemput secara rasmi melalui saluran diplomatik (G to G).


Faruq Qaddumi (gambar), kehadirannya di persidangan NAM masih menjadi misteri

MM: Bagaimana pula dengan Farouq Qadumi? Di dalam akhbar Utusan Malaysia, beliau mengatakan bahawa beliau adalah wakil yang sah dan wakil rasmi "negara Palestin" (State of Palestine) dan beliau datang untuk mengajar anda selok belok hubungan diplomatik?

MZ: Beliau hanya mewakili dirinya sendiri dan tidak langsung diundang ke persidangan NAM ini. Saya telah memastikan perkara ini dengan Menteri Luar anda. Beliau (Menteri Luar) terpaksa menerima Qadumi kerana Qadumi telah mendesak beliau untuk menerimanya menjadi wakil Palestin di persidangan NAM. Ini bukanlah kali pertama beliau membuat kacau seumpama ini. Di Khartoum, sewaktu persidangan Liga Arab diadakan, beliau telah melakukan perkara yang serupa terhadap Presiden Mahmoud Abbas. Beliau telah memalukan Mahmoud Abbas yang mewakili Palestin. Beliau juga pernah melakukan perkara yang sama kepada Yaser Arafat sewaktu hidup beliau. Pendekata, beliau sememangnya mempunyai agenda beliau yang tersendiri. Untuk pengetahuan anda juga, beliau (Qadumi) tidak tinggal di Palestin, beliau tinggal di villanya di Tunisia dan tidak pernah menjenguk kem-kem pelarian Palestin pun. Rakyat Palestin tahu akan hal ini. Ada pihak yang mengatakan beliau mewakili Fatah di dalam persidangan ini, ini tidak benar!, wakil Fatah ada bersama saya sebagai wakil kementerian luar dan juga sebagai pegawai di bawah kementerian saya. Beliau juga tidak bersetuju dengan Qadumi. Seperti yang telah dikatakan oleh wakil dari Cuba, Malaysia sepatutnya bersikap lebih teliti sebelum membuat keputusan menerima Qadumi. Saya berharap agar Malaysia tidak tersilap lagi selepas ini.

MM: Mengapa anda membokikot persidangan NAM pula?, bukankah anda boleh menyuarakan suara rakyat Palestin di sana?, bukankah tindakan anda hanya akan melihatkan bahawa anda seorang yang tidak profesional?

MZ: Anda mahu melihat kami bertengkar di hadapan orang ramai?, saya bukan memboikot persidangan. Saya tidak mahu nanti apa sahaja yang saya suarakan mewakili rakyat Palestin akan dibangkang oleh Qadumi di hadapan orang ramai. Bukankah ini akan memalukan rakyat Palestin sahaja. Biarlah saya mengalah untuk mengelakkan risiko yang lebih besar. Apa yang lebih penting saya telah berpeluang untuk bertemu dengan PM anda untuk mengadakan perbincangan dua hala.

MM: Saya rasa tindakan anda ini matang, tetapi apakah pula kata media? Yang jelas media telah memanipulasi tentang isu ini.

MZ: Media yang jujur dan profesional tidak akan besikap sedemikian. Hanya media yang pro-Zionis dan tidak profesional sahaja yang akan memanipulasi isu ini untuk pihak-pihak yang tertentu. Saya harap media di Malaysia tidak akan melakukan sikap yang sama seperti media-media korup di luar sana.

MM: Berbalik kepada isu bantuan, adakah kerajaan Malaysia menyalurkan apa-apa bantuan kepada rakyat Palestin melalui anda?, anda telah bertemu dengan PM...

MZ: PM anda telah berjanji untuk menyokong kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat Palestin. Dia seorang yang baik hati dan lembut kata-kata. Beliau juga komited untuk memberikan bantuan, tetapi beliau tidak memberikannya melalui saya ataupun kerajaan Palestin yang disokongnya itu. Sepatutnya tindakan beliau selari dengan kata-katanya. Jika beliau menyokong kami, maka bantuan perlu disalurkan melalui kami juga. Saya tidak tahu apakah yang difikirkan oleh PM anda. Walau bagaimanapun, sikap beliau ingin memberikan sokongan kepada kami pada kapisiti beliau sebagai pengerusi OIC serba sedikit telah menaikkan imej kami di kalangan negara-negara OIC yang lain. Apa yang penting juga beliau tidak menghalang segala usaha rakyat untuk isu Palestin ini.

Media yang jujur dan profesional tidak akan besikap sedemikian. Hanya media yang pro-Zionis dan tidak profesional sahaja yang akan memanipulasi isu ini untuk pihak-pihak yang tertentu

MM: Saya difahamkan anda baru pulang dari Indonesia dan Brunei. Bagaimanakah sambutan kerajaan dan rakyat di kedua-dua buah negara?

MZ: Saya ingin merakamkan kepada dunia takjubnya saya kepada Indonesia. Kerajaannya begitu positif, terutamanya ketua speaker Dewan Rakyat mereka, iaitu Dr Hidayat Nurwahid. Kerajaan Indonesia bersikap begitu pro-aktif berbanding kerajaan-kerajaan negara Islam yang lain. Kempen untuk membantu rakyat Palestin begitu hebat di sana. Saya juga kagum dengan inisiatif Partai Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia. Mereka telah menganjurkan rapat umum sebagai solidariti berasama rakyat Palestin. Puluhan ribu telah menghadiri rapat umum tersebut. Mereka begitu serius di dalam usaha membantu rakyat Palestin, walaupun di waktu yang sama mereka turut sibuk membantu mangsa bencana alam di dalam Indonesia sendiri. Mereka telah menyalurkan bantuan melalui saya dan juga saluran-saluran yang lain. Saya mendoakan agar Allah akan memberikan kekuatan kepada rakyat Indonesia dan semoga Allah akan mencurahkan rezeki kepada umat Islam di sana dan semoga Islam akan berdaulat di bumi tersebut.

MM: Brunei pula?

MZ: Sultan Brunei merupakan seorang yang begitu bersimpati kepada isu Palestin. Ketika bertemu dengan beliau, saya merasakan beliau seorang yang begitu ikhlas di dalam kata-katanya. Beliau berjanji untuk menyokong Palestin di dalam setiap mesyuarat di peringkat antarabangsa.

MM: Bagaimana dengan bantuan?

MZ: Beliau belum menjanjikan apa-apa lagi setakat ini.

MM: Kita kembali ke Palestin. Sekarang in kita didedahkan oleh media antarabangsa mengenai perpecahan dalaman rakyat Palestin, secara spesifik di antara HAMAS dan Fatah. Apakah ini akan membawa kepada peperangan saudara seperti yang diramalkan oleh Condoleeza Rice?

No comments: