Saturday, June 03, 2006

MEMPERKASA TARBIYYAH: MEMBINA WAHDATUL FIKR

Sdr. Hasri Harun (kini mantan YDP ABIM Selangor)
Muktamar ABIM Selangor, 21 Mei 2006

MEMPERKASA TARBIYYAH: MEMBINA WAHDATUL FIKR


Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dan keluarga baginda. Syukur saya zahirkan ke hadrat Allah SWT kerana Inayah dan keberkatanNya dapat kita bersama berada pada majlis Muktamar Sanawi ABIM Selangor pada kali ini. Program ini juga bersempena dengan Majlis Hari Guru dan Tamrin Guru-Guru ABIM Selangor. Bagi pihak seluruh Qiyadah ABIM Selangor sesi 2005/2006 saya mengucapkan terima kasih atas komitmen dan partisipasi saudara dan saudari sepanjang setahun yang lalu khususnya dalam wadah ABIM yang tercinta ini. Saya juga ingin mengucapkan selamat datang kepada semua Ahli Majlis Syura ABIM Negeri, para mantan pimpinan ABIM negeri, Barisan pimpinan Wadah Negeri Selangor, para tetamu yang dijemput hadir pada hari ini. Semoga kehadiran semua akan menyemarakan lagi majlis kita pada pagi yang mulia ini.

Bersempena dengan hari guru yang masih diraikan saya bagi pihak ABIM negeri selangor ingin mengucapkan selamat hari guru kepada seluruh guru-guru terutama sekali kepada guru-guru ABIM yang telah bekerja keras sebagai pendidik dan pembimbang generasi pewaris untuk meneruskan agenda perjuangan dan tugas para Anbia’ iaitu menyamaikan ilmu dan hikmah kepada generasi akan datang. Tugas sebagai guru adalah hampir menyamai tugas para Rasul sebagaimana yang diungkapkan oleh Allah dalam al-Quran :


“ Dialah yang mengutuskan Rasul sebagai ummiy dikalangan kamu untuk mengajar dikalangan kamu ayat-ayatNya dan dia lah yang menyucikan dikalangan kamu, dan mengajar kamu kitabNya dan dengan hikmah...

Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Belia, kepada semua pendokong gerakan belia di bawah payung ABIM agar kita sentiasa membuat perubahan diri dan idealisme perjuangan agar kita mampu meneruskan aspirasi perjuangan belia dengan memartabatkan Islam dipersadanya. Begitu juga tidak ketinggalan selamat hari ibu kepada semua ibu-ibu dan para isteri. Moga perjuangan ibu-ibu dalam perjuangan abim akan terus diperkasa bukan sahaja melahirkan anak tetapi juga menjadi model dan pembentuk jati diri anak-anak agar meneruskan perjuangan ayah-ayah mereka dalam perjuangan Islam di bawah lembayung ABIM.
Menginsafi Perjuangan Gerakan

Saya mulai ucapan ini dengan mengajak sahabat pimpinan dan ahli-ahli gerakan ABIM untuk kita merenung kalamullah ini untuk menjadi renungan motivasi kita untuk masa depan kita:

“ Dan sesungguhnya inilah jalanku yang lurus, maka hendaklah kamu ikutinya, dan janganlah kamu ikut berbagai jalan lain, ini boleh memecahkan kamu dari jalannya, demikian kamu dipesankan mudah mudahan kamu bertaqwa”

Saya ingin mengajak seluruh pimpinan dan ahli-ahli dan pendokong gerakan ABIM supaya kita mulakan pertemuan pada pagi yang mulia ini dengan merenung kembali asas-asas perjuangan kita di dalam ABIM ini. Apakah kita masih berada di landasan yang sebenarnya? Barangkali kita pernah bicarakan hal ini dalam tamrin-tamrin dan usrah-usrah yang kita lakukan sama ada di negeri , daerah dan pertemuan berkala di semua peringkat. Namun apa yang ingin saya ketengahkan pada hari ini adalah mengajak kita bersama untuk menilai sejauhmanakah pengorbanan dan perjuangan yang telah dan sedang kita lakukan ini benar-benar berlandaskan hakikat perjuangan Islam yang sebenar. Apakah jiwa kita telah disematkan dengan kalimat jihad yang berpaksikan kepada dakwah Islamiah sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran. Apakah kita telah yakin bahawa sepanjang kita bersama gerakan ini kita telah benar-benar hebat sebagai pendakwah. Mari sama-sama kita renung firman Allah Subhanahu Wa Taala :

“ Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan begitu sahaja mengatakan, Kami beriman dan mereka tidak diuji.

ABIM sebagai sebuah gerakan yang ditubuhkan atas cetusan kesedaran untuk melebarluaskan usaha-usaha dakwah kepada masyarakat dalam negara ini, menjunjung nilai dan hakikat perjuangan berlandaskan sumber dan dasar Islam sebagai Ad Din. Justeru kita sebagai ahli dan pendokong gerakan ABIM khususnya di Selangor ini, apakah yang telah kita lakukan. Sepanjang lebih 30 tahun kita dipersada dakwah telah banyak kita lakukan. Apakah nilai kualiti atau kuantiti yang kita harapkan?. Marilah sama-sama kita membuat muhasabah apakah benar-benar kita mempunyai kesedaran yang sebenarnya tentang hakikat perjuangan yang diasaskan oleh para senior kita sebelum ini, atau kita hanya sekadar meneruskan perjuangan untuk meniti satu tahap kehidupan yang baik atau dengan kata lain sekadar melepaskan batuk ditangga. Apakah kita sebagai pimpinan yang di amanahkan untuk mewarisi kepimpinan dan mendokong gerakan ini benar-benar bersedia untuk berkorban dalam memastikan segala usaha kita untuk meletakan usaha dakwah berada di persadanya.

Perjuangan Islam yang kita dokongi bersama ini adalah mata rantai perjuangan yang telah di asaskan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Jika kita memahami bahawa keterlibatan kita dalam ABIM bukanlah satu kebetulan dan sekadar untuk mengisi ruang dan masa kita dalam konteks kehidupan. Jika tarbiyyah yang kita lalui selama ini benar-benar mantap tidak mustahil kita akan sama-sama berjuang dalam perjuangan ABIM tidak kira usia dan masa yang kita ada. Walaupun kita percaya ruang masa yang ada pada kita amat terbatas sekali, dengan tugas sebagai pekerja di tempat kerja, sebagai suami atau isteri dirumah,namun jika kita mempunyai kesedaran yang jelas maka tidak timbul soal tidak cukup masa, tidak berkemampuan atau berbagai lagi alasan dalam perjuangan. Kefahaman melibatkan diri secara menyeluruh ini adalah berdasarkan ketetapan Allah Taala agar kita semua memulakan kehidupan dalam gerakan ini secara menyeluruh dan tidak memilih tempat dan kemampuan . Firman Allah Taaa :

" Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh.

Oleh yang demikian, sahabat seperjuangan jika kita benar-benar memahami konteks keterlibatan dalam gerakan kita, maka tidak akan timbul rasa gundah gulana, rasa tidak punya kepentingan, rasa bersalah, menghilang kan diri dalam perjuangan dan sebagainya. Akibat daripada ketidakjelasan dalam tarbiyah ramai dikalangan pimpinan dan ahli yang berkubur semangat perjuangan mereka dalam ABIM.

Sahabat sekelian, memang mudah untuk melempar persoalan yang sebegini namun hakikat yang harus kita terima adalah kita harus memulakan gerak langkah kita dengan meneliti dan membuat muhasabah bersama untuk kita mencari jalan agar kita tidak menghadapi fenomena kejumudan yang boleh membawa kepada ketidakstabilan dalam gerakan kita. Walau apa pun yang sedang kita alami pada hari ini dengan kekurangan dan kelemahan yang kita lakukan, yang pasti kita harus mempunyai satu misi dan visi yang segar dan sentiasa bugar dalam memimpin umat dalam konteks pemerkasaan tauhid dalam diri kita. Apa yang harus kita lakukan dalam konteks muhasabah bukan sahaja memperkemas agenda dan perancangan jamaah kita tetapi lebih daripada itu kita harus sama-sama memperkasa ruh dan elemen tauhid yang menjadi asas kepada kekuatan kita yang mampu membina jati diri pendokong dakwah dengan lebih mantap lagi.

Tauhid sebagai paksi kekuatan : Dari sini kita bermula

Kalimah Tauhid yang menjadi asas kekuatan umat adalah perkara yang cukup penting dalam mengisi dan memantapkan jati diri para pendokong gerakan kita. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini. Nilai dan kekuatan para pendokong gerakan kita dari mula lagi adalah memastikan perkara asas Tauhid dan kefahamannya benar-benar bersumberkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah yang menjadi paksi kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Justeru itu, kita harus kembali membuat penilaian dan pembaikan diri kita dengan membuka dimensi baru agar ahli dan pendokong gerakan kita membina kefahaman tauhid ini dengan amalan-amalan islami yang berdasarkan kepada ajaran Islam bersumberkan kepada peringatan Baginda Nabi SAW. Jika kita benar-benar memahami kepentingan memahami elemen tauhid dan menjadikannya amalan hidup kita maka saya yakin dan percaya kita bersedia dan dapat melahirkan ahli dan pimpinan yang berkualiti.

Marilah kita bermula pada hari ini sama-sama mempertajamkan ilmu kita dengan mendalam elemen tauhid dan aqidah, agar diri kita sebagai pendakwah tidak berada dalam suasana yang tidak konsisten sebelum berhadapan dengan cabaran dan realiti masyarakat yang akan kita hadapi nanti. Barangkali kita semakin alpa bahawa nilai dan kekuatan yang telah kita lalui sebelum ini adalah sangat menitikberatkan persoalan pengurusan , program, imej dan pentadbiran. Namun kita semakin tertinggal untuk membicarakan tugas kita sebagai pembawa risalah Nabi, menjelaskan kebenaran dan keadilan, memerlukan kepada bukan sahaja kekuatan luaran tetapi lebih daripada itu adalah kekuatan ruhani dan dalaman yang mana jika ia tidak diambil peduli bakal memberi kesan yang negatif kepada imej dan gerakan kita. Oleh itu marilah kita mulakan langkah dengan mempertingkatkan kualiti dalaman ahli dan pimpinan dengan mendekatkan diri dengan Tilawah al-Quran, pemahaman dan tafsiran yang bersifat haraki agar kefahaman tidak hanya berhenti setakat di minda tetapi terjelma dengan perbuatan. Marilah kita menanam iltizam untuk mempertingkat amalan-amalan solat-solat sunat, qiyamullail yang merupakan asas kekuatan yang hanya dapat dirasa bagi mereka yang melakukanya. Telah banyak peristiwa dan sejarah yang dinukilkan dalam kitab-kitab sirah di mana Allah Taala telah memberi kejayaan kepada hambanya yang sentiasa merancang dan merencana agenda perjuangannya dan sentiasa mendekatkan diri dengan aktiviti kerohanian. Begitu juga kita pernah mendengar bagaimana Allah menewaskan dikalangan hambanya yang menjauhkan diri daripada Nya dari pada kejayaan yang sepatut menjadi hak mereka. Apakah kita tidak pernah menilai akan hakikat dan realiti yang dijelaskan tersebut.

Sayid Abul Ala al-Maududi dalam bukunya Beberapa Peringatan untuk para dai menyebutkan bahawa betapa elemen Tauhid yang menjadi asas kekuatan iman seseorang itu tidak boleh dijadikan perkara kedua dalam hidup. Sebagai daei kita harus memahami terlebih dahulu kepentingan dalam hubungan kita dengan Allah. Jangan kita sentiasa hanyut dengan ujian dunia dan hampir menenggelamkan kefahaman kita dengan Tuhan semesta Allah.

Oleh yang demikian, sahabat sekelian, bermula pada kali ini marilah kita sama-sama menanamkan azam untuk membina kefahaman kita dalam konteks Aqidah dan Tauhid kita kepada Allah -dengan mempelajari ilmu-ilmu tauhid dengan tokoh-tokoh kita yang cukup baik. Janganlah kita sentiasa merasa cukup dengan ilmu yang ada semata-mata, namun harus ada jiwa untuk meningkatkan kualiti kerohanian dalam hidup berjamaah.

Pendakwah dan Hikmah Jiwa

Antara kekuatan yang mampu kita jana dalam konteks gerakan kita adalah memperkasa jati diri pendakwah kita . Pendakwah ABIM dalam konteks hari ini haruslah mempunyai nilai tambah yang berbeza dengan pendakwah-pendakwah diluar sana. Walaupun kita bukanlah menafikan keterlibatan pendakwah selain daripada aktivis abim , apa yang saya maksudkan jatidiri pendakwah abim haruslah mempunyai citra dan nilai yang mempamerkan akhlak islami. Pendakwah abim bukan sahaja berilmu dalam menggerakkan program dakwah tetapi pendakwah abim haruslah mempunyai etika dan pancaran moral yang tinggi untuk mendepani sasaran dakwah kita. Pendakwah ABIM harus menjadi seumpama sepohon pokok yang didahannya mengandungi buah yang masak ranum, yang biasa menjatuhkan buah-buah tersebut jika dijolok. In bererti tugas kita adalah menyampaikan sesuatu dengan hikmah dan budaya yang boleh menenangkan jiwa setiap yang mendengarnya.

Firman Allah yang berbunyi :

“ Siapalah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata, Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.

Pendakwah yang baik adalah mereka yang mempunyai nilai dan jiwa yang murni. Setiap tindakan yang dilakukan tidak hanya berdasarkan manis mulut tetapi berfikiran yang enak beserta kata-kata yang indah dan cukup mengagumkan. Pendakwah ABIM tidak harus sengaja mengeluarkan kata-kata sekadar menyampaikan mengikut cita rasa, sekalipun pada dirinya di anggap kebiasaan atau suatu yang bersifat baik baginya. Pendakwah ABIM harus punya cara dan bentuk tatacara yang begitu menyenangkan umpama pepatah melayu, menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Selain daripada itu pendakwah yang baik adalah mereka yang mempunyai ilmu dan hikmah yang tinggi. Apa yang saya maksudkan dengan pancaran ilmu adalah bagaimana para pendakwah kita mampu menggunakan ilmu yang mereka ada dan mempunyai hikmah yang cukup tinggi dalam melaksanakan ilmu yang dimiliki. Jangan hanya kerana ilmu yang kita ada sebagai pendakwah, maka kita mudah menyampaikan mengikut selera dan cara kita sendiri tanpa mempunyai kemampuan menilai persekitaran yang kita berada. Pendakwah dalam ABIM harus mempunyai jiwa yang murni untuk berdakwah. Ini kerana dakwah yang kita warisi ini bukan sahaja menuntut kita mempunyai ilmu yang tinggi semata-mata tetapi tidak mempunyai kualiti untuk menyebarluaskan dakwah dengan hikmah yang tinggi.Sebab itu lah ramai dikalangan para mad’u yang tidak bersedia mendekati kita kerana kita tidak mempunyai hikmah yang tinggi dalam berdakwah.Pakej seorang pendakwah yang harus kita punyai adalah meliputi keilmuan yang tinggi, pemahaman dan ketepatan menilai suasana dan para sasaran dakwah dan tidak mudah berada dalam lingkungan ketidakstabilan

Oleh yang demikian. Akhlak dan jatidiri pendakwah dalam abim bukan sahaja mampu menyampaikan dakwah tetapi harus mempunyai etika dan peraturan yang tersendiri jangan kerana kita sudah mempunyai ilmu maka kita membiarkan cara dan kaedah kita sendiri menyampaikan dakwah tanpa mempedulikan persekitaran. Jangan sampai mereka yang kita dakwah itu berada dalam keadaan kekecewaan atas sikap dan pendirian kita yang kononnya berada dalam suasana kebenaran. Inilah yang bakal mengundang kegagalan dakwah akibat keegoan pendakwah dalam dunia dakwah yang ada pada hari ini.

Merencana agenda gerakan

Sebagai sebuah institusi dakwah yang berperanan menjalankan usaha-usaha dakwah, kita tidak boleh hanya melakukan tugas dengan sambil lewa. Tugas kita sebagai pendakwah bukan sahaja menjalankan tugas mengajak manusia kepada kebenaran dan menghalang kemungkaran dalam tempoh yang singkat tetapi lebih daripada itu adalah merancang pelan bertindak yang selari dengan hasrat ABIM sebagai juru bicara umat. Sememangnya ABIM harus mempunyai pelan jangka masa panjang agenda gerakan yang harus diteliti secara mendalam dan berpandukan kepada penelitian yang sebenarnya. Oleh sebab itu, dipihak kepimpinan kita sedang merangka pelan bertindak 3 tahun Agenda Dakwah ABIM yang mana pelan tersebut merangkumi objektif jangka panjang dan jangka pendek, sasaran dakwah, strategi dakwah dan bahan-bahan yang menjadi alat dakwah kita kepada masyarakat. Dalam perhimpunan syura baru-baru ini kita telah sepakat untuk membentangkan Rancangan 3 tahun ABIM Selangor yang akan dibengkel sedikit masa lagi, serta kita akan memasakkan strategi tersebut agar ianya selari dengan misi dna visi ABIM.

Diperingkat daerah, saya ingin menyeru kepada sahabat-sahabat pimpinan agar mengemaskini strategi dakwah masing-masing agar peranan dan kewujudan ABIM di daerah-daerah tidak hanya berfungsi sebagai institusi pendidikan sekolah semata-mata tetapi prasarana tersebut boleh digunakan untuk aktiviti dakwah dan kemasyarakatan, bengkel, ceramah dan forum. Perluaskan fungsi institusi pendidikan ABIM yang mana ianya tidak hanya sebagai sebuah bangunan menempatkan pelajar, tetapi institusi ini juga boleh menjadi one stop centre untuk masyarkat merujuk untuk mendapatkan perkhidmatan nasihat dan bimbingan.

Sebagai sebuah gerakan dakwah juga, kita harus bersedia untuk mendampingi institusi-instusi yang begitu banyak dalam konteks dakwah. Untuk memastikan kewujudan kita benar-benar dirasai oleh umat. Al-hamdulillah sejak beberapa tahun kebelakangan ini , ABIM selangor telah mengorak langkah membina rangkaian dan mempereratkan lagi perhubungan dengan badan-badan NGO lain yang berada di negeri selangor ini. Hubungan ABIM negeri dengan Majlis Belia Selangor juga semakin baik. Badan-badan dakwah seperti JAIS, Majlis Agama Islam Selangor, Kerajaan Negeri Selangor, Perkim dan sebagainya menampakkan ruang dakwah kita begitu besar sekali. Ini juga dibuktikan apabila ABIM selangor telah diberi mandat menganggotai Ahli Majlis Perundingan belia Negeri 2005-2007. Dan baru-baru ini ABIM Selangor juga telah diberi kepercayaan menganggotai Ahli Jawatankuasa Biro Bina Insan, Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS). Kepercayaan yang diberikan ini telah menunjukan ruang dakwah kita semakin baik dan menuntut kita lebih agresif dan dinamik.

Oleh yang demikian, saya ingin menyeru kepada pimpinan ABIM daerah-daerah seluruh negeri agar mengemaskini jawatankuasa negeri sebaik mungkin. Binalah hubungan baik dengan rakan-rakan kita daripada pertubuhan dakwah, pertubuhan belia yang berperanan di daerah-daerah masing-masing. Saya percaya bahawa, ABIM sememangnya mendapat tempat di hati masyarakat jika kita benar-benar menjalankan tugas kita dalam masyarakat. Rancangkanlah program bersama dengan NGO yang ada di daerah masing-masing bagi mengembangkan dakwah kita di negeri selangor tercinta ini.

Mensyukuri kejayaan dengan keadilan

ABIM Selangor pada tahun ini telah diberikan satu penghargaan yang cukup besar dan bermakna oleh Kerajaan Negeri selangor melalui Jabatan Agama Islam Selangor apabila kita mendapat Anugerah Maal Hijrah Kategori Pertubuhan Dakwah. Anugerah yang diberikan ini adalah julung-julung kali diwujudkan oleh Kerajaan Negeri semata-mata untuk memberikan penghargaan kepada pertubuhan dakwah yang ada di negeri selangor yang telah bersama-sama menyumbang dalam kejayaan program-program dakwah kepada masyarakat. Penghargaan yang kita perolehi ini ditanggapi dengan dua perkara. Pertama adalah kita merasa bersyukur atas kejayaan dengan penuh keadilan . Ini adalah merupakan satu penghargaan yang diberikan kepada seluruh warga besar ABIM khususnya dinegeri selangor ini dan seluruh penggerakan abim dan kita juga mengucapkan tahniah juga kepada mantan-mantan abim yang telah bertungkus lumus menggerakan aktiviti dakwah dari dahulu hingga pada hari ini. Cuma kita sebagai penggerak dan pendokong abim zaman ini hanya menerima kejayaan dengan penuh keinsafan. Tanggapan yang kedua, sebagai satu cabaran dalam gerakan dakwah ,saya merasa bahawa penganugerahan ini adalah satu proses muhasabah kita untuk membuat penilaian dengan tepat dan mantap. Kita tidak harus dibuai dengan kejayaan tanpa meneliti akan hikmah disebalik kejayaan tersebut. Sebagai pendakwah yang mempunyai nilai dan jati diri yang hebat, kejayaan ini dianggap sebagai satu cabaran. Kita sebagai gerakan Islam di Malaysia harus membuat adjustment, pemerkasaan agar kejayaan in mampu untuk memberi motivasi kepada kita untuk lebih bekerja keras meneruskan usaha dakwah kita. ABIM selangor harus sama-sama membuat pelan bertindak bagaimana kita harus mengemaskini dari segi pentadbiran, pengurusan, ekonomi dan agenda serta aktiviti kita agar kita mampu pergi lebih jauh daripada hari ini.


Memperkasa Tarbiyyah dalaman

Tarbiyah adalah elemen yang cukup penting dalam menentukan jatuh bangunnya gerakan abim pada hari ini. Ketika di mana-mana kita berada samada dalam abim mahu pun dalam masyarakat, bila mana kita berperanan dalam dakwah, tarbiyyah yang kita lalui itulah yang akan menjadi ukuran kejayaan kita. Sebab itulah saya percaya bahawa kita tidak boleh berkompromi dalam soal tarbiyyah. Jika kita mahu lebih maju dan hebat dalam konteks gerakan kita maka mesti lah melalui proses tarbiyyah yang benar dan bersedia untuk melakukan islah dan pembaikan jiwa dan diri kita. Para penggerak abim harus mempunyai keyakinan walaupun kita mempunyai kehebatan dalam apa juga bidang samada kehebatan ditempat kerja, mempunyai ketrampilan diri yang hebat, mempunyai jawatan dan pangkat yang besar, namun tarbiyyah lah boleh menjadi ukuran kepada kehebatan di sisi Allah. Maka saya menyeru kepada ahli-ahli abim sekelian, janganlah kita alpa dengan tugas kita untuk sentiasa mendalami dan memperbaiki diri, tanamkan jiwa kita untuk mendidik jiwa , sentiasa sedar diri dan tidak mudah hanyut dengan tipuan duniawi yang sentiasa berada di mana-mana.

Sekadar memberi pandangan bahawa sindrom menolak kepentingan jamaah dengan hanya memberi aulawiyat kepada kepentingan peribadi adalah antara kesan daripada tarbiyyah yang cukup kering kontang. Adalah terlalu sedih dan amat berat untuk menyatakan kebenaran namun disebalik berat mata memandang berat lagi untuk berbicara tentang kepentingan hidup berjamaah. Kita bersyukur bahawa Allah anugerahkan dengan kehidupan yang cukup baik. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa menyumbang kepada gerakan dakwah demi masa depan Islam.

Membina Wahdatul Fikr

Dalam memastikan jamaah berada di dalam satu pergerakan yang melandasi titian sirat al-Mustaqim, antara syarat yang menjadi teras kepada kekuatan jamaah selain daripada iman yang benar adalah akal dan fikrah yang bersatu. Dalam konteks gerakan, antara amalan yang menjadi teras kekuatan kita adalah amal jamai. Setiap tindakan haruslah diteraskan kepada konsep, taawun yakni bekerjasama dalam melakukan tugas dakwah. Namun disebalik tugas sebagai pendokong dakwah bukan sahaja kesatuan daripada agenda perjuangan malahan ia memerlukan kesatuan pemikiran yang membawa kita kepada jalan yang diredhai Allah SWT. Jalan yang pasti untuk kita meneruskannya memerlukan kita lebih memandang kepada kebenaran yang di bawaha lambayung Allah SWT bukan kebenaran yang berada di dalam jiwa manusia semata-mata.

Sebagai pendokong gerakan dakwah apa yang harus kita fahami dalam konteks wahdatul fikr ini adalah bagaimana kita bersedia untuk bersama dalam penyatuan fikrah perjuangan, bagaimana kita bersedia untuk saling hormat menghormati sesama kita, mengambil jalan yang benar sekalipun fikirah dan idea yang kita bawa tidak menjadi popular dan tidak mendapat respon daripada yang lain. Kita mengakui dikalangan ahli-ahli gerakan kita sememangnya mempunyai pandangan dan buah fikiran yang cukup banyak, namun ada disebalik cambahan pemikiran ini jika tidak di dasarkan kepada prinsip kebenaran dan menolak keburukan, maka sebarang penyatuan tidak akan mencapai matlamatnya.

Kekuatan Wahdatul Fikr ini akan terbina jika melepasi syarat dan pendekatan yang sering kita bicarakan iaitu melalui elemen taaruf, tafahum dan taawun. Ketiga-tiga eleman jika benar-benar difahami maka kita mampu untuk tampil menyediakan pandangan dan tidak merasa akan pandangan kita sahaja yang benar dan menolak pandangan orang lain.

Isu-Isu Luaran : Peranan ABIM

Para muktamirin dan muktamirat sekelaian,

Marilah kita sama-sama meneropong kembali dalam hal dan isu dalaman kita sebagai gerakan. Kita telah berusaha untuk menjana kefahaman agar kita dapat melakukan muhasabah agar pergerakan kita pada masa akan datang akan lebih dinamik lagi.

a. Dakyah Islam Liberal semakin berleluasa

Dalam muktamar yang lalu saya ada menyentuh peranan kita sebagai gerakan Islam dalam menangani isu-isu semasa berkaitan dengan Islam Liberal. Hari demi hari kita perhatikan bahawa gerakan Islam Liberal yang bergerak semakin berani dengan agenda perjuangan mereka untuk menyebarluaskan dakyah mereka kepada masyarakat. Walaupun kita ketahui bahawa kumpulan yang menganggotai gerakan kini cukup minima tetapi tekad perjuangan mereka cukup hebat dan sememangnya terancang. Baru-baru ini juga kita perhatikan bagaimana agenda penubuhan IFC ( Inter Religious Council) yang menjadi isu hangat dalam negara telah melihatkan bagaimana gerakan ini semakin berani untuk mengembangkan sayap mereka dipersada tanahair. Walaupun pihak kerajaan menangguhkan penubuhanya IFC ini namun saya amat percaya bahawa gerakan mereka belum lagi berhenti dan masih berjalan. Cadangan pindaan perlembagaan Perkara 121 (A) yang juga diketengahkan oleh kelompok Islam Liberal ini adalah ruang yang cukup baik bagi mereka menonjolkan diri dalam arena undang-undang Islam di Malaysia.

Disebalik hikmah perjalanan dan cabaran gerakan Islam Liberal di negara kita ini, apa yang harus kita lakukan adalah mengenalpasti cabaran yang sedang kita hadapi dan menyediakan ruang-ruang forum dan perbincangan untuk memahamkan akan masyarakat tentang bahayanya gerakan ini kepada masa depan umat Islam. Oleh itu bermula selepas ini marilah sama-sama kita menggerakan tugas kita bagi menyediakan platform ruang dan forum diseluruh negeri di selangor bagi memahamkan masyarakat tentang bahaya Islam Liberal ini. Disamping itu, risalah-risalah berkaitan dengan dakyah mereka yang telah berada di persada negara juga harus kita sampaikan melalui tulisan-tulisan yang boleh meyakinkan masyarakat tetang keperluan bagi mengelakkan terjerumus dengan dakya terbabit.

Untuk sesi 2006/2007 akan datang , saya menyeru kepada sahabat pimpinan abim sekelian supaya sama–sama kita mempersiapkan program mendepani cabaran Islam Liberal. Forum dan bengkel pemerkasaan Aqidah umat yang menjelaskan tentang pemahaman Islam melalui asas-asas Al-Quran dan Al-sunnah wajar dilatakan kepada umat.

b. Budaya Hedonisme

Seperkara lagi cabaran umat yang sedang dikoyak rabak oleh cabaran semasa adalah begitu banyak sekali bahan-bahan yang melalaikan masyarakat oleh pihak media dengan memaparkan program-program yang mewujudkan masyarakat yang jumud dan tidak berkembang pemikirannya. Program-program hiburan yang amat berleluasa seperti Akademi Fantasia, Mentor, Malaysian Idol, dan berbagai lagi program realiti di televison seolah-olah ianya satu demam yang cukup hebat didalam negara ini. ABIM bukan begitu jumud dengan keperluang media televsion kepada masyarakat, tetapi menzahirkan kebimbangan begitu banyak sekali program yang membangkitkan rasa cintakan dunia hiburan melebihi daripada perkara-perkara ilmiah dan pembangunan jati diri. Oleh yang demikian, ABIM selangor merasakan adalah amat perlu bagi pihak berkuasa menilai kembali peratusan program-program yang melalaikan ini agar ianya tidak sekadar berlaku semata-mata mengisi ruang dan jiwa orang muda . Setiap peranan dan tindakan media haruslah lebih bertanggungjawab dengan isu-isu dan konteks hiburan yang sesuai dengan jiwa remaja dan belia .

Generasi muda adalah golongan yang paling ramai dinegara kita ini. Jika mereka hanya dibuai dengan elemen hiburan, maka kita khuatir masa depan negara akan hanyut dengan keseronokkan.

Marilah kita sama-sama menilai masalah dalam kita untuk kita pergi lebih jauh untuk kita menjalankan tugas sebagi pendakwah.

Memperkasa agenda gerakan ABIM Selangor

Agenda perubahan dan taghyir dalam gerakan adalah elemen penting dan menjadi misi dan visi kita untuk tampil sebagai jurubicara umat. Aspirasi dan hala tuju ABIM adalah penting agar semua penggerak kita benar-benar berjaya berdasarkan prinsip perjuangan yang benat. Justeru, beberapa faktor utama harus diberikan perhatian serius oleh setiap pendokong dan pelanjut Risalah Nubuwwah. Antaranya :

Meningkatkan kualiti diri setiap individu

Abul Ala al-Maududi pernah berpesan “ One who cannot reform his own self can never do anything tangible for the reformation of others”. Justeru saya menyeru agar sesama kita untuk bermuhasabah untuk pmenilai prestasi perjuangan untuk meningkatkan kualiti diri. Setiap diri kita mesti memelihara akhlak dan jatidiri, berpegang teguh dengan syakhsiah Islamiah yang luhur, berjiwa murni, berpandangan jauh, rasional, berbudaya ilmu serta mempunyai keyakinan untuk berjuang.

Menghayati tanzim haraki

Perkara kedua yang harus diberi perhatian adalah menghayati tanzim haraki. Menghayati tanzim haraki ini adalah penting agar semua ahli dapat menyelaras dan mewujudkan keserasian dalam berjemaah hingga terjelma wahdatul fikr dan wahdatul amal. Elemen wahdatul fikr ini akan terjelma jika kita kembali menekankan aspek aqidah islam, memahami konsep qiyadah (kepimpinan) dan kepengikutan (jundiyah). Disamping itu memahami khittah dalam perjuangan juga adalah perlu agar kita sama dapat merancang aktiviti secara teratur dan sesuai dengan jiwa kita sebagai pendakwah.

Sebagai pimpinan kita harus mempunyai sifat wala' dan ketaatan kepada pemimpin yang telah disyurakan. Kepimpinan bukanlah diukur dengan usia dan umurnya. Tetapi kepimpinan melihat dari segi ilmu dan kemampuan untuk memimpin dalam gerakan. Elemen syura yang telah memberi mandat dan kepercayaan tidak harus dijadikan alasan untuk bersalahan semata-mata kita tidak bersetuju dengan mana-mana pimpinan. Sifat jundiyyah dalam gerakan juga harus adalah dalam konteks pimpinan. Ketaatan yang dimaksudkan di dalam Islam itu cukup jelas. Janganlah kita hanya memberi ketaatan hanya kepada individu tertentu berdasarkan ciri-ciri yang kita sendiri wujudkan. Budaya saling membantu dalam konteks pimpinan juga amat penting. Kerana kepimpinan yang telah di syura kan kemudian, membaiahkan diri itu adalah tugas dan tanggungjawab jamaah bukan individu. Adalah menjadi tanggungjawab seluruh warga gerakan khususnya pimpinan untuk memastikan segala tindakan dan perancangan yang dilakukan berada di landasan yang sebenarnya. Janganlah ada dikalangan ahli dan pimpinan saling melakukan perkara yang boleh menimbulkan ketidaksenangan dalam jamaah.

Merangsang pemikiran strategik

Dalam gerakan kita akui bahawa (khittah) perencanaan dalah amat penting dalam menentukan jatuh bangunnya gerakan kita. ABIM harus lebih kritis dan kritikal dalam setiap gerakannya. Kritikal dalam gerakan kita bukan bermakna menyampaikan sesuatu mengikut cita rasa kita tanpa berlandaskan kefahaman dan ilmu yang sebenarnya. Ahli-ahli ABIM haruslah mempunyai kemampuan menilai dan merencana agenda gerakan secara penuh hikmah dan strategik supaya setiap tindakan bukan hanya mencari pujian orang lain tetapi melaksanakan tugas sebagaimana yang dikehendaki. Setiap tindakan haruslah mempunyai nilai kepentingan dan keutamaan dalam setiap pekerjaan. Jangan lah kita menilai bahawa dengan bersamanya kita dalam satu-satu program itu maka diri kita akan hebat dan mengenyamping kehebatan orang lain. Jiwa daie yang strategik dalah manifestai menilai keutamaan dan pertimbangan dalam setiap tindakan.

ABIM telah semakin matang usia dan perjalanannya untuk tampil lebih jauh kehadapan. Dengan kejayaan dan segala usaha yang kita lakukan walaupun sedikit yang ingin kita perolehi bukanlah kejayaan di dunia semata-mata tetapi adalah pahala di sisi Allah Taala.

Oleh yang demikian saya dengan rasa tawaduk mengajak sahabat pimpinan sekelian untuk kita sama-sama membuat muhasabah masa depan kita dalam ABIM ini. Janganlah ada wujudnya jiwa kita sifat saling bertarung, menunjuk diri hebat, melakukan tindakan yang diluar daripada sifat dan nilai seorang pendakwah yang mulia. Jika kita mempunyai sebarang masalah , tanganilah dengan pandangan yang baik, berilah bimbingan dan panduan kepada semua pimpinan dan ahli agar diri kita tidak muda tersasar daripada landasan perjuangan. Janganlah jua adalah sifat adu domba, sifat tidak percaya dengan sahabat mahu pun rakan dan taulan, kerana jika sifat-sifat ini wujud dalam diri kita ini bermakna sentuhan tarbiyah tersebut masih nipis dalam jiwa kita.

Saya bagi pihak pimpinan ABIM Selangor sesi 2005-2006 ingin menzahirkan rasa syukur kehadrat ilahi atas segala bimbingan bantuan serta hidayah Allah kepada kepada kita semua. Saya masih ingat ketika saya mula-mula berucap sebagai YDP ABIM 2 tahun yang lalu, saya begitu sebak dan hampir menitiskan air mata, bukan kerana gembira tetapi jiwa saya dan hati saya begitu meronta untuk tidak menerima amanah besar ini. Saya masih tidak percaya untuk menjalankan tugas-tugas sebagai pemimpin sehingga ke tahap ini. Saya percaya segala yang berlaku sehingga kini adalah usaha gigih semua sahabat exco yang telah bertungkus lumus memberi didikan dan motivasi kepada saya untuk tampil sebagai pimpinan walaupun saya menyedari akan kelemahan dan kekurangan saya.

Tetapi alhamdulillah berkat doa dan ilmu yang saya perolehi dalam ABIM ini saya semakin yakin bahawa kepimpinan yang saya pegang ini bukanlah satu tasyrif bagi diri saya tetapi taklif yang akan dipertanggunjawab di hadapan Allah Taala. Jika saya melakukan kesilapan serta tidak mampu memenuhi expectation sahabat-sahabat pimpinan sepanjang saya memimpin saudara/saudari saya memohon berbanyak maaf.

Sebelum saya menutup izikankan saya menyampaikan beberapa rangkap pantun :

Anak itik berlari larian
Berlari-lari ditepi taman
Maafkan saya atas kesilapan
Moga Allah terus ampunkan

Anak Nakhoda ditengah malam
Berjalan-jalan ditepi perigi
Gegar gempita seluruh alam
Namun kecewa tidak sekali

Menggalas tugas itulah harapan
Walau gelora ditengah lautan
Perjuangan Islam tetap diteruskan
Walaupun cabaran berada di hadapan
Sekian selamat bermuktamar, Wassalam




--------------------------------------------------------------------------------

Wahdatul Fikr bermakna kesatuan Fikrah. Ia meliputi kesepaduan dan pemahaman yang berpaksikan kepada asas-asas Islam dan bersumberkan Quran dan AsSunnah
Surah Jumuah : ayat 2
Al-AnÂ’am : 153
Al-Ankabut : 2
Al-Baqarah : 208
A.Abul Ala al-Maududi, 1985, Beberapa Peringatan Untuk Para Dai, Terjemahan : Dewan Pustaka Fajar, hlm 17
Al-Fussilat : 33
Mustafa Masyhur, 1999, Jalan Dakwah: Antara Keaslian dan Penyelewengan, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur
Asyraf Wajdi, 2000, Memimpin Perubahan Menjana Generasi Rabbani, Ucapan Dasar Presiden, PKPIM
Ahmad Abd al-Muâim Al-Badri, 1998, Tanzim Haraki, Pustaka Salam, Kuala Lumpur

No comments: