Sunday, June 04, 2006

Tragedi Tanah Runtuh di Lembah Klang Mei 2006

Lagi Mengenai Tragedi Tanah Runtuh di Lembah Klang


Pada hari Rabu. 30 Mei 2006 yang lalu berlaku kejadian tanah runtuh menyebabkan 4 orang meninggal dunia. Kejadian tersebut melibatkan perkampungan pendatang Indonesia di Kampung Pasir, Hulu Klang. Berikutan kejadian tersebut, berlaku “perang” mulut, tuduh-menuduh dan tuding-menuding di antara pihak berkuasa, pemimpin, penduduk dan pemaju. Drama ini tidak ubah seperti yang berlaku di dalam kejadian-kejadian yang lalu. Dan adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ia akan terus berlaku sehinggalah kita benar-benar belajar dan sejarah ini. Inilah yang mewajarkan tulisan ini direkodkan.

Sepertimana biasa laporan demi laporan akan dibuat. Kali ini, menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, isu ini akan dibincangkan di dalam mesyuarat Kabinet. Sebuah jawatankuasa teknikal dibentuk untuk menyiasat punca kejadian. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan Unit Cerun JKR, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains, Kumpulan Ikram Sdn Bhd dan MPAJ. Laporan lengkap akan dikemukakan kepada TPM selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat sebelum mesyuarat Kabinet.

Berita Minggu pada 4 Jun 2006 mengetengahkan penjelasan pakar tentang kemungkinan kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir, Hulu Klang pada hari Rabu, 30 Mei 2006 yang lalu. Menurut penjelasan tersebut, air bercampur tanah yang terkumpul di bahagian cerun yang ditarah, yang lemah strukturnya menyebabkan tekanan kuat di bahagian bawahnya. Campuran air dan tanah ini lalu menolak bawah tembok penahan cerun lalu menyebabkannya runtuh.

Setelah cerun ditarah dan ditambak, air mengalir melalui saluran yang terjadi daripada bentuk muka bumi dan bertakung di bawah kaki bukit yang ditambak. Cerun yang ditarah, ditambak menggunakan tanah dan batu yang dipercayai dijadikan laluan untuk kerja pembinaan projek perumahan di kawasan berkenaan. Selepas kejadian tanah runtuh, pergerakan tanah terus berlaku hingga menyebabkan ada kali lima dan lantai sebahagian rumah di Taman Zoo View (yang berhadapan dengan Kampung Pasir) kini dalam keadaan “tergantung”. Sebanyak 16 buah rumah yang terlibat.

Pergerakan tanah yang berlarutan itu menyebabkan lantai balkoni dan sebahagian ruang tamu beberapa rumah dalam keadaan tergantung. Kebanyakan pagar belakang rumah berkenaan runtuh sejak tragedi Rabu lalu.

Menariknya, ketika inipun, tiada usaha dari MPAJ atau pemaju untuk mengambil langkah segera menstabilkan cerun. Yang ada hanya beberapa pekerja menutup cerun runtuh dengan plastik.

Akhbar tersebut juga menceritakan bahawa MB Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mengakui Exco serta kakitangan jabatan dan agensi kerajaannya tidak turun padang memantau pembangunan di Selangor. Menurut MB Selangor lagi, “pembangunan di Selangor kini tertumpu di kawasan sensitif kerana semua kawasan tidak sensitif sudah dibangunkan, jadi pemantauan sangat penting”.

MB menjelaskan lagi bahawa kerajaan Selangor mempunyai bukti kukuh kesalahan pemaju, kontraktor dan jururunding projek pembangunan di kawasan itu. Ia termasuk pemaju Taman Zoo View yang gagal menyediakan sistem perparitan ketika memajukan kawasan berkenaan lebih 25 tahun lalu. Beliau difahamkan bahawa MPAJ sudah memanggil pemaju projek perumahan Ukay Bestari supaya mempercepatkan pembinaan tembok penahan, tetapi pemaju menyatakan bahawa mereka tiada dana, melainkan diberikan oleh Kerajaan.

Yang pasti mendapat untung ialah mereka yang membuat laporan teknikal hasil siasatan dan kontraktor-kontraktor yang diperlukan untuk melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan di dalam laporan.

Sikap kita?

Pertama, barangkali dah beratus kali kita mendengar pandangan dan perintah pemimpin untuk tidak lagi melakukan pembangunan di cerun bukit. Semuanya hanyalah mainan mulut. Seorang penulis emel menulis kepada TV3 pada Jumaat 2 Jun 2006 lalu bahawa MPAJ tidak akan mempunyai insentif untuk memperbaiki keadaan memandangkan bahawa dalam kes Highland Towers pada 1993 lalu, Mahkamah Persekutuan memihak kepada MPAJ. Yang menanggung kemalangan tetap anak bangsa kita.

Kedua, kelulusan projek dikatakan perlu diperketatkan. Soalnya apakah ini akan kekal sebagai mainan penyedap mulut atau benar-benar satu komitmen? Kerana dalam kelam-kabut kejadian ini, kita didedahkan dengan beberapa pembangunan cerun dan lereng bukit yang telah diluluskan. Pada Sabtu, 3 Jun 2006, kira-kira 1,00 orang penduduk di Taman Bukit Mas, Hulu Klang menyuarakan kebimbangan terhadap pembinaan projek pembangunan di lereng bukit berhampiran. Projek tersebut diluluskan oleh DBKL dan melibatkan pembinaan satu blok pangsapuri tujuh tingkat dan satu blok villa bandar enam tingkat merangkumi 74 unit kediaman di lereng curam dan lembut. Tanah di Hulu Klang bersifat granit terluluhawa yang mudah peroi dan menyimpan air menyebabkannya berisiko tinggi untuk tergelincir, tetapi pembangunan masih dibenarkan.

Ketiga, tiada sebarang runtuhan kecil yang tidak berbahaya kerana ia adalah simptom kepada tragedi yang mungkin lebih besar. Inilah kesimpulan yang dibuat oleh laporan awal Bahagian Kejuruteraan Cerun Bukit JKR, menurut Menteri Kerja Raya. Menurut laporan tersebut, tembok penahan bumi dikesan dibina pada bahagian yang lembut dan dasarnya tidak mencecah tanah yang keras. Aduan dari pihak penduduk perlu disiasat dan diambil tindakan sewajarnya, bukannya diketepikan. Pergerakan tanah dikesan sejak setahun, tetapi benteng penahan hanya baru siap minggu lalu.


Lentera 4 Jun 2006

1 comment:

Anonymous said...

x ikhlas betul komen .. ish2