Saturday, June 24, 2006

KeADILan gesa kerajaan tidak naikkan harga gas asli

KeADILan gesa kerajaan tidak naikkan harga gas asli
Wed Jun 21, 06 10:46:42 AM
Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) menggesa kerajaan agar tidak menaikkan harga gas asli kerana ia akan memberi kesan negatif kepada pasaran ekonomi negara serta membebankan rakyat yang sudahpun merana ekoran kenaikan harga bahan bakar dan tarif elektrik.


Menurut satu laporan media versi online, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato' Seri Lim Keng Yaik dilaporkan sebagai berkata, kerajaan akan mempertimbangkan kenaikan harga gas asli bagi meringankan beban Petronas.


KeADILan berpendapat bahawa kenaikan harga minyak sebanyak 18.5 peratus pada bulan Februari lalu dan tarif elektrik sebanyak 12 peratus tidak lama dahulu telah memberi kesan negatif kepada seluruh rakyat, kata Naib Presiden KeADILan, Lee Boon Chye.


Beliau berkata demikian semasa dalam kenyataannya kepada Harakahdaily semalam dalam mengulas kenyataan Keng Yaik baru-baru ini.


Malah, terdapat banyak kilang dan syarikat yang terpaksa mengurangkan jumlah pekerja bagi meminimumkan kos pengeluaran yang tinggi ekoran kenaikan harga minyak dan tarif elektrik, katanya.


Permintaan Petronas menaikkan harga gas asli akan mengakibatkan peningkatan kos dalam bidang yang berasaskan sumber asli seperti penjanaan kuasa elektrik, kereta, gas masakan, baja dan bahan-bahan buatan gas asli lain, yang seterusnya memburukkan lagi keadaan ekonomi sedia tenat, ujarnya.


KeADILan berpendirian bahawa beban Petronas sebenarnya adalah hasil daripada pembaziran dan ketidaktelusan kerajaan selama ini, khususnya dalam menaja projek mega dan menyelamatkan syarikat kroni, tegasnya.


Tambahan pula, salah urus Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan perjanjian pembelian tenaga juga menjadi faktor penyumbang kepada kemerosotan dalam keuntungan Petronas, katanya.


Keputusan samada harga gas asli dinaikkan atau tidak akan dibuat selepas perbincangan antara kerajaan dengan penjanakuasa elektrik persendirian (IPP), ujarnya dengan merujuk kepada satu laporan akhbar versi online.


Walaupun Petronas memberi potongan harga bahan api kepada penjanakuasa elektrik persendirian, namun TNB tetap perlu menanggung semua kos kenaikan bahan api, samada elektrik terjana digunakan atau tidak, katanya.


Kenaikan kos ini pula akan ditanggung oleh seluruh rakyat Malaysia pada akhirnya, katanya.


Oleh yang demikian, KeADILan menggesa agar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengkaji semula perjanjian yang ditandatangani TNB dan IPP serta memastikan semua projek kerajaan dijalankan secara telus dan berhemah, katanya./wann

No comments: