Friday, September 23, 2005

Mencari Makna Salat Tarawih

Mencari Makna Salat Tarawih
[Utusan Online, 23 September 2005]

Solat Tarawih ialah sunat muakkad yang amat digalakkan. Mendirikan Tarawih sebulan penuh bermakna ia telah menunaikan 600 rakaat solat sepanjang malam bulan Ramadan. Mereka yang menunaikan Solat Tarawih sejak kecil itu beruntung, kerana jika ia ditunaikan selama 60 tahun, maka ia telah mendapat 36,000 rakaat Solat Tarawih. Kemeriahan budaya daripada Solat Tarawih dan kemanisannya tidak akan dapat dirasai sekiranya seseorang itu meninggalkannya.

Tarawih berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud rehat. Ringkasnya, Solat Tarawih adalah solat yang tujuannya menghasilkan kerehatan. Apakah yang dimaksudkan dengan kerehatan? Bagaimana ia dikaitkan dengan rehat, sedangkan ramai di kalangan kita yang kepenatan ketika mengerjakannya?

solat adalah Mikraj atau wadah yang membawa seorang mukmin itu lebih `dekat' kepada Tuhan-Nya. Ia adalah tali yang menghubungkan hamba secara langsung dengan Pencipta. Solat itu istimewa. Sebab itulah perintah solat diterima langsung daripada Allah s.w.t. dalam peristiwa Mikraj, tahun berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj dinamakan sebagai `Aamul Huzni (tahun kesedihan) kerana kematian Abu Talib dan Khadijah yang menjadi penyokong Baginda dari segi material dan moral.

Pertemuan dengan Allah s.w.t. merupakan kerehatan dan kelapangan bagi Nabi setelah melalui kemuncak tribulasi dalam dakwah Baginda. Firman Allah s.w.t. lagi bermaksud: Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu? Dan Kami hilangkan bebanmu, yang memberatkan belakangmu, dan Kami tinggikan sebutan buatmu. Sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. (As-Syarh 94:1-6)

Solat juga menjadi penawar dan kerehatan jiwa daripada segala macam bentuk kesusahan dan ujian yang kita lalui dalam kehidupan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan mintalah bantuan dengan sabar dan menunaikan solat. Sesungguhnya ia adalah berat kecuali bagi orang yang khusyuk. (Al-Baqarah: 153)

tujuan yang kita cari melalui Solat Tarawih ialah kerehatan dari segi rohaniah dan kesihatan yang menyihatkan tubuh badan. Rasulullah s.a.w. mencari kerehatan melalui solat. Pernah apabila hendak menunaikan solat fardu, Baginda menyebut: `'Arihna ya Bilal.'' (rehatkanlah kami wahai Bilal dengan azanmu yang menandakan solat akan didirikan).

Baginda juga menyebut solat itu sebagai Qurratu `Aini (penyejuk mataku). Jika ini prinsip yang diajar oleh Nabi s.a.w., maka amat wajar bagi orang beriman mengikut sunah ini, iaitu menjadikan solat sebagai wadah untuk mendapatkan kerehatan. Hati akan menjadi ringan ketika mengembalikan segala urusan dan kepayahan kita kepada Allah s.w.t. Badan juga menjadi ringan, kerana perut yang dipenuhi makanan akan menjadi ringan setelah dibakar oleh metabolisme badan, hasil sistematik dalam Solat Tarawih.

Apakah sebenarnya yang kita cari di sebalik Solat Tarawih? Soalan ini cukup ringkas, tetapi jawapannya mempunyai implikasi yang amat besar kepada hidup seorang mukmin. Selama kita mengerjakan Solat Tarawih ribuan rakaat seumur hidup kita, adakah kita memahami apa yang kita cari dan soalan yang lebih besar, sudahkah kita peroleh apa yang dicari?

Allah s.w.t. menyediakan pahala yang besar kepada hamba-hamba-Nya yang berpuasa pada waktu siang dan solat pada malam-malam bulan Ramadan. Rasulullah s.a.w. bersabda (mafhum): Ganjaran pahala bagi orang yang menunaikan Solat Tarawih itu adalah Syurga. Namun, selain aspek pahala, orang yang beriman sentiasa mengintai untuk mencari Cinta Allah dan redha-Nya melalui puasa dan ibadah Solat Tarawih. Ada kala kita akan merasa penat sekiranya solat yang dikerjakan itu semata-mata berdasarkan hitungan pahala. Tetapi jika solat itu dilakukan untuk mencari Cinta-Nya dalam bulan yang kudus ini, solat itu semakin dikerjakan semakin khusyuk, kudus, tunduk dan mengecap inti kemanisan iman yang tidak dapat dibahasakan. Allah s.w.t. berkehendak supaya kita berdiri, rukuk dan sujud dalam jalinan berhubungan yang mesra antara hamba dengan al-Khaliq. Namun ia bukannya amalan tanpa jiwa, bahkan ia adalah amalan yang tercetus daripada jiwa yang sentiasa mengingati Allah s.w.t. Cinta akan lahir bersama rasa rendah hati kepada-Nya,. Seorang hamba tidak memiliki apa-apa. Pemilik (al-Malik) yang sebenar adalah Dia sebagaimana yang diajar dalam doa Iftitah, Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku adalah demi kerana-Mu Ya Allah, Rabbal Alamin, dan di dalam ayat Hanya kepada-Mu kami mengabdi diri, dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan.

Jika Tarawih atau solat-solat lain diiringi cinta dan merendahkan hati kepada Allah s.w.t., maka tidak mustahil lambat laun solat itu akan menghasilkan buah yang manis, menghiasi kita dengan budi pekerti yang baik serta beradab kepada Allah s.w.t. dan sesama makhluk. Ia juga akan membakar sifat-sifat rendah atau Mazmumah yang menghijab hati antara kita dengan Allah s.w.t. seperti `ujub (takjub dengan kemampuan diri), riak (menunjuk kebaikan), rasa lebih hebat daripada orang lain, sum'ah (mencari nama dan populariti), amat cintakan benda, mengejar pangkat, tamak, bakhil, merasa ringan dan aman dengan azab Allah, takabbur (besar diri), ananiy (tinggi rangsangan keakuan) serta banyak lagi. (Lihat Minhajul Abidin dan Ihya Ulumuddin oleh Imam al-Ghazali).

Telah puluhan tahun usia kita berlalu. Masa yang ada dalam mencari cinta-Nya semakin berkurangan. Allah s.w.t. menegaskan ``Mereka yang berusaha di jalan Kami, pasti Kami akan tunjukkan jalan kepada Kami.'' Mungkin sudah sampai masanya untuk kita bermuhasabah dan mula mengurangi penyakit hati. Semoga keringanan ini memudahkan jiwa kita `terbang' menuju redha dan cinta-Nya yang abadi. Firman Allah s.w.t. bermaksud: Wahai orang yang beriman, belum sampaikah masa kepada orang yang beriman untuk tunduk hati-hati mereka dalam mengingati Allah dan kebenaran yang diturunkan-Nya?

Ramadan adalah program rabbani. Yang mengikis karat-karat hati sebagaimana puasa menghakis toksik dari tubuh badan. Ibadah di dalamnya seperti puasa, solat, membaca al-Quran di dalamnya adalah anugerah khusus kepada manusia. Ia adalah satu pakej lengkap yang terdiri daripada ibadah puasa, membaca atau tadabbur al-Quran dan Solat Tarawih. Taqwa yang menjadi objektif ibadah berpuasa itu hanya akan dapat dicapai jika seseorang berpuasa dan mengamalkan ibadah serta akhlak-akhlak yang lain.

Jika puasa berfungsi untuk memberi ruangan kebebasan dan keringanan jiwa daripada nafsu rendah (ammarah), bacaan al-Quran pula untuk melunakkan hati, maka dari perspektif ini, tidak salah jika dikatakan solat itu sebagai kemuncak daripada puasa dan bacaan al-Quran, kerana solat itu membawa seseorang untuk `bertemu' Allah s.w.t. Maka, perhubungan simbiotik antara ibadah-ibadah ini amat perlu dalam membentuk jiwa taqwa.

Kita juga selalu membaca ayat puasa mengenai kewajipan berpuasa tetapi ramai yang `terlepas pandang' kepada ayat selepasnya, iaitu Firman Allah s.w.t. bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku, katakanlah (wahai Muhammad) Aku amat dekat. Aku menjawab permintaan orang yang meminta ketika ia berdoa. Maka, taatilah perintah-Ku dan percayalah kepada-Ku. Mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk. Jika kita berpuasa jangan pula lupa untuk ingat dan berdoa kepada Allah s.w.t. Di antara cara berdoa yang paling tinggi ialah solat, kerana definisi solat itu adalah ad-Du'a (doa). Di dalam solat juga mengandungi doa dan puji-pujian kepada-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan ihtisab (memelihara, beramal dam berharap) akan diampuni dosa-dosanya. Sebab itu orang yang berpuasa tetapi tidak menjaga anggota atau tidak menunaikan Solat Tarawih pada malam harinya, objektif untuk mencapai taqwa itu mungkin tidak mudah dicapainya.

Solat Tarawih dikerjakan secara berjemaah diimamkan oleh RasuluLlah SAW. Dari segi pelaksanaannya, Nabi mengerjakan Solat Tarawih berjemaah di masjid selama beberapa malam, dan pada malam-malam yang berikut dilakukan di rumah Baginda. Tujuannya supaya Solat Tarawih berjemaah di masjid tidak dianggap sebagai suatu kewajipan bagi umat Islam. Solat berjemaah itu sendiri adalah fardu kifayah dan ia adalah sunat muakkad dalam Mazhab as-Syafie. Solat Tarawih sunat didirikan secara berjemaah dan berjemaah di masjid adalah paling utama. Namun, tidak mengapa sekiranya Solat Tarawih didirikan bersendirian di rumah, atau berjemaah bersama keluarga, di rumah sahabat handai yang diziarah dan sebagainya. Yang perlu dicari ialah kualiti dan redha Allah s.w.t. Allah s.w.t. tidak melihat kepada gambaran zahir tetapi meneliti kepada keindahan amal yang disertakan keikhlasan di lubuk hati. Mungkin pada tanggapan manusia, sesuatu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang itu remeh, tetapi pada penilaian Allah s.w.t. ia adalah amal yang bernilai tinggi.

Allah tidak jemu melihat hamba beribadah kecuali apabila hamba itu jemu beribadah. Justeru, dalam mendidik nafsu agar tidak jemu beribadah perlu ada tekniknya, khususnya dalam melaksanakan Solat Tarawih. Menurut Imam al-Ghazali, nafsu seperti kanak-kanak. Ia suka pada perkara yang menyeronokkan, dan tidak suka kepada ibadah dan kebaikan. Ia boleh dikawal, tetapi tidak boleh dimatikan.

Jika terlalu kuat kawalan, ia akan memberontak dan lama-kelamaan akan meninggalkan terus ibadah yang diperintahkan ke atasnya. Justeru, tidak menjadi masalah jika pelaksanaan Solat Tarawih bagi individu dipelbagaikan supaya nafsu tidak berpatah arang dan berkerat rotan dengan ibadah. Ia boleh dilaksanakan di surau atau masjid yang berbeza, bersama keluarga, bersendirian, melakukan lapan rakaat, 20 rakaat, solat berselang seli dengan rehat sejenak, keluar sebentar untuk tunaikan hajat kecil misalnya, dan berbagai-bagai cara lagi. Yang penting, Solat Tarawih itu mencapai maksud seperti yang diterangkan sebelum ini.

Rasulullah s.a.w. mendirikan Solat Tarawih lapan rakaat bersama jemaah, namun lapan rakaat Nabi dihiasi dengan bacaan al-Quran yang merdu dan menusuk kalbu. Tidak terasa penat walaupun dibaca surah yang panjang. Di sini ada kualiti semasa menunaikan Tarawih. Umar al-Khattab pula menggesa umat Islam melaksanakan Tarawih di masjid sebanyak 20 rakaat. Tindakan beliau adalah ijtihad sebagai seorang sahabat Nabi, faqih dan Khulafa ar-Rasyidin yang menilai tuntutan semasa umat Islam pada waktu itu. Penduduk Madinah pula berijtihad untuk melaksanakan Tarawih lebih daripada 20 rakaat termasuk witir dan diselangi dengan selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Kepelbagaian dalam menentukan bilangan rakaat itu sendiri adalah perkara khilafiah dan keluasan yang diizinkan berlaku bagi memudahkan pelaksanaan ibadah.

Yang paling utama bukan bilangan rakaatnya, tetapi yang lebih utama adakah solat itu mendapat ketenteraman hati dan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Ad-Din itu mudah, tidak ada seseorang yang menyusah-nyusahkan pelaksanaan ad-Din itu, pasti ia kecundang jua. Sabda Baginda juga yang mahfumnya: Permudahkan, jangan menyusahkan, dekatkan, jangan melarikan orang daripada agama, berikan khabar gembira, jangan menakut-nakutkan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Alangkah indahnya jika umat Islam hari ini memahami pelaksanaan Islam sebagaimana yang diajar oleh Baginda s.a.w.

Solat Tarawih ialah suatu fenomena, namun ia mungkin tidak disedari oleh umat Islam yang biasa mengerjakannya. Tetapi di luar Islam, orang melihatnya sebagai satu fenomena yang menimbulkan kekaguman. Bayangkan, manusia keluar berduyun-duyun dengan sukarela pada waktu malam pada musim panas atau dingin, dan mengerjakan solat di masjid bersama-sama, tua, muda, lelaki, wanita, kanak-kanak dan bercampur baur pelbagai bangsa. Daripada satu kajian ringkas, tokoh dari luar mengakui ia adalah keistimewaan dan kekuatan yang amat mereka perlukan dan tidak ada dalam mana-mana agama di dunia. Adakah kita menyedari keistimewaan ini? Ia adalah kekuatan yang sedia ada di dalam agama. Justeru, kebaikan ini perlulah disedari dan disebarkan. Kesedaran ini juga menggerakkan kita untuk menjadikan remaja harus membina suatu tekad yang tinggi bahawa kita dilahirkan ke dunia bukan untuk menjadi beban, sebaliknya kita dilahirkan untuk menyumbang. Solat Tarawih sebagai wasilah (perantara) untuk memupuk ikatan persaudaraan umat Islam pada zaman ini.

Solat Tarawih di Masjidil Haram dan Masjid an-Nabawi mempunyai keindahannya tersendiri yang sukar dilafazkan. Solat Tarawih dengan ribuan jemaah adalah pemandangan biasa bagi beberapa negara seperti Mesir, Turki, Pakistan dan negara umat Islam yang lain. Kemerduan suara imam juga mempunyai kesan yang menarik manusia untuk Solat Tarawih. Atas dasar itulah, maka negara kita membawa masuk imam dari luar negara yang mempunyai bacaan yang baik untuk mengimamkan Solat Tarawih. Di sesetengah tempat pula ada yang melantik kanak-kanak yang masih kecil tetapi hafaz al-Quran untuk menjadi imam. Ia adalah perkembangan yang baik. Namun. Kita perlu juga diingatkan kepada beberapa perkara asas dalam Solat Tarawih ini. Ia jangan pula menjadi budaya yang dimestikan hingga timbul keadaan menyusahkan kemudian hari. Di antaranya kriteria imam yang dipilih itu hendaklah fakih, iaitu seorang yang berilmu dan memahami selok belok solat. Suara yang bagus duduk kepada perkara yang kedua. Imam yang mempunyai kedua-dua ciri tersebut adalah lebih diutamakan. Kedua, selain membawa imam yang baik dari luar, kita juga harus membina imam Solat Tarawih yang mempunyai kualiti yang setanding dan sebaik imam dari Asia Barat. Negara kita yang sentiasa melahirkan qari antarabangsa tidak sunyi daripada individu yang boleh digilap bakatnya ke peringkat yang sewajarnya.

No comments: