Monday, September 05, 2005

[Malaysia] Muslihat hiburan popular TV khayalkan umat Melayu-Islam

Muslihat hiburan popular TV khayalkan umat Melayu-Islam
Saudara Pengarang,
SAYA menyokong sekuat-kuatnya teguran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap rancangan-rancangan hiburan realiti televisyen yang boleh mengancam nilai dan moral budaya Timur - ini termasuk budaya Melayu-Islam di negara ini - dan boleh meruntuhkan akhlak rakyat.

Menurut TPM, kita "tidak perlu mengikut budaya Barat secara membuta tuli"'. Tetapi saya tambah, bukan budaya barat sahaja, tetapi budaya yang kita sendiri ciptakan, yang kadang-kadang lebih buruk daripada budaya Barat.
Saya melihat rancangan hiburan televisyen seperti Mencari Cinta, Mentor dan Akademi Fantasia sebagai rancangan yang tidak berfaedah kepada kemajuan bangsa dan negara. Malah saya khuatir rancangan seperti itu boleh mengkhayalkan umat Melayu-Islam, terutama golongan muda, pelajar dan kanak-kanak.
Orang Melayu-Islam di Malaysia perlu ingat bahawa di dunia globalisasi hari ini, sesuatu bangsa yang tidak disukai atau dimusuhi oleh kaum-kaum atau kuasa-kuasa 'global' tertentu, boleh dijahanamkan atau 'diperangi' melalui pelbagai cara, antaranya dapat kita sebut melalui 'peraturan ekonomi pasaran bebas' yang ditentukan oleh kuasa-kuasa ekonomi yang tidak adil, melalui 'budaya popular' dari Barat dan dari segenap penjuru dunia yang disebarkan melalui media massa Barat, melalui produk ekonomi mereka yang kita import, melalui buku dan majalah mereka yang kita import dan melalui 'model pendidikan' yang kita tiru daripada 'model' mereka, selain melalui propaganda dan ideologi.
Kita mungkin tidak menyedari akan muslihat atau agenda di sebalik segala rancangan itu. Orang yang tidak berfikir panjang mungkin menganggap bahawa rancangan hiburan di televisyen seperti yang tersebut itu 'hanyalah hiburan' sahaja, tidak lebih daripada itu. Tetapi kalau dikaji lebih mendalam, kita boleh bertanya, apakah nilai, adab, budaya dan moral yang dibawa oleh rancangan hiburan seperti itu.
Apakah jawapan kita? Dapatkah kita berkata bahawa rancangan hiburan 'baik untuk bangsa kita', boleh memberi pelajaran baik untuk memajukan bangsa kita?
Orang Melayu zaman masyarakat lisan dahulu juga mempunyai hiburan, misalnya hiburan yang disampaikan melalui cerita lipur lara, misalnya melalui cerita-cerita jenaka seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Mat Jenin dan Pak Kaduk. Tetapi perlu kita ingat, cerita-cerita itu bukan sekadar hiburan.
Di balik cerita itu ada pelajaran, ada mesej, ada sesuatu yang lebih bermakna dan lebih bernilai daripada sekadar cerita dan hiburan. Misalnya, cerita Pak Kaduk yang kalah dalam perjudian sabung ayam bersorak kerana menyangka bahawa ayamnya menang, padahal ayam jaguhnya sudah bertukar milik, yang menang ialah ayam Pak Kaduk yang sudah menjadi milik raja.
Apa mesejnya? Mesejnya ialah: 'Menang sorak kampung tergadai'. Itulah nasib yang menimpa Pak Kaduk. Dan bangsa Melayu hari ini jangan mengulangi kisah Pak Kaduk itu. Menang sorak kerana seronok dengan hiburan atau menang sorak dalam perhimpunan parti politik Melayu atau dalam kongres, seminar dan persidangan membincangkan segala macam 'agenda Melayu' tetapi di luar gelanggang itu, kita kehilangan hak di negeri sendiri.
Perdana Menteri sering menegaskan pentingnya kita membina 'modal insan' di negara ini. Apa gunanya kita maju dari segi pembangunan fizikal jikalau manusia yang menikmati hasil pembangunan itu tidak bermoral, melakukan rasuah, melakukan maksiat, menipu dan akhirnya menyebarkan dan menganut ajaran-ajaran sesat, tidak sahaja dari segi ajaran agama tetapi juga dalam bidang-bidang yang lain. Para remaja kita lebih terpesona dan memuja idola maksiat, idola hiburan, idola penghibur dari Barat dan dari negara-negara lain, daripada menjadikan manusia yang maju dalam bidang ilmu, bidang sains, bidang budaya, seni, kesusasteraan, sebagai 'idola' mereka untuk diteladani. Hiburan yang berkualiti makin lama makin tidak dapat diciptakan oleh orang Melayu. Yang mampu mereka ciptakan nampaknya ialah hiburan yang ditiru dari budaya orang lain.
Kita di negara ini mempunyai apa yang disebut 'Dasar Kebudayaan Kebangsaan' yang antara lain menitikberatkan nilai budaya bangsa sendiri sebagai acuan pembangunan dalam segala lapangan, baik dalam lapangan pembangunan ekonomi.
Dalam bidang pendidikan, dalam sistem atau etika pentadbiran negara, dan lain-lain lagi. Mengapakah dasar kebudayaan ini tidak dapat memantau atau 'menapis' segala macam hiburan khayalan atau 'fantasia' yang disebarkan ke seluruh negara melalui rancangan televisyen kita? Apakah kita mempunyai dasar yang berbeza-beza? Dasar Kementerian Penerangan lain daripada Dasar Kebudayaan Kebangsaan itu?
Pembangunan dan kemajuan negara tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada para tauke, termasuk tauke-tauke hiburan, yang matlamatnya hanya komersial, tanpa memikirkan secara komited akan dasar atau matlamat negara atau kerajaan untuk membina insan Malaysia, insan Melayu yang 'cemerlang, gemilang dan terbilang'.
TPM dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini menegaskan pentingnya bangsa Melayu menjadi 'bangsa glokal', yakni bangsa yang mampu menghadapi cabaran globalisasi berdasarkan budaya bangsanya, nilai agama dan budaya sendiri.
Jangan kita menyangka bahawa globalisasi itu, yang peraturannya ditentukan di Amerika Syarikat, di London, di Tokyo dan di pusat-pusat globalisasi yang lain melalui WTO, melalui IMF dan Bank Dunia, semuanya baik untuk negara dan bangsa kita. Sudah makin banyak bangsa dan negara yang menganggap bahawa globalisasi itu adalah bentuk penjajahan baru atau neokolonialisme. Cabaran atau ancaman ini hanya dapat kita hadapi melalui kekuatan budaya yang dibina di kawasan 'lokal' kita.
Jangan kita bantu aspek-aspek proses globalisasi yang bercorak penjajahan ini dengan membiarkan bangsa kita menjadi mangsanya melalui program-program dalam negeri yang tidak sesuai dengan matlamat untuk menjadikan manusia di Malaysia ini 'cemerlang, gemilang dan terbilang' dari segi meritokrasi budaya, moral dan etikanya.
Jikalau TPM sudah menegur rancangan hiburan televisyen yang dianggap boleh merosakkan akhlak rakyat, yang oleh memusnahkan budaya Timur, khususnya budaya Melayu-Islam di Malaysia, maka sudah sewajarnya pihak-pihak yang mencipta hiburan itu mengkaji semula rancangan mereka. Jika mereka tidak mempedulikan teguran TPM itu, saya mengesyorkan kerajaan mengambil tindakan mengarahkan pihak berkenaan memberhentikan rancangan itu.
Kita perlu mengamalkan kaedah 'pengurusan krisis' yang lebih cekap, bertindak menghapuskan masalah sebelum masalah itu merebak dan menjadi penyakit teruk masyarakat.
Ini pun merupakan kelemahan kita: kita membiarkan masalah menjadi serius baru kita hendak berbuat sesuatu atau baru kita bising.
Inilah salah satu sebabnya mengapa masalah orang Melayu tidak pernah selesai, tetapi terus berulang-ulang. Kita tidak menghapuskan punca masalah.
Kita lebih banyak 'memadamkan api kebakaran tetapi tidak menghapuskan punca kebakaran itu. Maka kebakaran akan terus berlaku'. - DATUK DR. HASSAN AHMAD, Petaling Jaya.

No comments: