Wednesday, September 14, 2005

[Malaysia] Kenyataan Husam Musa Mengenai Harga Petroleum

KENYATAAN AKHBAR Husam Musa
1 Ogos 2005
KENAIKAN HARGA PETROL DAN DIESEL

Dalam masa 4 bulan sepanjang tahun ini, sudah tiga kali kerajaan mengumumkan kenaikan harga diesel dan petrol. Kenaikan harga pada bulan Mac, Mei dan Julai telah mengakibatkan rakyat di negara ini dibebankan dengan kenaikan sebanyak 20sen untuk petrol dan 45sen bagi diesel. Antara alasan yang diberikan oleh kerajaan juga berubah-ubah: (a) Untuk perangi penyeludupan diesel, (b) kerana kenaikan minyak dunia, dan (c) mengurangkan jumlah subsidi petrol dan diesel untuk capai belanjawan negara yang seimbang.
[2] Apapun alasan kenaikan ini, ianya memberi kesan kepada ekonomi negara dan membebankan penghidupan rakyat. Harga barangan umpamanya, telah naik begitu juga kos hidup yang lain.
[3] Dengan kenaikan yang baru diumumkan kerajaan dikatakan berjaya menjimatkan RM 1 billion ringgit. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapha Mohamad berhujah bahawa RM1 billion boleh dijgunakan untuk tujuan pembangunan. Kerajaan harus sedar, jika rakyat tidak di bebankan dengan RM 1 billion tersebut, ia tetap boleh menjanakan ekonomi negara melalui perbelanjaan rakyat dalam pelbagai cara.
[4] Hujah bahawa kenaikan harga minyak dunia telah memaksa kerajaan mengurangkan subsidi tersebut hanya menggambarkan ketidakpekaan dan ketidakkemampuan kerajaan menguruskan lebihan pendapatan yang diterima oleh Petronas hasil daripada peningkatan harga minyak diseluruh dunia seperti digambarkan oleh pendapatan hasil Petronas sebanyak RM 24.32 billion pada tahun 2003, kepada RM35.5 billion pada tahun 2004 dan melonjak kepada pendapatan kasar RM58.03 billion tahun ini seperti yang diumumkan baru-baru ini. Ternyata sekali Petronas memperolehi keuntungan sebesar itu hasil kenaikan harga minyak dunia.
[5] Mengapakah keuntungan ini tidak dapat disalurkan bagi faedah ekonomi dan rakyat negara ini?. Selama ini wang petronas boleh dilaborkan dalam projek-projek mewah seperti pembinaan PUTRAJAYA dan Menara Berkembar KLCC.
Kerajaan misalnya boleh mengenakan cukai ke atas Petronas bagi membolehkan kerajaan membiayai RM 1 billion subsidi tersebut tanpa menaikan harga petrol dan diesel. Semua kenaikan ini dibuat selepas BN mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya 2004. Kami ingatkan BN, jangan menggunakan mandat itu sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira bebanan dan penderitaan rakyat terutama yang berpendapatan rendah.
[6] Khazanah minyak dan gas ini cukup untuk mengapungkan kedudukan ekonomi negara. Apabila harga minyak naik, hasilpun naik kerana kita mempunyai khazanah minyak dan gas. Kita tidak boleh bandingkan dengan kedudukan harga minyak kita dengan negara serantau seperti Indonesia dan Thailand. Ini kerana purata pengeluaran minyak berbanding penduduk, kedudukan kita adalah jauh lebih besar . Tambahan lagi di Thailand, cukai jalan adalah percuma dan lebuhrayanya tidak dikenakan tol. Ini bermakna kos pengangkutan di negara tersebut adalah jauh lebih rendah. Juga buat kali pertama, harga diesel di negara ini telah mengatasi harga diesel di Indonesia.
[7] Kenyataan pemimpin kerajaan untuk menurunkan subsidi petrol dan diesel bagi membolehkan kita mempunyai wang yang lebih untuk pembangunan menggambarkan seolah-olah negara kita telah kehabisan wang, sekali lagi ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam pengurusan kewangan negara sekarang ini atau sebelum ini.
[8] Kenyataan seperti ini juga menunjukkan kerajaan akan bertindak menaikkan harga minyak pada masa akan datang bagi menampung kekurangan pendapatan berbanding tanggungan perbelanjaan.
Kami ingin menyeru kerajaan mengkaji satu mekanisma dimana keuntungan besar yang diperolehi daripada minyak akibat kenaikan harga minyak dunia, dapat disalurkan untuk rakyat terutama sekali dalam penentuan harga petrol dan diesel.

No comments: