Tuesday, September 06, 2005

[ABIM] Sambut Kemerdekaan Dengan Perbaharui Tekad Menjadi Bangsa Yang Bermaruah, Berdaulat Dan Berbudi

Sambut Kemerdekaan Dengan Perbaharui Tekad Menjadi Bangsa Yang Bermaruah, Berdaulat Dan Berbudi
Barisan kepimpinan ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA sesi 2005-2007 ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-48 buat seluruh rakyat Malaysia.
Selepas hampir 50 tahun kita merdeka, Malaysia telah mengalami perubahan yang membanggakan dalam pelbagai aspek pembangunan fizikal dan ekonomi. Walau bagaimanapun, pembangunan kemanusiaan dan sosial perlu tetap diseiringkan demi memastikan kita mampu membentuk sebuah tamadun yang mampu menghadapi cabaran zaman.
Dalam konteks ini, ABIM melihat penekanan terhadap pendidikan sebagai wadah pembangunan insan dalam sambutan kemerdekaan kali ini adalah bertepatan dengan kesedaran bahawa negara memerlukan rakyat yang seimbang dalam segala segi. ABIM berpandangan bahawa semangat kewarganegaraan bukan sekadar terhad kepada melahirkan individu-individu yang cintakan negara dan menghormati undang-undang, tetapi turut meliputi penghayatan tuntutan agama, nilai nilai moral dan kebudayaan yang tinggi.
Dalam menghadapi cabaran zaman globalisasi, nilai-nilai agama dan budaya masyarakat timur perlu terus disemai ke dalam jiwa rakyat Malaysia agar kita memiliki keampuhan jati diri. Sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh ilmuwan Islam, Malek Bennabi, tidak ada bangsa yang mampu dijajah seandainya bangsa itu sendiri memiliki kekuatan menghadapi pengaruh luar. Beliau merujuk kepada ‘Kebolehjajahan’ (colonializibility) sebagai sifat yang terbentuk apabila pemimpin dan rakyat mula melupakan nilai-nilai agama dan budaya serta mengenepikan kepentingan budaya ilmu di dalam pembangunan negara.
Marilah kita mengambil semangat sambutan kemerdekaan negara ini untuk memperbaharui tekad untuk mencapai matlamat-matlamat mulia yang didambai oleh para pejuang kemerdekaan zaman-berzaman ; bangsa yang bermaruah dan berdaulat, kemandirian dan kemakmuran ekonomi, masyarakat berbudi dan harmoni, dibawah naungan keampunan dan limpahan rahmat Ilahi.
YUSRI MOHAMAD
Presiden
30 OGOS 2005

No comments: