Tuesday, September 06, 2005

[ABIM] Wawancara Presiden ABIM Dengan Wartawan Akhbar Siasah


Wawancara Presiden ABIM Dengan Wartawan Akhbar Siasah
2005/8/30, ABIM Online

[1] Apa masalah terbesar golongan belia Islam Malaysia kini?
Di antara masalah-masalah terbesar belia Islam di negara kita adalah kelunturan jatidiri, persaingan dalam akademik dan dunia pekerjaan. Bagi saya, masalah utamanya tetap kelunturan jatidiri mereka. Maknanya, belia Islam di negara kita tidak cukup mantap keIslaman, keMelayuan dan patriotismenya. Cabaran dan masalah lain akan mampu ditentangi oleh para belia Islam jika mereka masih utuh kekuatan peribadi dan nilai. Jika tidak masalah picisan pun akan mengganggu tumpuan dan memalingkan mereka dari landasan kejayaan dan keunggulan.
[2] Bagaimana formula ABIM untuk menangani masalah tersebut?

Sebagai badan dakwah dan sekaligus pertubuhan belia berasaskan Islam, ABIM lebih menumpukan kepada dua pendekatan utama iaitu pendekatan menimbulkan kesedaran dan kaderisasi. Kedua-dua pendekatan ini dijalankan melalui pelbagai program-program dalaman dan umum serta institusi-institusi khusus yang kita gerakkan. Khalayak sasaran gerakan kita ini adalah masyarakat umum di samping mereka yang bergabung sebagai ahli ABIM.
ABIM programnya sendiri yang digarap berdasarkan dengan kemampuannya, ABIM juga berperanan menarik perhatian umum terhadap pembaikan yang perlu dibuat dalam pelbagai usaha, sistem dan program pihak-pihak lain seperti pihak kerajaan dan swasta berkaitan agenda yang sama. Semua ini kami lakukan dalam semangat dakwah, nasihat dan Hisbah (pertanggungjawaban awam). ABIM juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk maksud yang sama.
[3] ABIM dilihat rapat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sehingga beliau dipecat dan dipenjarakan, tetapi selepas Anwar bebas, ABIM nampaknya seperti menjarakkan diri dengan Anwar. Komen saudara?
Anwar Ibrahim adalah salah seorang mantan Presiden ABIM. ABIM memang membudayakan memelihara hubungan berterusan dengan kesemua mantan-mantan Presidennya. Cuma Dato' Seri Anwar Ibrahim bergiat aktif dalam politik kepartian sedangkan ABIM bergerak sebagai badan dakwah non-partisan. Jadi memang ada perbezaan pendekatan di antara beliau dan ABIM.
Dalam isu krisis 1998 memang ABIM cenderung membela hak beliau kerana itulah tindakan sewajarnya berdasarkan prinsip-prinsip Islam yang kami fahami dalam situasi tersebut. Selepas pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim, tahap pembelaan yang terhadap beliau secara peribadi sudah tentu berbeza. Tentang agenda perubahan atau reformasi pelbagai aspek pentadbiran negara ke tahap yang lebih adil dan baik, kami sejak sebelum 1998 menyokongnya. Cuma dengan pendekatan dan cara kami sendiri.
[4] Apakah ABIM masih bersikap non-partisan, bersedia bekerjasama menjayakan agenda baik kerajaan, dan menyokong gagasan pembangkang di mana perlu, atau apa sebenarnya posisi ABIM kini?
Ya, ABIM masih bersikap non-partisan kerana kami yakin itulah sikap yang lebih sesuai dengan pendekatan dakwah yang kami pegang. Cuma prinsip non-partisan ini boleh disalah-tafsirkan dan kadang-kadang sengaja diberi gambaran yang silap. Non-partisan tidak bererti ABIM tidak peka dan endah dengan persoalan politik. Ia juga tidak bererti kami tidak berpendirian dan sewenang-wenang menyebelahi mana-mana pihak tanpa asas. Yang utama, ia bererti ABIM tidak turut bersaing dalam perebutan kerusi pilihanraya dalam persaingan politik di negara kita. Dengan sikap tersebut memang betul kita mungkin lebih bersedia untuk bekerjasama dengan kedua-dua belah pihak, kerajaan atau pembangkang, jika ianya kami rasakan lebih baik untuk kepentingan Islam. Kepentingan Islam dalam maknanya yang sebenar tidaklah pula mengenepikan penganut bukan Islam.
[5] Ada pandangan mendakwa gerakan Islam tidak lagi mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat, malah dianggap tidak relevan lagi kerana gagal menangani isu-isu semasa yang lebih kompleks.
Pengaruh mana-mana gerakan atau organisasi dalam masyarakat memang ada surut pasangnya. Tetapi semangat dan nilai keIslaman sudah begitu sebati dalam masyarakat Islam di negara kita serta sistem kenegaraan kita sendiri. Dalam latar tersebut, gerakan Islam akan tetap punya tempat dan peranannya yang tersendiri dan penting. Cuma tidak adillah jika gerakan Islam non-partisan dan bukan kerajaan seumpama ABIM hendak dibandingkan dengan institusi-institusi kerajaan atau parti-parti politik yang berbeza cara dan gelanggang mainnya. Lagipun ruang bergerak, badan-badan seumpama kami di negara kita, masih agak terbatas oleh batasan birokrasi, budaya dan lain-lain.
[6] Sesama gerakan Islam dan badan-badan dakwah di Malaysia, apakah ada satu keselarasan antara satu sama lain, dan masing-masing bergerak bersendirian?
Pada pandangan saya belum ada penyelarasan yang memuaskan. Memang ada beberapa forum dan rangkaian sedia ada yang seperti yang di bawah seliaan kerajaan dan juga sebahagiannya inisiatif badan-badan bukan kerajaan. Kehadiran dan pengaruh badan-badan dakwah ini akan lebih dirasai dan berkesan jika gerak kerja mereka lebih terselaras. Untuk mencapai maksud ini, faktor utama adalah sikap, budaya dan tabiat medan gerak kerja dakwah itu sendiri. Dakwah sewajarnya dilihat dan dirasai sebagai agenda neutral dan agenda bersama. Kegagalan bekerjasama dalam hal ini bukan sahaja akan mengurangkan pencapaian tetapi akan menyebabkan timbulnya fitnah dan krisis seperti peringatan Quraniy dalam Surah Al-Anfal, ayat 73.

No comments: