Friday, September 30, 2005

[Malaysia] Beberapa Persoalan Belanjawan 2006

Beberapa Persoalan Dalam Belanjawan 2006
Jumaat, 30 September 2005

[1] Apakah pengurangan defisit belanjawan akan mengakibatkan pengecutan ekonomi dan penurunan kadar pertumbuhan ekonomi? Bagaimanakah defisit belanjawan ini akan dibiayai? Apakah dengan menambahkan hutang negara sama ada dari dalam negara mahupun dari luar negara?

[2] Parlimen Indonesia pada 27 September 2005 meluluskan untuk melupuskan subsidi bahanapi di dalam penetapan harga bahanapi di Indonesia. Mungkinkah negara akan mencontohi Indonesia tentang cara dan kaedah pemerintah Indonesia mengurangkan kadar subsidi bahanapi dan memberi bantuan dana kepada golongan berpendapatan rendah?

[3] Apakah pengurangan defisit akan berjaya dengan menambahkan perbelanjaan pengurusan menerusi pertambahan kakitangan Kerajaan? Tidakkah lebih baik jika kakitangan Kerajaan sedia ada di"redeploy"kan ke jabatan/agensi yang dirasakan lebih utama (priority)? Peningkatan dan pertambahan elaun-elaun tertentu bagi kakitangan awam adalah dialu-alukan dan sewajarnya perlu diiringi dengan peningkatan kekompetenan, ketrampilan dan kecekapan kakitangan awam dalam urusan pentadbiran Kerajaan.

[4] Ketika menjawab soalan Datuk Seri Law Hieng Ding (Ahli Parlimen Sarikei) di Dewan Rakyat pada 29 September 2005, Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Hilmi Yahya menyatakan bahawa Kerajaan memungut sejumlah RM 7.06 bilion cukai daripada aktiviti perjudian bagi tempoh 2001 dan 2004 [2001, RM 1.83 bilion; 2002, RM 1.78 bilion; 2003, RM 1.67 bilion dan 2004, RM 1.77 bilion). Apakah Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan cukai terhadap aktiviti perjudian sebagai mendokong objektifnya untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih murni dan berakhlak mulia? Hasil dari pertambahan cukai judi ini boleh digunakan untuk projek-projek kemudahan awam seperti pembinaan jalanraya dan projek-projek infrastruktur awam yang lain.

[5] Apakah pembekuan kenaikan harga bahanapi seperti harga diesel, gasoline dan LPG akan mengurangkan kenaikan kadar inflasi? Atau apakah kenaikan inflasi ini disebabkan oleh faktor-faktor lain? Kadar inflasi di negara-negara lain meningkat lantaran kenaikan ketara harga bahanapi adalah kerana harga bahanapi di negara-negara tersebut tidak disubsidikan; sedangkan inflasi masih berlaku di Malaysia walaupun harga bahanapi di Malaysia tetap disubsidikan pada tahap yang tinggi!

[6] Bagaimanakah Kerajaan akan meneruskan program pembasmian rasuah di pelbagai peringkat dan sektor yang banyak membantutkan program pembangunan negara dan memberi perspektif negatif kepada para pelabur antarabangsa? Apakah sistem tender terbuka akan benar-benar dilaksanakan di pelbagai agensi, jabatan dan Kementerian untuk memastikan ketelusan penelitian dan pemberian kontrak Kerajaan?

[7] Ramai yang berpandangan bahawa Kerajaan hari ini kelihatannya semacam panik dalam menghadapi pelbagai isu sehinggakan pengumuman demi pengumuman tentang pelbagai perkara dilakukan oleh hampir semua Menteri dan Timbalan Menteri. Ada yang bercanggah di antara satu sama lain; masing-masing memberi kaedah dan cara tersendiri untuk menangani sesuatu isu sehinggakan ada yang agak keterlaluan. Apakah sikap semberono, kelam kabut dan tidak seia-sekata ini akan diteruskan dengan para Menteri bersikap sendiri-sendiri (silo mentality) manakala pegawai Kerajaan dan para pelaksana dasar tidak bekerjasama dalam satu pasukan secara integratif sehinggakan ketidaksepaduan ini akan dieksploitasi oleh pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan di atas kekurangan dan kelemahan Kerajaan ini?

[8] Program peningkatan kemampuan sistem pengangkutan awam seperti yang diumumkan sewajarnya diberi fokus utama kerana ia akan memberi implikasi positif yang lebih menyeluruh kepada rakyat di semua peringkat. Setidak-tidaknya ia akan mengurangkan beban yang ditanggung akibat peningkatan harga bahanapi.
[9] Program penukaran minyak kelapa sawit perlu diteliti secara lebih terperinci untuk mengelak dari menjadi satu lagi program “gajah putih”. Program “biofuel” ini kelihatannya menarik sebagai satu bahanapi alternatif kepada produk petroleum, hanya ketika harga minyak di paras yang tinggi, sepertimana yang berlaku ketika ini. Soalnya, apakah program “biofuel” ini akan kekal berdaya maju atau “commercially viable” sekiranya harga minyak menurun ke paras yang lebih “sustainable” di masa-masa yang akan datang? Apakah program “biofuel” ini adalah satu reaksi spontan yang dilakukan tergesa-gesa tanpa memperhitungkan kebolehupayaannya untuk jangka masa yang lebih panjang? Sekiranya program “biofuel” ini menjadi “gajah putih”, apakah Kerajaan akan menggunakan dana awam para pembayar cukai untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang cuba mengambil keuntungan dari program “biofuel” ini?
30 September 2005

No comments: