Pejuang kemerdekaan yang dilupakan
Menjelang ulangtahun Kemerdekaan Negara yang ke 50 ini berbagai rencana
dan rancangan kita ikuti di akhbar dan TV. Kebanyakannya menggambarkan
sumbangan para pejuang kemerdekaan serta pengalaman mereka yang turut
serta berada diwaktu berkenaan.
Sesungguhnya pergelutan nasionalisma yang merintis jalan untuk
mengisytiharkan Tanah Melayu atau Malaya Merdeka bermula sejak dari
sebelum pendudukan Jepun di Malaya pada tahun 1941. KMM atau Kesatuan
Melayu Muda satu gerakan nasionalis Melayu yang dipimpin Ibrahim Yaakob
telah ditubuhkan seawal 1938. Ia merupakan satu badan radikal yang
menentang penjejahan Inggeris ketika itu. Perjuangan KMM ini menadapatkan
sokongan padu dari para guru Melayu lepasan MPSI (kini UPSI). Antara
lepasan MPSI yang terlibat adalah Hassan Manan, Abdul Karim Rashid dan
Mohd. Isa Mahmud. Selain itu antara yang turut terlibat dengan KMM adalah
Ahmad Boestamam dan Abdullah CD (yang kemudiannya memimpin PKM).
Apabila Malaya menerima berita tentang Perang Dunia Kedua, tuntutan KMM
menjadi semakin lantang dan berani. British telah mengisytiharkan darurat
dan mengharamkan KMM, mereka kemudiannya bertindak menangkap sesiapa
sahaja yang mereka kira boleh membahayakan kedudukan mereka. Ahmad
Boestamam menulis di dalam, Lambaian Dari Puncak:
Penangkapan ini dilakukan di bawah kuatkuasa undang-undang (yang penjajah
Inggeris namakan) Undang-undang Darurat atau Peraturan-peraturan Darurat.
Antara orang yang ditangkap dan ditahan termasuklah saya.
Demikianlah mahalnya harga yang harus saya bayar atas penglibatan saya
dalam politik pada peringkat permulaan.
Ketika itu belum ada lagi PKMM atau Umno. Bermakna sebelum pendudukan
Jepun perjuangan nasionalis menuntut kemerdekaan telah pun dicetuskan.
Sayangnya kita tidak dihidangkan dengan sejarah dan perkembangan
perjuangaan ketika itu. Hari ini dipaparkan nama-nama dan kisah mereka
yang menyumbang ke arah kemerdekaan negara, teapi tahukan anda bahawa
selain bangsawan, selain ahli politik, selain para penulis dan golongan
agama, terdapat satu golongan yang turut menyumbang ke arah kemerdekaan
negara, samada kita mau iktiraf ataupun tidak.
Nama mereka ini tidak terdapat dalam mana-mana buku atau tulisan sejarah,
tetapi percayakah anda mereka ini walaupun hina tetapi berjuang sehingga
dipenjarakan oleh penjajah Inggeris!
Boestamam merakamkan dalam bukunya: Lambaian Dari Puncak, ketika beliau
sedang diangkut oleh trak penjajah untuk dihumban ke kem tahanan. Betapa
beliau terserempak dengan sekumpulan wanita yang beliau percaya berasal
dari Pantai Timur yang turut ditahan seperti beliau. Boestmama menulis:
Adik-adik ini sebelum ditahan bekerja sebagai apa, tanya saya.
Wanita yang duduk di sebelah saya, yang bergesel bahu dengan saya
menjawab: Kami semuanya wanita yang mencari rezeki dengan memuaskan nadsu
laki-laki dengan bayaran. Wanita lacur kata orang.
Kenapa pula ditangkap? (tanya Boestamam)
Kerana kami orang Berahim Yaakub
Jadi semuanya menjadi anggota KMM begitu?, saya bertanya
Tidak (jawap mereka)
Kalau tidak kenapa ditangkap!
Kami menjadi pengintip rahsianya. Wanita itupun menceritakan. Kami kenal
baik dengan Berahim Yaakub malah rapat dan mesra. Sewaktu meladeni
askar-askar Inggeris yang hendak memuaskan nafsu mereka dengan kami, dia
meminta kami supaya mengorek rahsia mereka, seperti berapa ramai jumlah
mereka, dimana kubu mereka diseluruh negeri, dan banyak lagi.
Bermakna pelacur-pelacur yang beroperasi di KL sebelum pendudukan Jepun
itu turut menyumbang ke arah perjuangan nasionalisma sehingga ditangkap
dan dipenjarakan. Boestmama menulis:
Saya termenung dan kagum memikirkan keberanian mereka mendedahkan rahsia
yang didengar oleh para pengawal wanita yang ada bersama di situ.
Saya memaparkan kisah ini kerana mahu berlaku adil kepada semua pihak.
Saham untuk kemerdekaan negara bukan milik Umno atau mana-mana pihak
tertentu sahaja. Sesungguhnya ramai rakyat Malaya yang telah menyumbang
tenaga, darah dan airmata. Cuma 31 Ogos nanti yang akan kita
agung-agungkan adalah sekadar dua tiga kerat yang memilih jalan
perjuangan mudah.
Semoga Allah membalsa jasa dan pengorbanan mereka yang ikhlas berjuang
dengan darah dan air mata untuk kemerdekaan negara kita yang tercinta
ini.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment