Harakahdaily, Aug 17, 2007
Walaupun perjumpaan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri di
Langkawi masih baru, dengan paparan gambar makan semeja dengan Timbalan
Perdana Menteri, semuanya itu tidak boleh dijadikan asas untuk berdamai,
semuanya sudah buntu, kecuali jika hanya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi
meninggalkan tampuk pemerintahan.
Ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, kelmarin (15 Ogos) begitu
mengejutkan, nadanya amat keras, tiada tanda-tanda kesihatannya boleh
menghentikan ketegasannya menolak kepimpinan Umno yang ada sekarang.
Mantan Perdana Menteri Malaysia mengajak seluruh rakyat Malaysia,
khususnya
orang-orang Umno memikirkan semula sokongan yang diberikan kepada
penggantinya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Mahathir bukan sahaja menempelak Abdullah, bahkan beliau menggesa rakyat,
khususnya orang-orang Melayu dalam Umno untuk menolak kepimpinan orang
yang
dipilihnya menggantikan beliau empat tahun lalu kerana Malaysia sudah
diibaratkan sebagai 'rotten state'.
Pada majlis perjumpaan yang dianjurkan oleh pengendali laman web dan blog
di
Yayasan Kepimpinan Perdana anjuran Majlis Prihatin Malaysia (PRIMA),
Mahathir sudah tidak boleh menutup kemarahannya yang membuak-buak terhadap
Abdullah.
Selepas 22 tahun menerajui Umno, empat tahun mewariskan kepada Abdullah,
Mahathir begitu kecewa dengan partinya sendiri.
Mahathir tidak segan mengulangi betapa kesetiaannya kepada Umno, tetapi
tidak boleh menyembunyikan betapa ahli-ahli Umno kini seolah-olahnya
manusia
yang tidak bermaruah dan tiada harga diri.
Dalam ucapannya Mahathir berulangkali mengungkit betapa maruah perwakilan
Umno Kubang Pasu, dalam pemilihan G7 tahun lalu, digadaikan dengan hanya
RM200 sahaja.
*Berdiri tiga jam membelasah Abdullah*
Bagi Mahathir, kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja merosakkan
kerajaan, malah menghancurkan parti Umno kerana membenarkan rasuah
berleluasa dalam parti, menjadikan ahli partinya penakut seperti 'lembu
dicucuk hidung'.
Di sebalik mengalami beberapa serangan jantung, Mahathir begitu bertenaga
berdiri hampir tiga jam untuk berucap dan menjawa pelbagai persoalan yang
dibangkitkan para hadirin.
Jelas Mahathir tidak segan untuk menyifatkan orang Melayu bacul kerana
akan
mengundi Umno pada pilihan raya akan datang, walaupun parti itu akan
meletakkan 'tunggul' sebagai calon.
Mahathir menempelak Melayu dalam Umno yang disifatkan tiada pendirian,
tiada
jati diri dan tiada maruah.
"Saya kecewa dengan kaum saya…kalau letak tunggul kayu pun mereka akan
sokong kerana tunggul kayu itu tunggul Umno," katanya.
Mahathir mahu orang Melayu mencontohi kebijaksanaan kaum Cina yang tahu
menilai kewibawaan sesebuah parti dan melihat kredibiliti calon sebelum
mengundi.
Bekas Presiden Umno itu mendakwa ahli-ahli parti tersebut tidak mempunyai
pemikiran strategik ketika membuat keputusan dalam pilihan raya seperti
pengundi Cina.
Dengan nada kesal Mahathir berkata orang-orang Melayu khususnya ahli Umno
tetap akan memberikan undi kepada parti itu walaupun pemimpin parti itu
menjual agama, bangsa dan negara.
*Majlis Tertinggi Umno tidak berfungsi*
Menambah kekecewaannya yang tidak terubat itu, Mahathir dengan nada keras
mengkritik Majlis Tertinggi Umno kerana seolah-olahnya tidak berfungsi
lagi
sebagaimana MT pada zamannya menerajui Umno selama lebih 22 tahun.
Bukan sahaja ahli-ahli Umno yang 'bacul' malah anggota MT juga sama, tidak
berani menegur dan hanya menyerah tunduk kepada keputusan yang dibuat oleh
Presiden dengan dibantu oleh Timbalan Presiden.
"Sekarang kesetiaan kepada pemimpin (dirujuk kepada Abdullah lebih
daripada
setia kepada raja. Kalau tak sanggup menentang itulah nasib kita…kalau tak
berani menentang, kita akan jadi kuli di negara kita sendiri," katanya.
Di sebalik kecaman kerasnya kepada Abdullah, Mahathir pada masa yang sama
menafikan beliau menyebelahi pembangkang, tetapi setia dengan Umno untuk
memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
"Saya menyebelahi parti Umno tidak bermakna saya menyebelahi pemimpin
parti.
Dulu saya lawan Tunku (Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra) sebab saya
sayang
Umno tapi akhirnya dia dengar dan berundur.
"Saya sebelahi parti (Umno) tetapi itu tidak bermakna saya menyebelahi
pemimpin parti (Abdullah)," ujar beliau.
*Isu-isu yang dibangkitkan dan diulangi Dr Mahathir*
Pada peringkat awal ucapannya, Mahathir dengan tegas mengkritik pelancaran
Koridor Utara yang dilancarkan Abdullah baru baru ini.
Beliau dengan tegas menyatakan kekesalannya, pada ketika zaman
pentadbirannya melancarkan projek sejumlah RM 2 billion yang dianggap mega
Mahathir menerima kritikan yang pedas.
Namun katanya, apabila Abdullah melancarkan projek jauh lebih mega
sehingga
berbelas billion, semua mendiamkan diri dan tidak berani menegur Abdullah.
Secara sinis Mahathir berkata, PM begitu rajin mengumumkan projek mega
untuk
pembangunan negara, "but nothing on the ground."
Begitu juga dengan Syarikat Berkait Kerajaan (GLC) sekarang itu tidak
wujud
untuk kepentingan rakyat jelata, malah ia disalahgunakan untuk
memperkayakan
individu tertentu dari kalangan keluarga, katanya.
Mahathir juga terus menempelak kerajaan khususnya dalam kelemahan
pengendalian penjualan MV Agusta dengan harga 1 Euro.
Malah Mahathir mendedahkan kemungkinan perundingan antara Proton dengan
Volkswagen juga akan merugikan negara apabila syarikat asing tersebut
dikatakan mahu membeli kepentingan 51 peratus dalam Proton hanya dengan
RM1
sahaja.
Jika benar, fenomena ini begitu memalukan. Apakah kerugian Proton yang
menjadi kebangaan rakyat begitu besar sehingga terpaksa digadaikan kepada
syarikat asing hanya dengan RM1?
Mahathir membuat pendedahan ini bukan sebagai rakyat biasa, beliau adalah
Penasihat Proton dan juga Penasihat Petronas yang dilantik secara rasmi
oleh
kerajaan.
"Well you know this country, this is not British Advisor, this is
Malaysian
Advisor," perlinya, merujuk kepada perlantikan yang menafikan sebarang
peranan kepada beliau.
Sepanjang ucapan dan soal jawab bersama beliau, Mahathir turut
membangkitkan
isu 'panas' yang didakwanya Abdullah begitu takut dan tunduk kepada
kehendak
Singapura antaranya, pembinaan jambatan, Kompleks CIQ, isu air, isu
penjualan pasir, isu wang rakyat Malaysia dalam Central Provident Fund
(CPF)
Singapura dan juga isu Pulau Batu Putih.
*Persepsi Mahathir terhadap Abdullah*
Kesimpulan, apa yang dipertegaskan Mahathir adalah mengenai kredibiliti
PM,
Abdullah tiada wibawa dan tidak mampu menerjui kerajaan.
Kepada satu soalan yang mempersalahkan Mahathir kerana melantik Abdullah
menjadi penggantinya, beliau tidak menafikan, dahulu beliau melihat
Abdullah
seorang yang baik, "...tapi hati orang mana kita nak tahu."
Secara jelas Mahathir mengulangi bahawa hasratnya untuk melihat Abdullah
sebagai PM hanya satu penggal sahaja dan selepas itu diberikan kepada
orang
lain.
Mahathir seolah-olahnya seperti gunung berapi yang sedang meletup dan
memuntahkan laharnya. Harapannya kepada Abdullah sudah musnah, negara
kelam
kabut, Umno sudah dihancurkan.
Kata Mahathir secara berseloroh, dulu daging tangannya luruh dicium
anak-anak buah dalam Umno, baru dua minggu melepaskan jawatan beliau
kehilangan sebahagian besar sahabatnya.
"La (sekarang) ni daging dah tumbuh balik dah, sebab tak dak sapa nak
cium,"
katanya sambil ketawa.
Apa pun yang diperkatakan, apa pun yang diucapkan Mahathir sebenarnya
adalah
manfestasi daripada kekecewaan yang amat sangat terhadap pengantinya yang
semakin lembab dan hampas.
Masalahnya bukan sahaja rakyat sudah terpesong. Sindrom mandom Umno yang
dibawa dan diwar warkan oleh media sudah meresapi ke benak rakyat.
Siapakah
lagi yang boleh diharap untuk memperbetulkan kemandoman ini?
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment