August 12 2007
ALOR STAR: Belum pun sebarang projek Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)
berjalan, majlis pelancarannya yang gah selama tiga jam sudah menelan kos
lebih RM4 juta.
Untuk keempat-empat negeri - Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak -
majlis pelancaran tersebut menelan kos lebih RM20 juta.
Untuk peringkat awal ini, terbukti kerajaan mengamalkan dasar biarlah gah
di majlis pelancaran, kalau tidak berhasil nanti, mereka akan mencari
alasan lain.
Amalan ini boleh diambil contoh melalui beberapa projek gah kerajaan
seperti kempen 'Cintai Sungai Kita' atau 'Kempen Tak Nak! (Merokok).
Menteri bertanggungjawab tidak rasa sedikit pun bersalah mengumumkan
bahawa kedua-dua kempen itu gagal walaupun berjuta-juta ringgit wang
rakyat telah dibelanjakan untuk tujuan itu.
Satu contoh mungkin dapat melihat sejauh mana berkesannya projek Koridor
Utara ini, Langkawi digariskan sebagai salah satu tempat yang akan
menjadi pemangkin pendapatan melalui usaha pelancongan, tetapi bagaimana
ia mungkin berjaya apabila Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA) langsung
tidak dipanggil untuk duduk semeja membincangkan gagasan Koridor Utara.
Segala yang ditekankan adalah semua projek yang telah sedia ada, mungkin
diberi nafas baru, tetapi jika projek sekecil Satu Kawasan Satu Produk
(1K1P) di Kedah sedikit masa lalu pun gagal dipantau dengan baik, inikan
pula projek mega dalam sasaran kali ini.
Lebih daripada itu, tapak pelancaran Koridor Utara di Kedah, Pejabat MADA
Ampang Jajar sekarang sakit mata memandang.
Padang bola yang dibina begitu indah dengan kos akhir difahamkan sebanyak
RM300,000, rosak teruk.
Padang bola sepak tersebut hanya digunakan seminggu sekali sahaja untuk
golongan dewasa, dijaga rapi dengan rumput dan sistem saliran air bawah
padang yang canggih, kini bertukar wajah sama sekali.
Orang ramai yang lalu di situ sememangnya dapat melihat sendiri kesannya
dan menurut sumber padang itu akan dibaiki semula tetapi belum ada
tarikhnya.
Jika kerajaan tidak mempunyai sensitiviti, maka mereka akan gunakan apa
saja tempat mengikut selera mereka, asalkan program nampak gah, kata
salah seorang bekas pegawai MADA yang lama berkhidmat di Ampang Jajar.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment