Harakah
Kehadiran Ogos, penulis mendepani tiga sambutan. Paling utama ialah
Sambutan
Kemerdekaan Kali Ke 50, Sambutan 20 Tahun Harakah dan 30 Tahun Bandar Baru
Bangi. Sambutan-sambutan yang diadakan wajar untuk mengingati dan menilai
perjalanan lalu untuk dihayati dan diteladani bagi memperbaiki dan
menghantar harapan masa depan. Walau bagaimana `Sambutan` kadang-kadang
begitu cair dan boleh dimaksudkan antaranya `Perayaan`, `Publisiti dan
Kesempatan` bahkan `Penyelewengan`. Merdeka pula mungkin diterjemah
mengikut
kamus politik sempit yang bersifat sepihak, terhad dan mempromosi parti
politik tertentu.
Tidak ada siapa dari rakyat Malaysia sebenar yang lahir dan bertumpah
darah
di bumi ini tidak mencintai Malaysia yang dikasihi. Kemerdekaan Negara
tentulah dijunjung tinggi dan ulang tahun kemerdekaan sama dihormati.
Tetapi
tepatkah ulang-ulang tahun kemerdekaan selama ini disambut ? Apakah arah
dan
matlamat? Ada tendensi memperlihatkan sambutan seharusnya murni bertukar
kepada makna budaya `perayaan`. Substen dan fakta kemerdekaan tenggelam
dan
yang menonjol ialah tambahan-tambahan baharu untuk mewajarkan kepentingan,
ulangan penampilan, hiburan, suka-sukaan dan berlalu dengan berakhirnya
tempoh `sambutan` sementara menunggu `perayaan` tahunan berulang.
`Perayaan`, teristimewa 50 tahun kemerdekaan selaku `perayaan`
digembar-gembur media letronik sebelum Ogos menjelang lagi dengan berbagai
slot yang berhubung dengan kemerdekaan. Media cetak juga turut sama
memberi
ruang berhubung dengan kemerdekaan. Suasana sambutan telah bertukar dan
menjadi budaya `perayaaan`. Pejabat-pejabat kerajaan, premis swasta,
institusi, bangunan perniagaan rumah kediaman dan jalan-jalan berhias
dengan
bendera Persekutuan dan Negeri.
Kenderaan juga turut memasang dan mengebar bendera. Ada yang menganjurkan
sukan dan pertandingan-pertandingan.. Puncak bagi sambutan ialah
`Perbarisan
Hari Kemerdekaan` di Ibu Negara yang dihadiri Pemimpin Tertinggi Negara,
Perdana Menteri dan ahli-ahli Kabinet yang disaksi rakyat jelata baik
secara
langsung atau disiarkan melalui media letronik dan diikuti media cetak.
Sambutan adalah lebih bersifat ulangan dan `perayaan` yang sudah bersifat
klisye dan hilang sentuhan dan rangsangan. Mungkin kita masih mencari-cari
dan gagal meletakkan matlamat dan sasaran yang sebenar yang mau dicapai
dari
ulangan `perayaan`. Kita gagal menghurai dan mentafsir model contoh
tokoh-tokoh yang kita kata pejuang kemerdekaan sebagai modal insan yang
menjadi qudwah hasanah bagi rakyat dan masyarakat, kita masih gagal
menampilkan episod-episod indah, dramatik dan kualitatif dalam perjuangan
kemerdekaan yang dapat menggerakkan daya juang, ketahanan, kewajaan mental
dan jiwa masyarakat di dalam menghadapi ujian dan persaingan (Contoh
kekalahan berterusan pasukan bola sepak Negara di dalam pertandingan
peringkat regional dan lebih jauh lagi pada peringkat internasional), kita
gagal merumuskan gagasan merdeka yang dapat menyuntik dan membentuk
`minda,
jiwa dan raga merdeka` yang mempunyai daya juang yang tinggi, berdikari
dan
berjaya sebagaimana orang Jepun dan Korea umpamanya.
Apa yang dihayati dari kemerdekaan khususnya bagi masyarakat Melayu ialah
perayaan, suka-sukaan, hiburan dan kadang-kadang melalaikan. Orang Cina
tidak begitu tertarik dengan pesta-pestaan dan perayaan, tetapi mereka
terus
memanfaatkan waktu dengan bekerja dan terus bekerja.
*Penyelewengan*
Sebenarnya kita sengaja memiskinkan episod perjuangan kemerdekaan Negara
yang sebenarnya kaya, tetapi dihad dan mengulang-ulang tayang hanya kepada
episod `Penentangan Terhadap Malayan Union`. Mengapa ? Kerana inilah
satu-satunya kejayaan bermakna bagi UMNO sesudah ianya ditubuhkan (1946).
Dalam kata yang lain `perayaan Kemerdekaan` adalah perayaan UMNO, ia
merupakan publisiti dan kesempatan bagi UMNO mempamer dan menonjolkan diri
sebagai jaguh pejuang kemerdekaan dengan meminggir dan menggelapkan episod
parti lawan.
Ianya dijadikan bahan kempen bagi UMNO-BN untuk kepentingan pilihanraya ke
12 yang bakal berlangsung. Untuk sambutan sejumlah RM200 juta diperuntuk
oleh kerajaan dan setiap kawasan parlimen diperuntukkan RM30,000 untuk
sambutan secara tidak langsung diambil kesempatan mempromosikan parti
pemerintah bagi kepentingan pilihanraya. Sebenarnya berlaku kurupsi dan
penyelewengan di dalam menampilkan sejarah kemerdekaan Negara. Pihak
berkenaan tidak jujur dari segi keilmuan dan sejarah. Dari segi hakikatnya
sejarah tidak mendustai diri. Fakta-fakta tegak berdiri bersamanya.
Mengapa
sejarah kemerdekaan Negara dikontotkan. Perjuangan kemerdekaan dikerat dan
bermula dengan episod Malayan Union dan tokoh-tokoh menonjol hanyalah
Datuk
Onn dan Tengku Abdul Rahman ? Inikah saja pejuang-pejuang kemerdekaan ?
*Tokoh Perjuangan*
Sebenarnya kita mempunyai sejarah cukup panjang dan tak kurang gemerlapnya
jika dihurai dan digilap. Mereka lebih hebat berjihad memperjuangkan
kemerdekaan dengan darah dan air mata, bahkan nyawa. Pergerakan
kemerdekaan
dapat disusurgalur dari awal abad ke 20 yang dicetuskan oleh
pelajar-pelajar
al-Azhar seperti Syeikh Ahmad al-Fatani, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syed
Syeikh al-Hadi, termasuk guru dari Makkah seperti Syeikh Abbas Taha.
Mereka
menerima pengaruh pembaharuan dari Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh
dan
Rashid Reda. Dari pengaruh majalah al-Imam mereka menghasilkan majalah
Jam`iyatul Khairiyyah, Seruan Azhar dan pilihan Timor semasa di Mesir yang
kesemuanya berbau gerakan politik pembaharuan.
Bila mereka pulang ke tanah air mereka bergerak membawa pembaharuan
melalui
tulisan dan melalui institusi pendidikan seperti melalui Madrasah
al-Mashhur
al-Islamiyyah (1919) Pulau Pinang yang antaranya melahirkan
pelajar-pelajar
seperti Syeikh Abu Bakar al-Ashari dan Burhanuddin Hilmi, manakala melalui
pendidikan madrasah juga melahirkan tokoh-tokoh sepert Syeikh Abu Bakar
Baqir yang mengasas Ma`had Ihya` al-Syarif Gunung Semanggol (1934),
Madrasah
al-Masriyyah, Bukit Mertajam (1906) yang diasaskan oleh Syeikh Salleh
Masri
melahirkan pelajar seperti Haji Ahmad Fuad yang mengasaskan persatuan
Ulama
SeMalaya yang kemudian bertukar kepada PAS. Madrasah di sini menjadi
Pejabat
Agung PAS terawal. Banyak lagi madrasah-madrasah yang berjasa yang
melahirkan pejuang-pejuang pembaharuan yang mereka semuanya terhasil dari
pendidikan keislaman.
*Penentangan & Pemberontakan*
Sejak dari awal abad 20 British mulai campur tangan ke negeri-negeri
Melayu.
Umpamanya Pahang British mulai campurtangan sejak akhir abad ke 19 yang
menyebabkan bangkitnya penentangan berlamaan dari pahlawan-pahlawan Pahang
seperti Tok Gajah, Datuk Bahaman dan Mat Kilau. Mereka bergerak antara
Tembeling dan Hulu Terengganu dan mendapat bantuan dari Terengganu dan
juga
Kelantan. Di Terengganu sendiri semasa dengan gerakan penentangan di
Pahang
ini, apabila British mau campurtangan di Terengganu Sultan Zainal Abidin
III
(M. 1918) seorang Alim dibantu seorang pembesar ulama Syed Abdul Rahman
bin
Muhammad yang terkenal sebagai Tuan Paloh yang turut membantu Pahang
berkeras tidak membenarkan British campur tangan di Terengganu. Selepas
kemangkatan sultan dan ulama, campurtangan di dalam politik pentadbiran
berlaku di Terengganu hingga mencetuskan pemberontakan Tani yang dipimpin
oleh Haji Abdul Rahman Limbong.
Campurtangan British juga berlaku di Kelantan mulai 1903 dan diperkukuhkan
dengan Perjanjian Bangkok (1909) antara British dengan Siam. Ini
mencetuskan
pemberontakan yang dipimpin oleh Haji Mat Hassan Munas murid Syeikh Ahmad
al-Fatani yang terkenal sebagai Tok Janggut yang juga mempunyai pertalian
dengan pahlawan-pahlawan Pahang. Sebagai mengambil tindakan balas terhadap
British yang sedang menyerang kerajaan Khilafah Uthmaniyyah dan menjajah
Kelantan dan mengenakan cukai taksiran tanah Tok Janggut dan
pengikut-pengikutnya menyusun strategi menyerang British di Pasir Putih
Kelantan pada 19 April 1915 menyebabkan tentera British berundur ke Kota
Bharu dan pasuukan Tok Janggut menguasai Pasir Putih. Engku Besar Jeram
diangkat menjadi Raja dan Tok Janggut sendiri menjadi Perdana Menteri
sebelum Tok Janggut dikalahkan British dan disula pada 24 Mei 1915.
Penentangan juga berlaku di Perak apabila British menguasai negeri itu,
J.W.
Birch dibunuh oleh Tok Sagur dan pembantu-pembantu menyebabkan Sultan
Abdullah yang dituduh bersyubhat dibuang negeri dan Datuk Maharajalela,
Datuk Sagor, Pandak Induk dan Sepotom dihukum. Penentangan juga berlaku di
Naning oleh Dol Said, di Negeri Sembilan penentang dipimpin oleh Datuk
Syahbandar dan Yamtuan Antah Negeri Sembilan, manakala di Selangor oleh
Raja
Mahadi, di Sarawak oleh Syed al-Mashhur, Abdul Ghafur, Banting dan Asun
dan
di Sabah oleh Mat Salleh dan Antanum. Demikian beberapa contoh penentang
penjajahan. Tentu ramai dari pengikut-pengikut mereka tidak dapat
disebutkan
di sini.
*Organisasi Politik*
Melihat dari segi organisasi politik, UMNO amat baharu berbanding dengan
gerakan dan pertubuhan politik sebelum dan semasanya seperti Kesatuan
Melayu
Muda (KMM) 1937, Kongres Melayu SeMalaya (1939), Pembela Tanahair (PETA)
1943, Kesatuan Rakyat Indonesia Merdeka (KRIS) 1945, Persatuan Kebangsaan
Melayu Malaya (PKMM) 1945, Angkatan Pemuda Insaf (API) 1945, Majlis Agama
Tertinggi Malaya (MATA) 1947, Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) 1947, Hizbul
Muslimin (1948). Dalam masa yang lebih kurang sama lahirnya Angkatan
Wanita
Sedar (AWAS), Barisan Tani Se Malaya (BATAS), SEBERKAS, Pemuda Redikal
Melayu (PERAM),Gerakan Angkatan Muda (GERAM), All Malayan Council Joint
Action (AMCJ) dan PAS (1951). Dalam kata yang lain banyak pertubuhan
politik
sebelum UMNO dan semasa yang menyaingi UMNO (1946) dalam memperjuangkan
kemerdekaan..
*Pemimpin*
Dari segi pemimpin begitu ramai lahir mereka yang memimpin
organisasi-organisasi politik di atas seperti Ahmad Fuad, Burhanuddin
Himi,
Ibrahim Ya`kob, Abu Bakar al-Baqir, Maulana Abdullah Noh, Ishak haji
Muhammad, Ahmad Bustamam, bahkan termasuk gerakan kiri seperti Rashid
Maidin, Abdullah CD, Chen Peng dan Shamsiah Faqih dan tentulah ramai lagi
pejuang-pejuang bersama mereka. Dalam perkembangan politik mutakhir dan
semasa sungguhpun pihak UMNO-BN berkuasa dan memerintah Negara ini bersama
dengan Perdana-Perdana Malaysia dari Tunku Abdul Rahman, Tun Haji Abdul
Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir dan Datuk Seri Abdulllah
Badawi
dengan kabinet masing-masing bukan bererti mereka saja mewarnai politik
Malaysia.
Golongan pembangkang, walaupun mereka tidak menikmati faedah sebaik
kalangan
pemerintah mereka juga adalah mempunyai peranan didalam membina,
mengkritik,
mencadang dan melaksanakan kebaikan-kebaikan bagi faedah rakyat. Sebab itu
tokoh-tokoh politik mutakhir dan semasa wajar di beri hak dan kedudukan di
dalam peta perjuangan dan kedudukan politik Malaysia. Mereka seperti Ahmad
Fuad, Haji Abbas, Burhanuddin Hilmi, Asri Muda, Yusof Rawa, Ustaz Fadhil,
Nik Aziz, Haji Hadi, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Abdul Rahman Ya`kob,
Ahmad
Bustamam, Wan Azizah, Syed Hussein dan pembangkang-pembangkang yang lain.
Pendekatan selama ini yang melihat pejuang-pejuang kemerdekaan pada satu
permukaan dan mengabaikan permukaan yang lain adalah merupakan kekurangan
dan ketidaksempurnaan bahkan penggelapan dan ketidakjujuran bagi sejarah
dan
perjuangan politik di Malaysia sendiri. Berhubung dengan resolusi Pemuda
UMNO yang mencadangkan agar diwujudkan semacam `Institut Patriotisme` di
Malaysia dapat dipersoalkan. Antaranya jika apa yang hendak disampai dan
dipupuk bersifat berpihak dan satu permukaan, maka ianya dikhuatiri tidak
akan mencapai matlamat dan jati diri Malaysia, tetapi lebih bersifat
propaganda dari pihak pemerintah bagi mengukuhkan kedudukan dan sokongan
rakyat. Ianya merupakan satu lagi projek yang menghabiskan wang rakyat dan
merupakan kesinambungan dari PLKN yang kelak bukan saja golongan pemuda,
tetapi juga golongan tua akan dikerah dan diwajib hadir kursus di kem
doktrinasi dalam usaha mengubah semua minda rakyat bagi menyokong parti
pemerintah.
*Permukaan Buruk*
Sambutan Merdeka yang berlaku dan bersifat perayaan dan hiburan sebenarnya
usaha mempamirkan kebaikan dan kejayaan kerajaan disamping menghibur
masyarakat dan melalaikan mereka dari menyedari bahawa ada `the ugly side
of
Merdeka`. Rakyat tidak diberitahu dalam Negara Malaysia Merdeka ini akibat
dari hiburan-hiburan nafsu yang berleluasa menyebabkan berlakunya
kebejatan
moral di kalangan anak-anak sekolah dan muda mudi, wujudnya
kumpulan-kumpulan anak muda yang merempit dan samseng, penggunaan najis
dadah. Bertambahnya jenayah membunuh, merompak, merogol, peras ugut,
meragut
dan menipu. Keselamatan tidak lagi terjamin dan rakyat hidup di dalam
ketakutan. Kepercayaan terhadap Polis yang sepatutnya menjaga keselamatan
makin menurun. Di samping masalah moral meningkatnya rasuah yang
menjadi-jadi, perjalanan undang-undang dipersoalkan, tiada telusnya
perjalanan demokrasi. Penggunaan akta ISA. OSA, AUKU diterus dan
dipersoalkan..
Dari segi ekonomi meskipun Petronas mendapat keuntungan sehingga RM 76
bilion dan TNB 3 bilion berlaku juga kenaikan tol, petrol, cukai taksiran,
tariff air dan letrik hingga harga barang-barang dan perkhidmatan
meningkat
dan berlaku inflasi, Rakyat tertekan dengan kenaikan kos hidup, walaupun
berlaku kenaaikan gaji. Rakyat menderita. Sesungguhnya 53% kekayaan Negara
ini dikuasai golongan atasan yang merupakan 20% dari penduduk, manakala
13%
kekayaan dikuasai oleh rakyat bawahan yang mereka merupakan 40% dari
penduduk. Malaysia kini jauh ketinggalan dari Singapura yang perkapita
tahunan RM106,000, Korea Selatan RM66,000, Taiwan RM52, 000 dan Malaysia
hanya RM21,000. Dengan kedudukan sedemikian jelas memperlihatkan apakah
kita
makin merdeka atau sebaliknya.
*20 Tahun Harakah Sebagai Contoh*
Dari satu pihak sambutan 20 tahun Harakah yang bertemakan `20 Tahun
Memerdekakan Rakyat` bukan perayaan, tetapi manifestasi tekanan terhadap
kebebasan bersuara dan bermedia. Harakah pertama diterbitkan pada 17
Ramadhan 1372H.(1952) dengan gambar Haji Ahmad Fuad pada halaman hadapan
bersaiz A4 dengan diikuti beberapa pengeluaran tak berkala. Semasa
keluaran
tak berkala ini pada tahun 1985 keluaran Harakah dirampas Polis kerana
ketiadaan KDN (permit), lalu ditukar kepada bentuk majalah dan berterusan
hingga sebanyak 13 keluaran. Harakah memohon permit dan mendapat kelulusan
Mac 1987 seminggu sebelum Muktamar PAS ke 33 pada 27 Mac 1987. Perjalanan
Harakah tidak tenang, setelah menerbitkan Harakah dua kali seminggu pada
1990 diarah pihak KDN pada tahun 2000 Harakah hendaklah dijual di markas
dan
pejabat PAS.
Selepas 2000 KDN yang selalu merubah-rubahkan arahan mengarah Harakah di
terbitkan 2 kali sebulan berbanding 2 kali seminggu sebelumnya. Ini
ditakuti
pengaruhnya oleh kerajaan, kerana Harakah menjadi akhbar alternative,
khususnya selepas pemecatan Datuk Seri Anwar dari Timbalan Perdana Menteri
hingga jualan Harakah melonjak dari 60,000 setiap keluaran kepada 350,000
di
era reformasi 1998. Begitulah tiada kebebasan dan sekatan yang dilakukan
terhadap Harakah. Hasrat PAS mau menjadikannya sebagai akhbar harian dan
harapan ini nampaknya setakat ini tidak menjadi kenyataan. Sekatan ini
mencerminkan bahawa demokrasi di Negara ini tidak lengkap dan menggugat
kemerdekaan sebenarnya.
*30 Tahun Bandar Baru Bangi (BBB)*
Sambutan 30 tahun BBB (1977-2007) juga dapat dijadikan contoh di dalam
menilai taraf merdekanya Negara. BBB adalah Bandar kembar bersama UKM yang
juga dihuni pada 1977. Sebagai kembar hubungan antara keduanya seharusnya
begitu rapat sepatutnya sama-sama menyambut 30 tahun BBB yang sedang
disambut sekarang. BBB adalah pemangkin bagi kemajuan UKM. Tenaga akademik
dan pekerja-pekerja awam kebanyakannya adalah mereka yang tinggal di BBB.
Sememangnya mereka yang memajukan UKM. Adalah diharapkan UKM memberi
perhatian pada BBB seperti mempromosikan BBB sebagai Bandar Ilmu,
sama-sama
memberi fikiran bagi menjadikan BBB sebagai Bandar Selamat dan sejahtera.
Apa yang menyedihkan kembar yang asalnya rapat dan erat, tetapi semakin
renggang dan terpisah. Warga kampus terpisah dan terpenjara dengan
akta-akta. Tenaga akademik tidak bebas bercakap (kecuali dikenal pasti
menyokong kerajaan), tidak bebas menulis diakhbar dan bimbang untuk
berinteraksi dengan masyarakat luar dan memberi pendapat. Harapan BBB
untuk
menjadi Bandar Ilmu dengan bantuan, kegiatan dan pandangan dari tenaga
akademik tidak tercapai.
Masyarakat luar, khususnya dari BBB menghadapi sekatan untuk ke kampus.
Yang
bebas keluar masuk kampus dan bebas menggunakan kemudahan di UKM ialah
orang-orang politik UMNO-BN. Mereka boleh bersidang dan mesyuarat agung di
universiti dengan menggunakan kemudahan universiti. Setiusaha Parlimen
bagi
Kementerian Pengajian Tinggi boleh mengarah timbalan-timbalan naib
canselor
membantu pilihanraya dipihak kerajaan..Mahasiswa lebih menghadapi tekanan
dan diikat dengan akta AUKU. Mereka tidak bebas bercakap. Aktivis-aktivis
mereka diintip dan dikenakan tindakan jika sabit kesalahan.
Pilihan raya kampus mereka tidak telus dan dimanipulasi oleh pihak
pentadbiran dan kementerian. Pihak kementerian mengarah timbalan-timbalan
naib canselor dan pentadbiran memastikan golongan yang memihak kerajaan
mesti menang. Pelajar-pelajar yang cenderung dengan kegiatan Islam
ditekan.
Jika ada pilihanraya pada peringkat DUN dan Parlimen pelajar-pelajar
dipastikan tidak pergi dan menyokong pihak pembangkang, tetapi
dialu-alukan
untuk bekerja menyokong pihak kerajaan. Demikianlah tidak telus dan
terpenjaranya kehidupan para akademik dan pelajar. Mereka sebenarnya
terasing dan diasing. UKM dan BBB sungguhpun berdepan mata, tetapi jauh
dari
hati dan minda. Dimanakah kebebasan akademik dan pelajar. Sesungguhnya
kualiti universiti dan pelajar kita makin menurun diakibatkan polisi dan
politik pemerintah sendiri..
*Kesimpulan*
50 tahun merdeka mencabar minda. Dengan sorok sorai dan perayaan makin
merdekakah kita sebenarnya ? Jujurkah kita dengan paparan sejarah
perjuangan
kemerdekaan ? Apakah matlamat sambutan ? Kita harap mulai tahun depan
pendekatan dan pengisian diperbaiki, jika masih berpihak mungkin tidak
diberi perhatian dan diboikot, lebih-lebih lagi tahun depan anti klimeks
sambutan. Mulakan dengan merdekakan minda dan fikirkan, mengambil
pendekatan
yang adil, berilmu dan berhemah, walaupun kecil, tetapi berfaedah.
Bangi,
11 Sya`ban 1428
24 Ogos 2007.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment