Wednesday, August 29, 2007

*KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Hrkh)* - Pendirian Naib Canselor Universiti Malaya
(UM), Dato' Dr Rafiah Salim bahawa melahirkan kepimpinan bukanlah bermula
di
kampus disangkal oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.

Menurut Kamarudin, kenyataan Rafiah itu kurang tepat kerana kebanyakan
kepimpinan negara yang ada hari ini adalah lahir dari suasana kampus yang
benar-benar terbuka dan bebas satu masa dahulu.

Meskipun melahirkan kepimpinan tidak semestinya dari kalangan mereka yang
berdemonstrasi dan berpidato tetapi suasana penyuburan demokrasi di kampus
adalah faktor penting menuju ke arah pembinaan insan bernama pemimpin,
katanya.

Beliau berkata demikian semalam ketika mengulas pandangan Dr Rafiah
berhubung isu kebebasan kampus setelah NC UM itu dalam satu wawancara
dengan
sebuah akhbar berbahasa Inggeris berpendirian melahirkan pemimpin bukanlah
bermula di kampus sahaja.

Rafiah dilaporkan sebagai berkata, ada kepimpinan hari ini adalah di
kalangan mereka yang bukan warga kampus.

Sambil tidak menafikan bahawa ada kempimpinan yang bukan lahir di kampus
tetapi beliau meletakkan bahawa ramai di kalangan kepimpinan negara hari
ini
termasuk Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah mereka
yang pernah mengalami proses kepemimpinan di kampus.

Untuk menyatakan bahawa keterbukaan kampus bukan faktor kepada penyuburan
demokrasi yang melahirkan kepimpinan ianya adalah salah, katanya.

Jika dahulu ruang demokrasi di kampus dibuka seluasnya kepada mahasiswa
dan
ahli akademik untuk berforum, berpidato dan mengkritik kerajaan
semata-mata
untuk melihat proses melahirkan kepimpinan terus berjalan, katanya.

Malangnya kini demokrasi kampus ditutup oleh pentadbirnya dengan campur
tangan oleh parti kerajaan yang memerintah sekaligus melahirkan mahasiswa
yang tidak berpengetahuan luas termasuk soal politik, ekonomi dan keadaan
semasa, katanya.

Justeru itu sebagai Naib Canselor yang baik, Dr Rafiah perlu mengamalkan
urus tadbir universiti dengan baik seperti mana saranan Raja Muda Perak,
Raja Dr Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah dalam satu program
di
UM baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Raja Dr Nazrin bertitah, semua pihak perlu menetapkan
minda
dan pandangan mengenai tadbir urus baik sekiranya mahu sistem itu
direalisasikan di Malaysia.

Baginda bertitah, dengan pemahaman umum bahawa tadbir urus baik merupakan
proses yang cekap, berkesan dan beretika, maka proses perubahan ke arah
sistem itu yang telah pun bermula boleh dipercepatkan.

Untuk berbuat demikian, titah baginda, ketelusan dan keterbukaan perlu
wujud
dengan menggalakkan aliran maklumat yang bebas serta mudah diperolehi agar
masyarakat boleh membuat keputusan yang bijak dan mengurangkan kejadian
salah guna kuasa.

Oleh itu, titah baginda lagi, negara ini perlu terus bergerak ke arah
sistem
tadbir urus yang semakin terbuka.

Menurutnya, pembasmian kerenah dan prosedur birokrasi boleh membantu
mengurangkan kos ekonomi yang tinggi dan menghalang sebarang peluang bagi
bayaran haram.

"Bilangan perundangan, permit dan lesen mesti dikurangkan. Proses tender
perlu dijadikan lebih berdaya saing dan telus. Pembekal maklumat perlu
dilindungi daripada tindak balas mereka yang diadu.

"Langkah-langkah ini boleh membantu mengurangkan peluang bagi rasuah,"
titah
baginda ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa
'Cabaran-Cabaran Pendemokrasian dan Tadbir Urus Baik dalam Sektor Awam
Malaysia' di Universiti Malaya 13 Ogos lalu.

Persidangan dua hari anjuran Universiti Malaya (UM) dan Institut
Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (Inpuma) itu turut dihadiri Naib
Canselor UM, Rafiah Salim dan Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri
Arshad
Ayub.

Raja Nazrin Shah bertitah, tadbir urus baik turut memerlukan sifat
bertanggungjawab oleh mereka yang memegang kuasa.

Titahnya, walaupun pegawai awam perlu diberikan kuasa yang secukupnya
untuk
menyalurkan tadbir urus yang baik, namun perlu ada halangan yang berkesan
ke
atas kuasa itu agar kepentingan awam dipenuhi, bukan 'kepentingan khas'.

"Kepentingan kebebasan kehakiman dan pengasingan kuasa yang rasmi antara
cabang kerajaan yang berlainan tidak boleh diketepikan," titahnya.

Baginda bertitah, tadbir urus baik turut melibatkan penyertaan awam yang
aktif dan berleluasa kerana masyarakat kini semakin berpendidikan, canggih
dan lengkap.

Titah Raja Nazrin Shah, masyarakat kini mengalu-alukan dan menghargai
kerajaan yang mudah didekati serta boleh dirunding, kerajaan yang memberi
petunjuk dan bukannya mengarah.

"Oleh itu, adalah logik bagi gesaan ke arah tadbir urus baik diiringi
gesaan
bagi pendemokrasian yang lebih hebat kerana mereka berhubung kait walaupun
berbeza dari segi konsep," titahnya.

Demokrasi, titah baginda, memberikan saluran kepada pelbagai pihak memberi
suara mengenai cara mereka mahu ditadbir, iaitu kerajaan dengan keizinan.

"Proses pendemokrasian juga perlu mengiktiraf peranan penting yang
dimainkan
oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Penyertaan mereka perlu digalakkan ke tahap mereka membantu institusi
kuasa
untuk berfungsi dengan lebih baik," titah Raja Nazrin Shah. - mks.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: