Saturday, July 28, 2007

SB: "Anwar pun tak percaya masa depan reformasi"

SB: "Anwar pun tak percaya masa depan reformasi"

Saari Sungib | abuurwah@gmail.com
Tue | Feb 13, 07

Dalam siri ini, saya akan terus membuktikan bahawa teknik yang digunakan
oleh SB semasa soal-siasat ISA adalah sama dengan teknik yang digunakan
oleh CIA di Guantanamo Bay. Lagi teknik-teknik yang digunakan:


"Pride and ego up"
Teknik ini dilakukan dengan membelai-belai ego tahanan. Pegawai-pegawai
Penyiasat (IO-IO) menggunakan teknik puji, angkat, ampu, lambung dan
bodek! Walaupun tahanan tahu bahawa IO hanyalah berpura-pura, tetapi
apabila teknik ini dilakukan berulang kali secara berterusan, tahanan
boleh jadi keliru untuk mempercayainya.


Perkara-perkara yang dibodek merangkumi latar belakang keluarga yang
berjaya, tugas sebagai bapa dan suami yang cemerlang, seorang yang
memiliki kerjaya yang gemilang dan juga termasuk pemimpin NGO yang
berjaya menggerakkan NGOnya secara profesional!


Kata IO: "Poohh.. kalau tak ada you jadi Presiden, JIM tak jadi
profesional macam nih"!


Ego saya sendiri cuba dibelai oleh IO-IO dengan berkali-kali mengatakan
bahawa: "Reformasi ada tiga fasa!.. Fasa pertama ..Fasa Tian Chua... fasa
ini tidak begitu berjaya!.. Fasa kedua..Fasa Ezam... fasa ini ada sedikit
berjaya.. Fasa ketiga..Fasa Saari Sungib.. inilah fasa yang paling
berjaya.. Itu sebab Anwar Ibrahim sayang pada Saari Sungib.. Fasa inilah
fasa yang paling berjaya dalam Reformasi"!


Berkali-kali dengar diulang-ulang kata-kata ini terangkat juga dan kembang
punggung tak boleh duduk! Tapi, anggaplah ianya satu manipulasi
semata-mata.


Teknik ini juga melambung saya dengan kata-kata: "Anwar Ibrahim lantik
empat orang jeneral anjur demonstrasi jalanan.. Ezam, Tian Chua, Malek
Hussin dan Saari Sungib....jeneral yang paling berjaya adalah Saari
Sungib"!


Ada pula seorang tahanan yang ditemui sendiri sebanyak tiga kali oleh
Pengarah SB untuk tujuan membelai egonya. Pendekatan Dato' Pengarah SB
itu amat friendly dan begitu memujuk.


Antara lain katanya: "The problem with you…. Kalau ada seratus orang
depan you, you bercakap dengan mereka..semua akan convince.. Kalau ada
seribu orang depan you, you bercakap dengan mereka.. semua seribu orang
tu akan convince".


Kata-kata seperti ini, apatah lagi diucapkan oleh seorang Dato' Pengarah
SB, pasti akan berjaya membelai dan mengurut ego seseorang tahanan!


Tujuan teknik ini adalah untuk menjadikan tahanan merasakan ia seorang
yang amat penting. Bahkan cara pelaksanaan teknik ini menjadikan tahanan
yakin bahawa dirinya amat penting kerana telah diberi pengiktirafan oleh
boss SB, orang yang paling penting dalam memantau keselamatan negara!


Bila ego tahanan telah digosok dan diurut ke tahap itu, maka tahanan mula
yakin dan percaya bahawa beliau adalah benar-benar penting, selepas itu
barulah jarum-jarum harus untuk menjadikan ia menyesal di atas
'keterlanjurannya' akan terus diasak oleh IO-IO lain.


Awas! Jangan jadi mangsa kepada ledakan dan luapan ego anda sendiri. Ingat
ego anda sedang digodam oleh IO bagi tujuan memenuhi kepentingan Umno-BN.
Ianya bukan bertujuan untuk meningkatkan self-esteem anda ke arah suatu
yang positif. Jangan sekali-kali terperangkap dengan teknik ini.


"Pride and ego down"
Teknik ini biasanya dilakukan dengan cara sindiran dan kata-kata yang
berlapik. Tiada tengkingan atau suara tinggi digunakan untuk tujuan ini.


IO akan menjalankan teknik ini secara halus melalui cerita-cerita secara
bersahaja. IO juga menggunakan teknik membanding-bandingkan dirinya
sendiri dengan tahanan. IO akan mengaku bahawa SB bekerja ikhlas sebagai
unsung heroes dan tidak mencari nama atau pujian. Setelah itu, IO akan
masuk jarum mengatakan tahanan hanya berjuang untuk dapat nama, disanjung
dan mendapat jawatan atau pengaruh.


Dengan teknik ini juga IO pergi jauh untuk menyakitkan hati tahanan.
Katanya, sebenarnya tahanan susah nak cari makan kalau tidak terlibat
dalam apa yang dilakukannya sehingga ia ditahan ISA.


Kata-kata IO seperti: "You pun tahu... kalau tak ada Reformasi you susah
nak hidup! Jadi bila ada Reformasi, you menonjol sebagai hero, ahli-ahli
you pun sokong you. Dewa-dewakan you.. mereka sanggup berkorban untuk
you.. mereka sanggup keluar duit untuk you.. mereka bayar semua
perbelanjaan you"!


Jarum dimasukkan lagi oleh IO dengan kata-kata: "Tengok Mat Sabu tu..
mana-mana jadi hero.. hidup atas duit penyokong yang taksub. Nak jemput
dia ceramah..kurang-kurang sekali ceramah kena bayar dia empat ratus lima
puluh..itu tak masuk duit minyak..tol..dan bayar hotel"!


Sakit hati memang sakit hati mendengar ucapan-ucapan seperti itu. Walaupun
tahanan yakin bahawa ucapan itu adalah dusta, namun jika tahanan tidak
berwaspada hatinya akan turut terluka dengan kata-kata IO itu.


IO boleh pergi jauh cuba merendahkan ego tahanan dengan berkata berulang
kali: "Sekarang saja Anwar Ibrahin nakkan you.. nanti bila dia dah naik
nanti.. paling tinggi dia boleh bagi you jawatan adalah penolong
setiausaha kerja… menteri jauh sekali…. timbalan menteri pun tak
merasalah".


IO menggunakan teknik merendahkan ego tahanan seolah-olah perjuangannya
hanyalah semata-mata untuk duit dan untuk mendapatkan jawatan.


Itulah tujuannya, iaitu untuk melukakan ego tahanan. Itu saja!


Jadi, ingatlah! Tidak perlu layan perasaan anda atau cuba memujuk diri
anda apabila dilontarkan ucapan-ucapan seperti itu oleh IO-IO durjana
itu.


Saya sendiri bila ditanya beberapa kali oleh IO dalam konteks teknik ini,
jawatan apa saya akan dapat jika BA memerintah? saya jawab selamba: "Saya
nak jadi Ketua Polis Negara…IGP… saya nak buat Reformasi dalam PDRM"!


"Futility"
Teknik ini digunakan bagi merendah-rendahkan apa yang diperjuangkan oleh
tahanan. IO akan mengatakan bahawa apa yang diperjuangkan oleh tahanan
adalah sia-sia. Tahanan dituduh sebagai telah diperdayakan untuk
mempercayai bahawa perjuangannya adalah mulia sedangkan semua itu adalah
sia-sia sahaja.


Kata ketua IO: "You tahu… apa kata Anwar Ibrahim tentang Reformasi?...
Anwar beritahu kami bahawa …'Reformasi is in their state of mind'… Anwar
pun tak percaya tentang Reformasi.. tapi Anwar mahu you semua percaya
yang dia tu berjuang benar-benar untuk Reformasi.. you gila-gila sokong
dia..padahal bila dia selesai masalah dengan Mahathir… dia akan balik
semula ke Umno"!


Kata ketua IO lagi:"You tahu Saari.. you ni jujur…you berkorban semuanya
untuk Anwar…you berjuang… ibarat macam you tanam pokok..pokok tu mula
beri hasil…ada buah.. semua orang ambik buah tu.. Wan Azizah ambik..
Azmin ambik… Ezam ambik….Tapi bila Anwar dah naik nanti… semuanya.. Wan
Azizah.. Azmin..Ezam.. dapat tempat.. You habuk pun tak dapat..ibarat you
tanam pokok.. hasilnya orang lain ambik.. Paling sedih tu... pokok tu pun
mereka tak mengaku you yang tanam"!


Dengan teknik ini ketua IO akan mengulang-ulang berkata:


"Paling sedih tu... pokok tu pun mereka tak mengaku you yang tanam"!
"Paling sedih tu... pokok tu pun mereka tak mengaku you yang tanam"!
"Paling sedih tu... pokok tu pun mereka tak mengaku you yang tanam"!


Melaga-lagakan antara tahanan dengan rakan-rakan lain dalam perjuangan
adalah salah satu cara yang digunakan dalam teknik ini. IO akan
mengatakan bahawa hanya di peringkat awal sahaja tahanan akan diberi
tempat dalam arena perjuangan, selepas semua orang mencapai
kepentingannya masing-masing, tahanan akan dibiarkan terkontang-kanteng!


Paling brutal dala pula pembantu IO mengatakan: "Apalah you Saari...
belajar je tinggi.. kelulusan tinggi.. tetapi ikut perjuangan taik
kucing"!


Jika ini berlaku, tetaplah anda beristiqamah dengan keyakinan perjuangan
anda. Usah peduli dengan kata-kata mereka. Itu hanyalah satu lagi teknik
bagi mematahkan semangat anda!


Tujuan dan matlamat IO-IO adalah untuk menjadikan anda kecewa dan patah
semangat. Jika anda layan perasaan anda bermakna anda telah menjayakan
tujuan dan matlamat mereka!


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: