Saturday, July 28, 2007

Perubahan sokongan kaum Cina, gugat BN dalam pilihan raya umum

Perubahan sokongan kaum Cina, gugat BN dalam pilihan raya umum

Fri | Feb 16, 07 |

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Hrkh) - Barisan Nasional (BN) dijangka menghadapi
cabaran besar apabila kecenderungan kaum bukan Melayu khususnya Cina
jelas semakin cenderung menyokong pembangkang kata penganalisis
politik, James Wong Wing On.


Beliau berkata, parti pembangkang yang dijangka mendapat sokongan besar
di kalangan orang Cina adalah DAP dan parti Keadilan Rakyat.


Kecenderungan ini juga berpunca daripada sikap 'biadap' pemimpinan Umno
semasa perhimpuann agung mereka yang menghunuskan keris, kononnya mahu
mempertahankan ketuanan Melayu sebaliknya menghiris perasaan kaum lain.


James Wong yang dihubungi Harakahdaily berkata, keadaan ekonomi yang
tidak stabil juga salah satu sebab orang Cina beralih menyokong
pembangkang.


Katanya, bagi orang Cina mereka sangat menitikberatkan soal ekonomi
memandangkan mereka menetap di bandar dan menjalankan aktiviti perniagaan
serta makan gaji.


"Majoriti orang Cina tinggal di bandar dan ini tidak sama dengan orang
Melayu yang ada tanah di kampung, kalau tidak ada perniagaan di bandar
mereka boleh balik kampung," katanya.


Beliau juga berkata, orang Cina mahukan pembangkang yang kuat dari segi
terutama 'check and balance' serta boleh membongkarkan segala
skandal-skandal yang berlaku.


James Wong juga berpendapat, pengundi Cina akan terdorong dengan dua
parti pembangkang yang dominan di negara ini sama ada DAP ataupun
Keadilan.


Ditanya apakah PAS bukan pilihan kaum Cina, James berkata, PAS secara
tradisinya tidak bertanding di kawasan majoritinya kaum Cina malahan PAS
banyak memberi laluan kepada DAP ataupun Keadilan kerana lebih menumpukan
kawasan majoriti Melayu.


Bagaimanapun, katanya kaum Cina juga tidak mustahil akan menyokong
Keadilan yang kini memiliki ahli yang pelbagai bangsa.


"Kalau PAS mungkin tidak, sebab aktiviti yang dibuat dalam parti itu
terhad kepada majoritinya orang Melayu, kalau ada kaum Cina pun lebih
kurang lima peratus sahaja," jelas beliau.


Beliau juga berterus-terang menjelaskan tidak ramai pengundi Cina yang
menyokong PAS tetapi mereka boleh terima PAS menjadi pembangkang yang
kuat tetapi belum ke tahap menjadi sebuah kerajaan yang memerintah.


"Jika PAS meminta undi dari kaum Cina untuk menjadikannya sebuah parti
pembangkang yang kuat, saya rasa tidak menjadi masalah kepada orang
Cina," jelasnya.


Baru-baru ini Malaysiakini.com melaporkan, dua dari setiap tiga orang
pemilih kaum Cina dijangka mengundi parti pembangkang dalam pilihanraya
umum akan datang, menurut hasil tinjauan pendapat yang dijalankan oleh
firma penyelidikan, Merdeka Centre.


Enam puluh peratus responden kaum Cina yang menyertai tinjauan tersebut –
yang dijalankan antara bukan Oktober dan Disember tahun lalu – berkata
sudah tiba masanya untuk mengundi pembangkang supaya suara mereka
didengar.


Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, beberapa tinjauan lagi
perlu dilakukan bagi mengesahkan sama ada pengundi Cina benar-benar akan
menyokong pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang.


Bagaimanapun, katanya, pada masa ini, nampaknya besar kemungkinan mereka
akan demikian sebagai tanda protes mereka dalam pilihanraya akan datang.


Beliau bagaimanapun berpandangan, parti-parti politik kaum Cina dalam BN
mampu menangani sentimen negatif ini sebelum pilihanraya umum akan datang
diadakan.


"Banyak langkah yang boleh diambil untuk menangani keadaan ini, seperti
dalam sektor pendidikan. Harga minyak dunia yang rendah mungkin mendorong
kerajaan untuk menurunkan harga minyak – satu langkah yang boleh memberi
kesan besar terhadap para pengundi," katanya. - mr

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: