Saturday, July 28, 2007

Jangan halang pembinaan Masjid Cina

Jangan halang pembinaan Masjid Cina

Ustaz Haji Ahmad Awang
Fri | Feb 09, 07


Penolakan Dato' Ali Rustam terhadap permintaan golongan Cina Muslim untuk
membina sebuah masjid Cina di Melaka menunjukkan betapa Ketua Menteri
Melaka mempunyai sikap bias terhadap komuniti berkenaan.


Kenyataan beliau dengan merujuk pembinaan masjid Cina itu dengan sentimen
perkauman adalah amat tidak wajar sekali. Beliau perlu menghormati dan
memenuhi permintaan komuniti Cina Muslim untuk membina sebuah masjid yang
mempunyai seni bina Cina yang bukan sahaja akan digunakan untuk tujuan
ibadat tetapi juga untuk berdakwah kepada masyarakat non muslim.


Bukankah pembinaan masjid Cina satu perkara yang baik dan dituntut oleh
ajaran Islam. Jadi, tidak ada sebab beliau menghalang apatah lagi menolak
permohonan mana-mana pihak untuk membina masjid.


Kalau beliau boleh meluluskan pembangunan pembangunan perkampungan artis,
kenapa beliau tidak boleh berbuat demikian terhadap usaha untuk mendirikan
masjid Cina. Ali Rustam mempunyai prasangka yang buruk terhadap pembinaan
masjid Cina dan hujah-hujah yang digunakan untuk menolak hasrat itu
adalah amatlah dangkal sekali.


Beliau tidak sewajarnya membandingkan masjid-masjid yang sedia ada di
Melaka dengan masjid Cina yang dicadangkan itu. Walaupun sudah wujud
masjid yang mempunyai ciri-ciri seni bina Cina tetapi ia tidak seharusnya
dijadikan sebagai alasan untuk membina masjid yang baru. Pertambahan
jumlah penduduk dan pembukaan kawasan penempatan serta bandar yang baru
menuntut lebih banyak rumah ibadat dibina sama ada yang berbentuk masjid
atau pun surau.


Walaupun golongan Cina Muslim masih merupakan kelompok minoriti dalam
masyarakat Islam tetapi kehadiran mereka perlu diberikan pengiktirafan.
Malahan kesediaan mereka untuk menerima Islam harus dihargai dengan
mendirikan masjid yang mempunyai seni bina Cina.


Tambahan pula, pembinaan masjid Cina tidak bertentangan dengan ajaran
Islam. Kita boleh ambil contoh pembinaan masjid-masjid di China yang
masih mengekalkan sebahagian besar ciri-ciri dan identiti masyarakat Cina
di sana. Hal ini tidak menjadi satu masalah yang besar selagi mana ia
dibenarkan oleh ajaran Islam. Sikap yang ditunjukkan oleh Ali Rustam
adalah cerminan kepada mentaliti dan dasar para pemimpin UMNO/BN yang
dalam banyak tindakan telah melakukan perkara yang membantutkan
perkembangan Islam di negara ini.


Parti PAS lebih rasional dalam hal ini di mana kerajaan Kelantan pimpinan
Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat telah mengambil langkah ke hadapan
memberikan sokongan kepada pembinaan sebuah masjid yang membina seni bina
Cina di Rantau Panjang. Masjid itu yang dikenali sebagai Masjid Jubli
Perak Sultan Ismail Petra telah dibina di atas tapak seluas 3.7 ekar.


Dengan pembinaan masjid itu, ia diharapkan dapat menjadi mercu tanda
kepada komuniti Cina Muslim dan umat Islam untuk mengembangkan lagi syiar
Islam di dalam masyarakat kita yang berbilang kaum.


Hal ini membuktikan bahawa PAS lebih peka terhadap permintaan dan
kehendak masyarakat Islam termasuk komuniti Cina Muslim daripada para
pemimpin UMNO yang bersikap pekak badak serta bodoh sombong terhadap
hasrat orang Islam sendiri.


Ketua Penerangan PAS Pusat


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: