Saturday, July 28, 2007

Johan Jaaffar meniti hari-hari akhir di DBP

Johan Jaaffar meniti hari-hari akhir di DBP

Mohd Tariq Halabab
Thu | Feb 15, 07

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan sebelum Tunku Abdul Rahman
Putra Al-Haj melaungkan kata keramat kemerdekaan iaitu sekitar tahun 1956
hasil daripada resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-2, pada
tahun 1954 di Johor Bahru, tercatat Bahtera Ilmu sebagai institusi yang
diamanahkan menjaga Bahasa, Sastera dan Penerbitan berbahasa Melayu,
secara tiba-tiba berubah menjadi Institusi Pengurusan dan Pentadbiran
pada tahun 2006/2007 hasil permainan Dato' Johan Jaaffar (JJ).


Peranan merubah wajah DBP tersebut, dilakukan secara tergesa-gesa,
tersembunyi dan licik oleh si Kitul, Raja Mandalia dan Ratu Sihir yang
bermaustautin di DBP.


Harus diingat penjelmaan DBP ke alam Melayu ini dengan suatu tujuan murni
iaitu memperjuang serta memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu, sekali
gus sebagai pemegang amanat dan benteng terakhir umat atau bangsa Melayu:
mempertahankan teras bangsa iaitu bahasa dan persuratan Melayu sehingga
kini.


Walaupun demikian, dari segi anjakan makna tersurat dan tersirat,
ternyata kehadiran semula si Kitul alias Brutus dengan nasihat Ratu
Sihir, DBP perlahan-lahan layarnya koyak, tiang serinya patah dan
kemudinya tercampak ke laut lepas.


Semua ini berlaku kerana sikap Pengerusi Lembaga Pengelolanya (PLP)
sendiri yang licik bermain politik dan mendapat nasihat daripada Ratu
Sihir yang juga ada kepentingannya tersendiri.


Oleh sebab itulah, apabila Ketua Pengarah DBP (KPDBP) menjejak kakinya ke
DBP, Ratu Sihir itu terus kekal di tempat asalnya, walaupun tempat
tersebut sebenarnya sudah diputuskan menjadi milik pegawai lain. Tujuan
tersirat Ratus Sihir tersebut, bagi mengekalkan status quonya di situ
ialah untuk melakukan percaturan manusia dan bujet DBP serta sekali gus
dapat mempengaruhi PLP, KPDBP dan Kementerian Pelajaran Malaysia.


Maka tidak hairanlah, jika KPDBP telah membawanya ke Books Fair Festival
di Frankfurd, Jerman dan Mesyuarat Jawatankuasa Sastera (MASTERA) di
Jakarta, yang kedua-dua tempat tersebut tidak ada kena mengena dengan
tugas hakiki Ratu Sihir tersebut.


Perubahan yang berlaku di DBP secara drastik pada tahun 2005 hingga kini
bukan menaikkan imej, bukan menambah wibawa, bukan memperindahkan dan
bukan juga memperkukuhkan kedudukan DBP sebagai BI, malah menimbulkan
haru-biru dan menyebabkan situasi warga DBP semakin hari semakin
kucar-kacir, resah-gelisah dan tidak menentu.


Namun, yang amat mendukacitakan warga DBP, kerana DBP yang dulu sangat
gagah, berwibawa dan dikagumi oleh manusia di Kepulauan Melayu, Asia
Tenggara dan antara bangsa telah menjadi pondan semenjak tahun 2005
hingga kini kerana ketidakcekapan KP eksekutifnya, malah sangat
bergantung kepada nasihat Ratu Sihir yang hanya pandai mengampu dan
mengugup secara halus. Sedangkan Ratu Sihir tersebut secara nyata dan
jelas tidak mampu untuk memikirkan sesuatu perancangan yang besar dalam
menaikkan imej DBP.


Tragedi hitam di DBP kini semakin menjadi hitam apabila DBP mengiklankan
jawatan kosong untuk tiga jawatan penting di DBP iaitu Timbalan Ketua
Pengarah (Jusa C), Pengarah Jabatan Sastera (Jusa C) dan Pengarah
Penerbitan (Jusa C) melalui akhbar Mingguan Malaysia pada 10 September
2006 dan ditutup pada 2 Oktober 2006, dengan syarat-syarat yang cukup
jelas iaitu untuk jawatan Timbalan Ketua Pengarah (TKPDBP) harus
mempunyai 15 tahun pengalaman dalam bidang pengurusan dan perancangan
yang merangkumi semua fungsi utama DBP iaitu pentadbiran serta fungsi
teras DBP : Bahasa, Sastera dan Penerbitan. Manakala untuk jawatan
Pengarah Jabatan Sastera (PJSDBP) iaitu 15 tahun pengalaman dalam
pengurusan dan kesusasteraan. Untuk jawatan Pengarah Jabatan Penerbitan
(PJPDBP) pengalaman pengurusan dan penerbitan.


Untuk pengisian kedua-dua jawatan iaitu TKPDBP dan PJSDBP, proses
temuduga telah diadakan pada 17 November 2006 oleh Panel temuduga yang
dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP terdiri daripada Dato' Haji
Ahmad Said (Timbalan Pengarah Perkhimatan Awan-Operasi, JPA), Dato'
Baharuddin Zainal (ahli Lembaga Pengelola DBP) dan Dato' Firdaus Abdullah
(Ketua Pengarah DBP) telah membuat keputusan yang muktamad.


Keputusan temuduga tersebut telah dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa
Lantikan dan Naik Pangkat pada 23 November 2006, dan telah dipersetujui
untuk dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengelola DBP (penuh) pada 27 November
2006. Keputusan temuduga tersebut diperkirakan akan dibentang oleh
Pengerusi Jawatankuasa Lantikan dan Naik Pangkat iaitu Dato' Haji Ahmad
Said.


Tarikh 27 November 2006 merupakan tarikh keramat yang ditunggu-tunggu dan
dianggap penting dalam menentukan hala tuju DBP di masa mendatang,
ternyata berubah menjadi tragedi hitam dan pahit yang mengaibkan apabila
Dato'k Johan Jaaffar (JJ) selaku PLP DBP menangguhkan pembentangan
tersebut, sebaliknya mesyuarat tersebut dimulakan dengan isu Kongres
Bahasa dan Persuratan Melayu (KBPM) ke-VII yang tidak termasuk dalam
agenda mesyuarat.


Dalam mengetengahkan isu KBPM ke-VII itu, JJ dengan sengaja dan niat
tersembunyi mengambil kesempatan dalam kesempitan menghentam KPDBP
habis-habisan, seolah-oleh KPDBP melakukan dosa besar dengan mengizinkan
DBP digunapakai sebagai tempat KBPM ke-VII. Lakonan secara dramatik dan
retorika yang ditampilkan oleh JJ di depan ahli Lembaga Pengelola DBP
tersebut semata-mata bertujuan memojok, meminggir dan discredit terhadap
KPDBP sehingga wibawa KPDBP terjejas teruk di kaca mata ahli Lembaga
Pengelola DBP yang lain.


Permainan JJ tersebut, sudah tidak asing lagi bagi tiang, cermin, dinding
dan batu bata DBP sebab semua kaki tangan yang lama menghuni DBP, kenal
akan gerak lidahnya, sikapnya dan percakapannya. JJ terkenal dengan
kelancaran dan kelancangan lidahnya. Mengkritik, memojok dan menyerang
secara retorika terhadap orang yang tidak disenanginya itulah
keistimewaannya.


Perkara yang sama juga digunakan untuk menunduk dan menakutkan KPDBP. JJ
menyatakan bahawa Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran
Malaysia tidak bersetuju dan sangat marah kepada KPDBP yang membenarkan
DPB mengambil bahagian dalam KBPM ke-VII tersebut, sedangkan dalam surat
Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein jelas dan nyata telah pun mengizinkan
DBP ikut terlibat dalam KBPM ke- VII tersebut bukan menghalangnya. Tetapi
kerana tekanan psikologi yang keterlaluan dilakukan oleh JJ kepada KPDBP
menyebabkan KPDBP gagal menjelaskan kedudukan sebenar mengenai KBPM
ke-VII tersebut kepada semua ahli Lembaga Pengelola DBP. Kerana terlalu
tertekan dan tidak mampu memberi penghujahan dan penjelasan, menyebabkan
JJ tidak segan-silu menyerang seenaknya dan memperbudak- budakkan KPDBP.


Kesan daripada reverse pshcology yang berlaku itu, mengakibatkan KPDBP
merasa bahawa imej, wibawa, kepimpinanan dan integritinya di kaca mata
Menteri Pelajaran Malaysia amat buruk sekali. Impaknya, KPDBP menjadi
amat takut untuk bertemu dengan Menteri Pelajaran Malaysia bagi
menjelaskan kedudukan perkara sebenar mengenai KBPM ke-VII.


Sedangkan sebelum KBPM ke-VII yang sepatutnya berlangsung di Johor Bahru
dan berpindah ke Kuala Lumpur adalah atas cadangan Dato' Seri Hishamuddin
Tun Hussein sendiri. Jadi, tidak ada sebab yang munasabah mengapakah Dato'
Seri Hishamuddin hendak berkecil hati kepada KPDBP. Inilah yang dikatakan
permainan silat lidah JJ dan para juaknya yang berniat jahat untuk
memojok dan menjatuhkan maruah serta imej KPDBP dan bukan ucapan Dato'
Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia.


Dalam hubungan ini, tujuan tersirat JJ dengan agenda liciknya yang
tersembunyi itu ialah untuk menolak keputusan Jawatankuasa Lantikan dan
Naik Pangkat yang juga merupakan pilihan pengurusan DBP. Tujuan
sebenarnya ialah untuk menonjolkan calon TKPDBP pilihannya yang meskipun
ternyata tidak memenuhi persyaratan dalam iklan bertarikah 10 September
2006 demi kepentingan peribadinya.


Perkara ini makin jelas dan nyata apabila Yang Dipertua Kesatuan
Pekerja-Pekerja DBP menyatakan secara terperinci akan permasalahan yang
berlaku dalam perbincangan 'Isu Semasa DBP' bersama wakil MTUC dan para
pekerja DBP pada 29 Januari 2007, jam 2.30 petang, di Balai Budaya, DBP.


Di sini tampak jelas bahawa JJ dalam merealisasikan agenda tersembunyinya
dikemudian hari, beliau mencadangkan pemilihan calon TKPDBP supaya
dibentangkan dalam mesyuarat penuh Lembaga Pengelola DBP pada 8 Disember
2006 (hari Jumaat). Dalam Tempoh penangguhan tersebut, kemungkinan besar
JJ dengan kelicikan retorikanya menggunakan sepenuhnya masa yang ada
untuk melobi ahli-ahli Lembaga Pengelola DBP tertentu supaya mendukung
kehendaknya.


Melalui perbincangan yang panjang antara ahli Lembaga Pengelola DBP pada
8 Disember 2006 (Hari Jumaat) iaitu lebih kurang 3 jam, ternyata
keputusan mutlak untuk pelantikan Timbalan Ketua Pengarah (TKP) DBP gagal
mendapat kata pemutus. Faktor yang menggagalkan keputusan tersebut
berkemungkinan terdapat golongan intelektual sebagai ahli Lembaga
Pengelola DBP, tidak sependapat dengan keinginan Datuk Johan Jaaffar.
Namun, sudah menjadi 'siakap senohon gelama ikan duri, cakap beretorika
lama-lama menjadi pengerusi' - Dengan kuasa pemutus yang ada padanya, JJ
meminta supaya pelantikan TKPDBP ini diadakan pengundian sulit. Sedangkan
seingat penulis sistem pengundian ini tidak pernah berlaku dalam sejarah
kenaikan pangkat apa pun di DBP dan juga tidak wajar dilaksanakan.


Di samping itu, JJ dengan liciknya juga meminta supaya perkara kenaikan
pangkat untuk jawatan TKPDBP ini diserahkan kepada Dato' Seri Hishamuddin
Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia membuat pilihan. Inilah peristiwa
pelik bin aneh yang pertama berlaku dalam sejarah kenaikan pangkat di DBP
semenjak DBP wujud dan berusia 50 tahun. Dahulu terdapat beberapa orang
luar daripada DBP iaitu pensyarah universiti dan pegawai tertinggi dari
Kementerian Pendidikan Malaysia dilantik secara langsung oleh Menteri
Pendidikan Malaysia sebagai TKPDBP bukan melalui proses temuduga oleh
Jawatankuasa Lantikan dan Naik Pangkat DBP.


Tetapi setelah jawatan TKPDBP ini diisi oleh orang dalam DBP sendiri,
semenjak Haji Shaari Abdullah selaku kakitangan DBP sendiri dilantik
sebagai TKPDBP, semenjak itu proses temuduga untuk jawatan TKPDBP
ditentukan oleh Jawatankuasa Temuduga dan Jawatankuasa Lantikan dan Naik
Pangkat DBP sendiri. Kuasa pelantikan setiap jawatan di DBP ditentukan
oleh Jawatankuasa Lantikan dan Naik Pangkat DBP serta disahkan oleh pihak
Lembaga Pengelola DBP, bukan lagi dipilih atau ditentukan oleh Menteri
Pendidikan Malaysia atau Menteri Pelajaran Malaysia.


Dalam isu pelantikan TKPDBP yang baru berlalu, JJ selaku PLP DBP secara
sadar sebenarnya telah menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan kepadanya
dalam menentukan pelantikan TKPDBP tersebut, apabila beliau menggunakan
kedudukannya sebagai PLP DBP telah menggunakan Kepala Surat Rasmi DBP
bertarikah 14 November 2006 yang ditanda tangani oleh beliau sendiri
(surat tersebut mungkin didraf oleh individu di pentadbiran DBP) bukan
ditanda tangani oleh KPDBP yang mempunyai kuasa eksekutif mengutus surat
kepada Menteri Pelajaran Malaysia, dan menyatakan bahawa calon yang
dicadangkannya itu (disebut nama calon tersebut dalam surat berkenaan)
dipilih kerana berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan kewangan
(adakah ini syarat baru pelantikan TKPDBP?) serta dipersetujui oleh
kesemua ahli Lembaga Pengelola DBP (benarkah?) untuk jawatan TKPDBP dan
kemudian suratnya itu diperakui oleh Menteri Pelajaran Malaysia atas
surat yang sama pada 17 November 2006 (hari Ahad).


Dalam hal demikian, tampak jelas akan permainan dan kelicikan JJ apabila
dia memandang sebelah mata fungsi dan kuasa KPDBP eksekutif, menolak dan
menghina keputusan Jawatankuasa Lantikan dan Naik Pangkat dan keputusan
ahli Lembaga Pengelola DBP sendiri (ini dinyatakan dengan jelas oleh Yang
Dipertua Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP dalam forum 'Isu Semasa DBP' pada 29
Januari 2007).


Dalam isu TKPDBP tersebut, ahli Lembaga Pengelola DBP yang bermesyuarat
pada 8 Disember 2006, mencadangkan supaya menghantar dua calon untuk
jawatan TKDBP kepada Menteri Pelajaran Malaysia bukan dihantar hanya satu
calon sahaja. Pengingkaran yang dilakukan oleh JJ tersebut, sebenarnya
kerana ada tujuan-tujuan tersirat dalam dirinya bagi memperolehi
keuntungan dikemudian hari.


Impaknya, dalam perkara pelantikan ini, timbul pelbagai persoalan di
kalangan warga DBP : kenapakah JJ tidak hendak melibatkan diri dalam
Panel temuduga? Kenapakah JJ tidak hendak melantikan dirinya sebagai
Pengerusi Jawatankuasa dan Naik Pangkat? Jika dia tidak mempercayai
kewibawaan Pengerusi dan Jawatankuasa Lantikan dan Naik Pangkat,
kenapakah dia bersetuju melantik ahli Lembaga Pengelola lainnya menjadi
Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Lantikan dan Naik Pangkat? Kenapakah dia
menangguhkan pembentangan pelantikan TKPDBP pada 27 November 2006?
Kenapakah dalam mesyuarat penuh Lembaga Pengelola DBP tersebut isu KBPM
ke-VII yang tidak ada dalam agenda dibentangkan?


Yang lebih pelik bin ajaib lagi, kenapakah kata pemutus tidak dapat
diambil atau diputuskan mengenai pelantikan TKPDBP pada mesyuarat penuh
Lembaga Pengelola DBP pada 8 Disember 2006? Kenapakah perkara pelantikan
TKPDBP tersebut harus dibawa kepengetahuan Dato' Seri Hishamuddin Tun
Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia – apakah muslihatnya? Kenapakah hanya
satu nama calon TKPDBP sahaja dikemukakan oleh JJ dan bukan nama calon
yang lain diikutsertakan?


Kenapakah dalam surat kepada Menteri Pelajaran Malaysia tersebut dikatakan
kelayakan untuk TKP hanya pengalaman dalam pengurusan dan kewangan sahaja
sedangkan syarat yang lebih utama seperti dalam iklan 10 September 2006
iaitu pengalaman dalam semua fungsi teras iaitu Bahasa, Sastera dan
Penerbitan tidak dikemukakan?


Dalam konteks ini, tampak dengan jelas akan niat jahat dan tujuan
tersembunyi JJ mengutus surat tersebut ialah untuk mengelabui mata Dato'
Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia. Dalam konteks
yang lain, kenapakah JJ tidak berunding terlebih dahulu dengan KPDBP
dalam soal calon untuk jawatan TKPDBP yang akan dihantar kepada Menteri
Pelajaran Malaysia? Adakah KPDBP bagi penglihatan JJ sudah tidak penting
lagi?


Sedangkan JJ sendiri mengetahui bahawa dari segi peraturan lazim,
keputusan Jawatankuasa Lantikan dan Naik Pangkat untuk setiap jawatan di
DBP semenjak beliau bertugas di DBP dahulu lagi, hanya perlu disahkan
dalam mesyuarat penuh Lembaga Pengelola DBP, dan tidak perlu dirujuk
kepada Menteri Pelajaran Malaysia.


Di sini menunjukkan bahawa JJ bukan sahaja hendak mengampu Dato' Seri
Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia, malah telah
menyalahgunakan kuasa dan ada tujuan politik yang tersirat disebalik
surat kepada Menteri Pelajaran Malaysia tersebut. Kedua, kenapakah surat
kepada Menteri Pelajaran Malaysia tersebut ditanda tangani oleh JJ bukan
ditanda tangani oleh KPDBP?


Alahai JJ : sepak terajang, silat kuntau, simbol retorika, puji tersilih
dan gerak tari dramatik dan retorika anda, hanya orang kampong yang tidak
mengetahui latar belakang anda dan menonton rangkaian tv 1 'Forum Isu
Semasa' dan membaca kolum anda di akhbar Berita Minggu yang anda
kendalikan serta bersikap berat sebelah itu, tentu akan kagum melihat
retorika anda, tetapi tidak kami warga DBP yang kenal siapa sebenarnya
Johan Jaaffar (kini Dato')?


JJ adalah bekas kaki tangan DBP sendiri yang telah diselamatkan oleh
Datuk Seri Anwar Ibrahim (sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri)
dengan melantik beliau sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu (M) Berhad
setelah gagal menyelesaikan ijazah Sarjana (M.A.) di salah sebuah
universiti di United Kingdom (UK). Sedangkan segala pembiayaan belajar di
UK dibiayai oleh DBP. Untuk mewajarkan beliau bertugas di Utusan Melayu
(M) Berhad, dia telah membayar kembali pembiayaan daripada pihak DBP
tersebut. Selain itu, hasil peninggalan beliau di DBP iaitu di Penerbitan
Am waktu itu banyak yang belum diselesaikannya.


Untuk meneruskan agenda politiknya sesudah sekian lama keluar daripada
Utusan Melayu (M) Berhad, beliau telah berjaya melobi Dato' Seri
Hishamuddin Tun Hussein iaitu melantik dan menyambungkan tugasnnya di DBP
sebagai ahli Lembaga Pengelola dan kemudian menjadi PLP DBP. Meskipun
menurut sumber yang boleh dipercayai bahawa beliau memohon kepada Dato'
Seri Hishamuddin untuk menjadi Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengelola DBP,
tetapi gagal.


Walaupun gagal menjawat PLP Eksekutif di DBP, beliau secara
langsung/haram telah menjalankan kuasa eksekutif di DBP. Dengan
kedudukannya sebagai PLP DBP dan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sastera
DBP, beliau telah melaksanakan beberapa perancangan tertentu dengan
membelakangkan KPDBP seperti mecadangkan (tersiratnya mengarah) Ketua
Bahagian tertentu di DBP melaksanakan pelbagai agenda seperti acara baca
puisi Puteri UMNO Malaysia, Dialog Agenda Melayu anjuran Pemuda UMNO
Malaysia, dialog majalah Dewan Budaya dan majalah Dewan Masyarakat
(kedua-dua dialog ini kemudian dibatalkan oleh KPDBP). Dengan pembatalan
kedua-dua dialog ini menyebabkan timbul pergeseran antaranya dengan
KPDBP. Dengan pergeseran tersebut, munculnya 'dendam' atau
ketidaksenangan JJ terhadap KPDBP.


Ketidaksenangan JJ terhadap KPDBP tidak dapat dilihat daripada mata
kasar, hanya dapat dibaca dan diterjemahkan daripada tindak-tanduknya.
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sastera DBP, dia juga mencampuri urusan
pengurusan dan pentadbiran di Jabatan Sastera. Misalnya menurut sumber
dalaman Jabatan Sastera DBP, dia juga meminta (sebenarnya mengarah)
Pengarah Jabatan Sastera DBP waktu itu supaya mewujudkan Bahagian Sastera
Pelbagai Kaum dan Bahagian Penulis Muda. Sedangkan program yang berkaitan
dengan pelbagai kaum dan penulis muda sudah terlaksana berpuluh tahun
yang lalu dibawah kendalian Bahagian Sastera Kebangsaan. Kenapakah
perlunya diwujudkan kedua-dua Bahagian ini dan apa muslihatnya?


Selain itu, JJ juga campur tangan dalam urusan pentadbiran DBP berkenaan
dengan kedudukan bangunan lama DBP. Bangunan tersebut menurut
sumber-sumber dalaman DBP pada mulanya dicadangkan untuk dijadikan Muzium
Bahasa dan Persuratan Melayu dengan pembiayaan dianggarkan sekitar RM13
juta. Tetapi, beliau mencadangkan supaya dijadikan 'Kota Buku'. Anggaran
perbelanjaan untuk kerja-kerja pengubahsuaian sahaja iaitu sekitar RM10
juta atau RM 15 juta. Untuk merealisasikan perancangan tersembunyinya dia
telah 'mengarahkan' salah seorang pengarah Jabatan tertentu di DBP
menyediakan kertas cadangan projek tersebut.


Laporan dalaman DBP menyatakan bahawa JJ sudah mengadakan mesyuarat dan
mempengerusikan mesyuarat dengan Datuk Mustapha Kamal dari MK Land untuk
melaksanakan projek 'Kota Buku' tersebut. Kenapakah JJ yang berlagak
lebih kuah daripada sudu mengadakan mesyuarat dengan pihak MK Land bukan
KPDBP? Adakah kajian untuk projek 'Kota Buku' yang dijalankan oleh pihak
MK Land itu dilakukan secara percuma sahaja? Jika tidak ada udang
disebalik mie, tidak mungkin sesuatu syarikat sanggup membuat kajian
terperinci sesuatu projek. Kecuali projek tersebut akan diserahkan kepada
syarikatnya melalui runding terus atau tender tertutup.


Selain itu, permainan yang dilakonkan oleh JJ tersebut kerana KPDBP
sangat lemah dan pengecut. Dengan sikap, keperibadian, wibawa dan
perilaku KPDBP yang terus mengalah kepada JJ, yang rugi adalah DBP
sendiri. Alangkah sadisnya apabila KPDBP yang berkelulusan Ph.D dalam
bidang Sains Politik tetapi takut dan tunduk layu dengan seorang
berkelulusan Sarjana Muda (gagal memperoleh Sarjana) seperti JJ (?).
Jadi, bagaimanakah hala tuju Bahtera Ilmu Dewan Bahasa dan Pustaka mahu
dilancar dan dilayarkan memacu ke hadapan?


Kelemahan, ketidakbijaksanaan dan ketidakberanian KPDBP itu, memudahkan
cara bagi JJ mengambil kesempatan dalam kesempitan demi kepentingan
dirinya iaitu mendesak., menyerang, memburuk (sekali gus menghina) dan
merendahkannya. Hasil maksul daripada perancangan JJ meletakkan
pengurusan dan pentabiran DBP yang baru dibawah telunjuknya, maka akan
memudahkan perancangan liciknya berjalan lancar.


Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika JJ selaku PLP DBP yang sepatutnya
menggunakan kereta rasmi Proton Perdana Eksekutif (hanya selepas pekerja
DBP membuat bising, pada akhir Januari 2007 barulah menggunakan kereta
rasmi DBP) yang disediakan oleh DBP dalam tugas-tugas rasminya, ternyata
pada mulanya dia menolak untuk menggunakannya kerana beliau hendak
menggunakan kereta Mercedes Bens milik peribadinya, yang mana minyak, tol
dan mungkin alat ganti/service serta pemandu (sudahkan dilantik sebagai
pemandu kontrak oleh DBP?) ditanggung sepenuhnya oleh DBP. Yang jelas
sudah tertunai iaitu minyak dan tol ditanggung sepenuhnya oleh DBP.
Begitu juga pembiayaan service keretanya, juga dihantar bil kepada DBP.


Adakah semua tuntutan ini tidak bercanggah dengan Peraturan dan Dasar
DBP? Sedangkan berdasarkan peraturan kerajaan mahupun badan berkanun,
kenderaan rasmi sahaja yang layak mendapat kemudahaan minyak, tol,
service dan elaun pemandu. Jika tuntutan JJ dan pelaksanaan di atas
ternyata bercanggah dengan peraturan kerajaan, maka penulis memohon jasa
baik Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengambil perhatian dan melakukan
siasatan.


Tragedi ngeri yang sedang melanda DBP kini kerana JJ yang di tangannya
perahu dan pengayuh telah mengayuh DBP ke dunia pengurusan dan
pentadbiran semata-mata, serta membelakangkan ilmu yang menjadi teras
kebanggaan DBP iaitu Bahasa, Sastera dan Penerbitan semenjak berpuluh
tahun yang lampau.


Oleh yang demikian, wajarlah jika diuar-uarkan bahawa DBP kini ibarat
daun-daun kering yang berguguran di tepi-tepi jalan raya yang kemudian
akan disingkirkan ke dalam lori sampah oleh pekerja Dewan Bandarraya
Kuala Lumpur kerana tidak ada lagi manfaat yang dapat diharapkan darinya.


DBP kini bukan lagi menampilkan suara memperjuang, memartabat dan
mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, bahasa ilmu,
bahasa pendidikan, bahasa perpaduan, bahasa kebangsaan, bahasa
perdagangan dan lainnya, malah DBP makin terumbang-ambing dalam
aktivitinya yang semakin kabur.


Dengan yang demikian, tidak hairanlah jika bahasa Melayu hanya menjadi
bahasa ibunda untuk para pelajar di luar bandar. Sedangkan kebanyakan
masyarakat bandar dan kumpulan elit Melayu mulai bertukar corak dan warna
menjadi manusia Melayu sebelum dan sesudah merdeka iaitu pegawai Melayu
berwajah Inggeris (Malay Civil Service).


Kini wajarlah jika DBP berada di lembah kehancuran dalam arus
perkembangan politik ilmu semasa kerana JJ bukan menyumbangkan idea demi
menaikkan imej, martabat dan kekuatan DBP sebaliknya merudumkan DBP.
Contoh yang nyata apabila beliau mencadangkan (mengarah) menutup majalah
Dewan Agama dan Falsafat dan majalah Tunas Cipta (majalah ini dicadangkan
supaya diserah dan diberi geran kepada Pena menguruskan penerbitannya) .


Tetapi sayang seribu kali sayang, kerana campur tangan JJ lebih
mementingkan status quonya dan cita-cita besarnya, maka dia lebih
mengutamakan pengurusan dan pentadbiran DBP daripada masa depan DBP
sebagai bahtera ilmu. Ingatlah wahai JJ! Sesungguhnya kewujudan DBP
adalah atas perjuangan rakyat, ahli-ahli bahasa, sastera, budayawan,
sejarawan, agamawan dan penerbit dalam bahasa Melayu, bukan ahli
pengurusan dan pentadbiran.


Jika manusia pengurusan dan pentadbiran menjadi penentu masa depan DBP
bukan fungsi terasnya yang menjadi penentu, tunggulah saat zaman
kegelapan DBP akan menjelma. Dengan percaturan sedemikian, tentu kita
teringat akan sebuah hadith Rasullullah SAW yang bermaksud : jika kamu
melantik dan meletakkan seseorang pemimpin di tempat yang salah,
tunggulah akan saat kehancurannya.


Tragedi hitam yang menghitam DBP kini sebenarnya tidak pernah berlaku
dalam sejarah kepimpinan DBP sebelumnya. Maka tidak hairanlah, jika kini
pentadbiran DBP menjadi penentu kepada fungsi teras DBP. Yang sepatutnya
berlaku iaitu fungsi teraslah yang menentukan pentadbiran DBP.


Dalam hubungan ini, sepatutnya JJ yang pernah cari makan dan merempak
sebagai pegawai dalam bidang sastera dan penerbitan memahami Semangat
Akta DBP dan harapan bangsa Melayu. Tetapi oleh kerana sikap tamak,
haloba, rakus dan pentingkan diri sendiri, dia dengan sengaja membutakan
mata, memekakkan telinga dan menutup pintu hatinya.


Selain itu, kerana sikap dan corak kepimpinan keluarga 69
diimplementasikan di DBP, tidak hairanlan jika DBP kini yang dinahkodakan
oleh dua nahkodanya yang tidak sehaluan fikiran menyebabkan DBP semakin
hanyut dan hampir karam. Kesan daripada dua pengayuh yang berlainan
haluan, menyebabkan tidak ada keputusan kongkrit yang dapat membawa hala
tuju DBP dan perubahan paradigma warga DBP. Perubahan budaya kerja staf
DBP semenjak dipimpin oleh KPDBP yang baru dan JJ selaku PLP DBP, DBP
bukan menuju ke arah yang lebih baik.


Jadi, apakah fungsi Lembaga Pengelola DBP jika setiap keputusan yang
berkaitan dengan perjawatan dan lainnya di DBP harus merujuk kepada
Menteri Pelajaran Malaysia dan JPA? Untuk melantik TKPDBP pun harus
ditentukan oleh Menteri Pelajaran Malaysia.


Kalau demikian keadaannya, DBP tidak perlu ada Pengerusi Lembaga
Pengelola dan Lembaga Pengelola DBP sebab untuk menentukan keputusan yang
mudah ternyata diperpayahkan. Di sini menampakkan bahawa DBP sebagai jasad
yang berwajah badan berkanun yang tidak lagi memiliki hala tuju yang
jelas, ternyata benar.


Maka wajarlah jika kini DBP ibarat si buta kehilangan tongkat dan nelayan
kehilangan pengayuh. Kerana nahkoda DBP kini tidak memiliki visi dan misi
yang jelas, malah visi dan misi DBP yang sudah cukup stabil pun dilanggar
dengan sewenang-wenangnya sehingga fungsi utama DBP sebagaimana termaktub
dalam Akta DBP 1978 pindaan 1995 terhumbang ke belakang. Yang menjadi
keutamaan DBP kini iaitu pentabiran dan pengurusan. Sedangkan fungsi
terasnya itu bahasa, sastera dan penerbitan secara realitinya 'hidup
segan mati tak mahu'.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: