Saturday, October 01, 2005

[Malaysia] Undang-undang murtad sedang diperinci Peguam Negara

Undang-undang murtad sedang diperinci Peguam Negara
Malaysiakini, Sep 13, 05 5:06pm

Undang-undang yang lebih jelas mengenai kesalahan murtad dan ajaran sesat sedang diperincikan oleh Jabatan Peguam Negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Beliau berkata, kesalahan murtad masih belum lagi disahkan di bawahUndang-Undang Jenayah Syarie.

"Undang-undang itu sedang dikaji oleh Jabatan Peguam Negara," kata beliau mengikut laporan Bernama.

Dr Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas kekhuatiran masyarakat Islam di negara ini mengenai perbuatan murtad dan penularan ajaran sesat seperti ajaran "Ayah Pin" pimpinan Ariffin Muhammad di Besut, Terengganu.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) memberkas 21 pengikut Ayah Pin dalam satu serbuan pada 2 Julai lalu, tetapi Ariffin terlepas pada 2 Julai lalu.
Tidak "menggerunkan"

Julai lalu, Dr Abdullah dilaporkan sebagai berkata peruntukan undang-undang berkaitan hal murtad, kini sangat terbatas dan mungkin ianya tidak "menggerunkan".

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga perlu melihat pelbagai peruntukan yang ada bagi membolehkan tindakan yang sesuai diambil terhadap kumpulan ajaran sesat itu, termasuk mengkaji sekiranya tindakan itu boleh menimbulkan kekacauan dan perpecahan.

Dalam sidang media tersebut, Dr Abdullah turut membayangkan kerumitan dalam mengesahkan undang-undang itu kerana ia berkaitan dengan hal-ehwal jenayah keagamaan.

"Bagaimana hendak menentukan apa yang berlaku (sebenarnya) dan (tentukan)kesalahan mereka (benar-benar menyeleweng)," kata Dr Abdullah.

Katanya, undang-undang sedia ada yang digunapakai oleh JHEAT untuk mendakwa pengikut Ayan Pin, juga disifatkan "longgar" dalam soal pendakwaan ataupun hukuman.

No comments: