Saturday, October 01, 2005

[ABIM] ABIM dedah ajaran sesat Kumpulan Din/Pemuda Kahfi

SIARAN MEDIA ABIM

AJARAN DAN AMALAN KUMPULAN DIN/PEMUDA KAHFI
28 September 2005

Kenyataan media ini bertujuan untuk mendedahkan aktiviti sebuah gerakan ajaran menyeleweng yang bergerak melalui siri pengajian tafsir al- Quran. ABIM memandang serius isu ini kerana ianya melibatkan beberapa ajaran yang boleh menyebabkan umat Islam keliru dan terjebak di dalam sebuah lagi ajaran yang akan merosakkan masyarakat Islam. Gerakan ini memiliki potensi untuk berkembang dan disyaki sudah tersebar luas di dalam masyarakat Islam di Malaysia.

Pengenalan: Kumpulan ini pada peringkat awal melibatkan kelas pengajaran dan pemahaman al-Quran yang dilakukan secara tersusun dan rahsia. Berdasarkan maklumat bekas pengikut kumpulan ini, ramai di kalangan ahlinya terdiri daripada professional seperti doktor, jurutera, peguam, pensyarah dan pengaturcara. Sasaran yang berpotensi untuk didekati ialah kawan rapat secara individu yang menyebabkan ianya berkembang tanpa diketahui umum.

Kerahsiaan : Elemen kerahsiaan yang begitu tinggi dapat dilihat melalui tempat belajar yang berubah-ubah, transit kereta, menutup mata dalam perjalanan, eksploitasi (pada kadar yang tidak munasabah) kewangan atas nama pembelajaran Al-Quran. Kerahsiaan nama penyampai pengajian dan tidak membenarkan pengajian ini diketahui umum. Keahlian sesama ahli dalam gerakan juga dirahsiakan, malah mempunyai beberapa lapisan kepimpinan yang tidak dapat dikenal pasti. Mereka bergerak melalui sel-sel kecil dimana anggota antara sel ini tidak mengenali anggota sel yang lain dan tidak mengetahui nama dan maklumat penyampai dan pimpinan atasan.

Bayaran : Sebelum memasuki kelas tilawah, prospek dikehendaki membayar wang ‘taubat’ dengan nilai minimum RM 300. Ini adalah tambahan kepada RM 1000 yang telah dibayar untuk menyertai kelas ini sebagai pendaftaran awal, RM 60 bulanan, RM 70 untuk pembelian barang keperluan dan RM 3500 untuk bayaran melawat “Negara Islam”.

Modus Operandi : Cara pengajaran dilakukan secara abnormal seperti menutup mata, masa yang tidak menentu berdasarkan panggilan telefon, pertanyaan bertubi-tubi dan proses memerangkap peserta dengan idea ajaran dengan justifikasi ayat al-Quran yang ditafsir secara literal mengikut tujuan dan kepentingan gerakan ini. Bentuk nama, bayaran dan modus operandi juga boleh berubah-ubah mengikut keadaan tetapi bentuk asasnya sebagaimana yang sebutkan diatas.

Penafsiran Terhadap Agama : Gerakan DIN ini juga telah dipastikan bahawa mereka memberi maksud yang menyeleweng terhadap Al-Quran dan juga Hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Antara contoh pemahaman yang dibawa bahawa baginda Rasulullah s.a.w diertikan tidak lebih dari penyampai risalah Allah dan melaksanakan arahanNya, malah orang lain juga adalah rasul. Memberi pemahaman yang menyeleweng dalam melaksanakan ibadah, seperti tidak perlu solat jika berada pada zaman Jahiliyyah atau zaman Mekah, solat hanya di tempat yang aman. Mengeksploitasi kemampuan kewangan para ahli dengan mengenakan bayaran-bayaran tertentu termasuk yang berkala atas nama ‘Daulah Islamiyyah’.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melihat gerakan DIN ataupun Pemuda Kahfi ini disyaki tergolong sebagai ajaran sesat yang menyimpang dari ajaran Islam dan pegangan Ahli Sunnah wal Jama’ah. Tindakan untuk membendung kegiatan ini adalah memerlukan tindakan segera kerana:

[i] Modus operandi pergerakannya yang begitu berahsia dan mampu berkembang dengan cepat tanpa disedari masyarakat terbanyak.
[ii] Gerakan yang secara aktif dan agresif dalam menyampaikan ajaran agama yang terpesong dari pegangan sebenar dan menyesatkan orang ramai dalam perkara-perkara terpenting dalam agama Islam seperti ketuhanan dan kerasulan.
[iii] Gerakan yang menyemai sikap taksub kepada pemimpin dan arahan gerakan yang pasti menjadi ancaman kepada kestabilan politik dalam masyarakat dan negara.
[iv] Matlamat gerakan yang ingin membina sebuah negara Islam versi sendiri adalah bertentangan dengan undang-undang serta kekhuatiran kepada keselamatan negara.
[v] Perbuatan gerakan yang bertentangan dengan norma-norma sosial masyarakat seperti cara pengajaran tertutup, sanggup membohongi keluarga dan serta eksploitasi wang hasil pengajaran ini.

Oleh itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berharap agar :

Seluruh masyarakat Islam mengambil sikap berhati-hati memantau ahli keluarga didalam mengikuti pembelajaran agama terutama sekali berkait rapat dengan modus-operandi atau pendekatan yang telah dinyatakan ini. Kepada mereka yang telah terlibat atau baru mengikuti ajaran ini agar benar-benar menilai kembali pembabitan mereka dan berbincang dengan pihak yang berwajib serta alim ulama yang sedia ada. Memohon agar pihak dan individu yang mengetahui maklumat mengenai aktiviti yang sama dengan ciri-ciri diatas supaya dapat di maklumkan kepada pihak jabatan agama atau ABIM sendiri. Menggesa pihak jabatan agama dan pihak keselamatan agar memantau rapi aktiviti gerakan ini.
ABIM bersedia bekerjasama dan membantu dalam menangani isu ajaran seperti ini. Kerjasama dan perhatian seluruh pihak mengenai perkara ini amat penting untuk menjamin keharmonian dan kemurnian agama Islam.

YUSRI MOHAMAD
Presiden
---------------------------------------------------

Abim dedah ajaran sesat Kumpulan Din/Pemuda Kahfi
Wednesday, September 28 2005, Harakahdaily

Oleh SALMIYAH HARUN
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Hrkh) - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak keselamatan agar memantau rapi aktiviti agama khususnya ajaran dan amalan Kumpulan Din atau Pemuda Kahfi.
Berdasarkan modus operandi kumpulan terbabit, Abim juga yakin ajaran Kumpulan Din menyeleweng daripada ajaran Islam. Presiden Abim, Yusri Mohamad, dalam satu sidang media khas di Anjung Rahmat, Gombak, dekat sini hari ini, mendedahkan aktiviti Kumpulan Din atau Pemuda Kahfi yang bergerak melalui siri pengajian tafsir al-Quran.
"Abim memandang serius isu ini yang melibatkan beberapa ajaran yang boleh menyebabkan umat Islam keliru dan terjebak dalam sebuah lagi ajaran yang akan merosakkan masyarakat Islam," katanya. Menurut Yusri, kumpulan terbabit pada peringkat awalnya melibatkan kelas pengajaran dan pemahaman al-Quran yang dilakukan secara tersusun dan rahsia.
Katanya elemen kerahsiaan begitu tinggi dapat dilihat melalui tempat belajar yang berubah-rubah, transit kereta, menutup mata dalam perjalanan, eksploitasi kewangan atas nama pembelajaran al-Quran.
"Kerahsiaan nama penyampai pengajian dan tidak membenarkan pengajian ini diketahui umum, keahlian sesama ahli dalam gerakan juga dirahsiakan malah mempunyai beberapa lapisan pemimpin yang tidak dikenal pasti," katanya.
Dalam pada itu, Yusri juga mengesyaki kumpulan terbabit bermotif mengumpul dana memandangkan pengikut dikenakan yuran sehingga RM3,500 sebaik sahaja tamat pengajian mereka.
Jelasnya, kumpulan Pemudah Kahfi ini akan mengenakan bayaran sebelum memasuki kelas tilawah prospek (orang baru) dikehendaki membayar wang 'taubat' dengan nilai minimum RM300.
Tambahnya, wang 'taubat' itu adalah tambahan kepada RM1,000 yang telah dibayar untuk menyertai kelasnya sebagai pendaftaran awal, RM60 bulanan, RM70 untuk pembelian barang keperluan dan RM3,500 untuk bayaran melawat 'Negara Islam'.
"Kumpulan ini mensasarkan orang Islam sahaja, umurnya pula tidak tua dan tidak muda yang penting pengikutnya adalah orang bekerja dan mempunyai gaji lumayan," kata beliau. Beliau juga mendakwa ajaran ini pun sudah memasuki kampus-kampus institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Justeru, Abim menyeru umat Islam mengambil sikap berhati-hati memantau ahli keluarga dalam mengikuti pembelajaran agama terutama sekali berkait rapat dengan modus operandi atau pendekatan yang didedahkan.
Pengakuan sulit bekas ahli Pemuda Khafi
Seorang pemuda yang enggan mendedahkan identiti kerana dibimbangi dicari oleh pengikut-pengikut kumpulan terbabit yang dikatakan pergerakan mereka sungguh licik dan sistematik, bersedia membuat pengakuan kepada media.
Pemuda terbabit menceritakan bagaimana beliau terjebak dalam kegiatan kumpulan berkenaan tiga bulan yang lalu. Pada mulanya beliau telah diajak untuk memdalami ilmu agama Islam dan al-Quran oleh seorang teman lama waktu sekolah dahulu.
Katanya, bagaimanapun beliau tidak diberitahu tempat dan masa untuk mengikuti kuliah agama itu, sebaliknya akan dihubungi kemudian. Sebaik sahaja dihubungi, beliau akan dijemput oleh salah seorang pemimpin kumpulan itu dan di bawa satu tempat di Shamelin Perkasa selepas berpusing-pusing di kawasan itu untuk mengelak daripada ‘orang kafir’ nampak mereka.
"Kata pemimpin kumpulan ini, orang yang ada di sekelilingnya tidak kira Islam ataupun bukan, semuanya kafir," katanya kepada wartawan. Beliau juga menceritakan bagaimana dirinya boleh terdorong untuk mengikut ajaran berkenaan.

Beliau dibawa berjumpa dengan gurunya yang dikenali sebagai penyampai, pendamping, sponsor (orang yang menariknya mamasuki kumpulan ini) dan calon (dirinya sendiri). "Saya kena berhadapan ketiga-tiga guru itu, dan di sini proses indoktrinasi kepada saya berdasarkan tiga nisbah satu bertolak kepada keyakinan baru yang diperoleh prospek akan meneruskan pengajaran di sesi berikutnya," jelasnya.

Tambahnya, kelas pengajaran bermula dengan program 'brainwash' atau digelar 'pembasmian fahaman jahiliah' yang dilakukan selama enam bulan.
"Proses ini dinamakan Sistem pendidikan Iqra'/Islam (SPI) yang hanya boleh disertai setelah tamat sesi pengenalan (4 sesi dengan tema besar - masa yang diambil kurang daripada 2 minggu)," katanya.
Tegasnya, doktrin utama kumpulan ini berpandukan kepada empat tema besar antaranya, akidah, contohnya, pengertian kalimah syahadah pada frasa Muhammad ur-Rasulullah mereka memberi makna bahawa perkataan Muhammad bukan merujuk kepada Nabi Muhammad tetapi kepada umat, gerakan atau sesiapa sahaja yang menyebarkan risalah Islam.
Selain itu, katanya, konsep Nubuwwah (kerasulan/kenabian) yang pada mereka diyakini berterusan sehingga kiamat, selagi ada orang yang menyebarkan Islam maka orang tersebut adalah juga Rasul.
Tema yang kedua, katanya ialah Sunnah, seperti, sunnah pada mereka diertikan sebagai 'apa yang Muhammad buat setelah dilantik menjadi Rasulullah. Dan tema yang ketiga, kata beliau, ialah ibadah iaitu mereka berpendapat, solat terbahagi kepada dua jenis iaitu 'solat aktual' dan 'solat ritual'.

Katanya, menurut mereka 'solat ritual' adalah solat seperti biasa yang pada mereka hanya dijalankan di tempat-tempat aman dan suci seperti di rumah manakala 'solat aktual' adalah sebarang aktiviti dakwah atau pelaksanaan ajaran keislaman (ataupun tilawah dalam istilah mereka) yang dilakukan, pada mereka ini juga adalah solat.
Atas dasar solat inilah beliau mula berfikir bahawa ajaran mereka adalah sesat dan daripada sinilah beliau mula keluar daripada kumpulan terbabit. Beliau juga menyatakan antara dasar-dasar ajaran Kumpulan Pemuda Kahfi ini juga, rasul tetap diutus sehingga kiamat, wajib ikrar taat setia (bai'ah) kepada imam (pemimpin), dosa boleh ditebus dengan wang bergantung sama ada besar atau kecil jumlah wang ditentukan pemimpin, di luar kelompok mereka adalah kafir, membahagikan suasana persekitaran kepada zaman Makkah dan Madinah dan sekarang zaman Makkah maka syariat tidak perlu dijalankan.

Menurut pemuda itu, beliau telah dikenakan bayaran sebanyak RM1,360 sepanjang tilawahnya enam bulan dan ramai di kalangan ahli keluar dari kumpulan ini kerana tidak mampu untuk membayar wang 'taubat' itu. – lanh

No comments: