Saturday, October 01, 2005

[Malaysia] Isu mendepani orang Melayu - Daim


Isu mendepani orang Melayu
Utusan Malaysia, 20 Sept 2005

Petikan terjemahan ucapan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin semasa penganugerahan ijazah kehormat Doktor Ekonomi pada majlis konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-33, Sabtu lalu.

MEMBACA buku tulisan Munshi Abdullah, Pendita Za'aba sehingga kepada Dilema Melayu karya Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita diingatkan tentang ciri-ciri dalam hidup ini - kita telah mencuba untuk mencari punca kelemahan generasi Melayu kini.

Sudah pasti orang Sepanyol ada tabiatnya yang tersendiri, orang Itali pula memikirkan mereka terlalu romantik manakala Perancis pula terkenal amat bersemangat tinggi. Tetapi mereka berupaya mencuri perhatian mengenai diri sendiri memandangkan mereka berjaya.

Sepanyol misalnya berjaya menggamit lebih 60 juta pelancong setiap tahun. Itali bangga dengan jenama mewah mereka, Jerman pula melahirkan kereta-kereta yang `ada nama' manakala London pula akan menjadi tuanrumah Sukan Olimpik 2012 yang diputuskan di Singapura.

Melayu pula menjadi sasaran kritikan rakan daripada kaum sendiri. Barangkali PHD itu wujud dalam jiwa orang Melayu sebelum Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terfikir sekali pun. Perasaan hasad dengki ini adalah ciri-ciri atau sifat yang kejam. Ia adalah akar umbi kepada kelemahan. Suka akan kegagalan atau kelemahan seseorang. Mereka sangsi dengan golongan kaum peranakan `Melayu' yang berjaya, bahawa mereka ini separuh Cina atau separuh India dan sebagainya.

Jika kita asyik menuding jari kepada kehadiran kumpulan peranakan Melayu (bukan berdarah Melayu) yang berjaya, kita secara tidak langsung membayangkan bahawa Melayu dilahirkan untuk kalah. Segelintir Melayu mewarisi kepercayaan ini yang ditanamkan kepada mereka oleh masyarakat.

Dalam pada itu, apabila Tun Dr. Mahathir dan saya (pada satu tahap) berkempen supaya kerja keras, masyarakat industri dan perniagaan, usahawan berjaya, ia bukan untuk menukar seseorang itu mengimpikan menjadi usahawan.

Pentadbiran Dr. Mahathir kesemuanya adalah untuk kecemerlangan akademik dan kecemerlangan profesional. Kita semua percaya bahawa jika sesuatu itu dilakukan dengan betul, ia akan mewujudkan masyarakat mewah sekali gus membawa kepada perbincangan yang lebih besar mengenai polisi.

Sementara itu, masalah rasuah bermula dengan rasa cemburu bersifat peribadi dan angan-angan.

Ia bermula dengan ketidakupayaan untuk mematuhi konsep pendapatan dengan perbelanjaan.

Meminta suapan daripada usahawan Melayu yang mengabdikan seluruh hidupnya untuk meningkatkan perniagaan mereka adalah perbuatan amat dahsyat. Ia lahir daripada perasaan dengki dan ketidakupayaan untuk menerima kejayaan orang Melayu dan orang lain.

Sebaik sahaja anda berbelanja lebih daripada pendapatan yang diperoleh, dengan atau tanpa bantuan lain seperti kad kredit, anda tidak akan berdaya maju. Rasuah akan menyebabkan seseorang tidak dapat mengawal dirinya. Mereka akan terdedah kepada eksploitasi dan manipulasi, malahan ugutan.

Bagaimanapun, pendekatan sesetengah orang Melayu untuk membuat wang bukan seperti yang harus diluluskan oleh Harvard Business School.

Ia bukan seperti keadaan apabila kejayaan seseorang jiran itu memberi tekanan kepada anda. Bukan juga apabila pembelian rumah oleh rakan sekelas bernilai jutaan ringgit membayangkan kegagalan anda.

Bukan juga apabila UMNO, memberi tekanan untuk menceburkan diri dalam perniagaan.

Kejayaan sebaliknya benar-benar bermakna lebih daripada itu. Idea bahawa kejayaan itu berdasarkan kerja keras dan ketabahan tidak disebar luas.

Ini membawa kepada skim kejayaan segera. Itu angan-angan namanya. Seseorang itu perlu menjadi lebih baik, berimaginasi dan faham kerja-kerja atau hubung kait ekonomi.

Salah satu faktor dikatakan ialah memastikan pertumbuhan mapan di Amerika Syarikat (AS) dengan memberi semangat kepada rakyatnya.

Kita sepatutnya menganalisis perkara ini bukan meniru secara membabi buta. Orang Amerika membuat banyak wang daripada saham dan kegilaan Dotcom dan hartanah. Kita wajar mencontohi cara berurusan dan perjanjian dalam sahamdan hartanah.

Hartanah ialah asas aset. Sekali lagi orang Cina yang berduyun-duyun membeli rumah yang lebih baik.

Kemasukan dalam amanah pelaburan hartanah (REIT) akan menguatkan lagi sektor hartanah.
Pengagihan bumiputera dalam perumahan bagaimanapun kebanyakannya tidak diisi.

Nasib kebanyakan pemaju rumah golongan Melayu dalam pada itu berakhir atau gagal melaksanakan projek sehingga banyak projek terbengkalai dan mereka pula muflis.

Syarikat-syarikat yang gagal atau musnah tidak begitu baik untuk ekonomi. Itulah sebabnya masalah Melayu itu ialah masalah nasional.

Kerana itu situasi orang Melayu mendominasi kebimbangan nasional, hanya kerana jika mereka gagal, mereka akan mengheret orang lain bersama-sama mereka.

Dengan kata lain, sebarang perbincangan perlu melibatkan orang lain, bukan sahaja kaum Melayu. Adalah menjadi kepentingan setiap warga Malaysia untuk menyumbang secara membina kepada perbincangan.

Saya percaya jalan penyelesaiannya ada jika jumlah individu dan organisasi yang tidak menitikberatkan kepentingan diri sendiri itu ramai atau mencukupi.

Masyarakat amat memerlukan individu yang berkebolehan dan lebih penting berupaya untuk berfikir serta bersusah payah demi negara.

Karier ini tidak dibayar dengan gaji lumayan. Kumpulan pemikir ini barangkali tidak tinggal di rumah banglo yang dilengkapi kolam renang. Siapa yang mahu melakukan kerja-kerja berfikir ini? Di mana universiti dan para pengkaji?

Bagaimana orang Melayu boleh berfikir sedangkan mereka tidak membaca jurnal mengenai fakta, apabila majalah yang dijual dipenuhi dengan cerita mengenai hantu, pontianak dan orang bunian? Apabila masa lapang mereka dihabiskan dengan menonton Akademi Fantasia (AF)?

Setiap orang bercakap mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang selama ini lebih bertumpu pada penyertaan ekuiti orang Melayu.

Laluan orang Melayu miskin untuk berjaya bukannya dengan cara memiliki saham di KLSE (Bursa Saham Kuala Lumpur), kini Bursa Malaysia.

Tetapi adalah menerusi pendidikan. Ketaksuban dengan angka ekuiti telah memadamkan cerita sebenar kejayaan DEB. Sejumlah besar orang Melayu yang berpendidikan telah dihasilkan sejak tahun 70-an, mereka telah menyumbang kepada peluasan kelas pertengahan.

Masyarakat Melayu yang berpendidikan akan dapat membantu mewujudkan lebih ramai kelas pertengahan yang amat penting bagi kestabilan politik dan ekonomi negara.

Pemilikan
Pemilikan kuasa di kalangan Melayu juga meningkat. Seseorang itu hanya perlu berjalan menerusi gedung membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India untuk mengesahkan perkara ini.

Bolehkah cerita kejayaan ini dipertahankan khususnya ketika diperkenalkan meritokrasi di institusi pengajian tinggi? Pada pandangan saya, ia adalah isu yang lebih besar perlu ditangani berbanding penyertaan ekuiti.

Fasa semula jadi kedua bagi perubahan sosial dan ekonomi orang Melayu adalah hanya melalui pendidikan, bukannya penyertaan ekuiti. Anda perlu beri tumpuan pada pendidikan dan mereka akan mempunyai asas yang mencukupi untuk menyertai pasaran modal.

Melayu memiliki sejumlah bisnes di peringkat tinggi misalnya pemilik hartanah, perunding perhubungan awam, pengurus dana, perunding teknologi maklumat dan pengaturcara, selain perunding kejuruteraan.

Inilah hasil daripada pendidikan di bawah DEB yang melahirkan sejumlah profesional Melayu dan dihormati.

Isu pendidikan bagaimanapun tidak seharusnya terbatas kepada pendidikan tinggi kerana semua peringkat pendidikan lain juga sama pentingnya bagi kemajuan masyarakat itu.

Juruteknik peringkat pertengahan dan penyedia perkhidmatan juga sama penting. Seorang pemasang batu-bata yang berkelayakan adalah penting kepada pemaju sama seperti seorang jurutera. Adakah orang Melayu telah melahirkan tukang paip, juruelektrik, jurukimpal dan tukang kunci yang mencukupi? Apakah jenis institusi pendidikan yang kita perlukan untuk melahirkan bakat sedemikian?

Adakah Melayu melihat keperluan untuk bersaing? Apakah kita bersaing di Bangsar atau Cheras? Masyarakat telah mewujudkan perbandaran mewah seperti Shah Alam dan Taman Melawati selain Taman Tun Dr. Ismail sendiri.

Siapa yang menyediakan perkhidmatan di kawasan perbandaran seperti ini? Ia adalah dalam akar umbi ekonomi di mana seperti yang dimahukan oleh Melayu, bermula daripada kedai gunting rambut kepada toko-toko buku, ejen hartanah sehingga perniagaan makanan.

Dalam hal seperti ini golongan `mamak' memiliki caranya yang tersendiri. Mereka memperkenalkan cara berniaga 24 jam sehari, tampil dengan pemakaian seragam dan amalan bisnes yang moden.

Mereka melabur RM300,000 untuk gerai kecil Nasi Kandar, tidak lokek memasang skrin televisyen besar di pekarangan kedai dan bercerita mengenai penyenaraian di Bursa Malaysia.

Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, anda boleh lihat Melayu di JalanTuanku Abdul Rahman tetapi kebanyakannya adalah pembeli bukan penjual. Melayu gemar membeli. Lot-lot kedai yang paling mahal ialah di kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman/Masjid India. Tetapi siapa yang memilik kedai-kedai ini? Orang Melayu gemar membeli tudung dan baju Melayu. Siapa pemilik bazar pemborong di bandar seperti Nilai 3? Adakah kita mencari jalan pemasaran di era wujud pasar raya besar dalam jumlah yang banyak? Penjual sayur-sayuran kaum Melayu di pasar malam memiliki ruang kecil berbanding ruang berniaga orang bukan Melayu. Bolehkah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memikirkan bagaimana memasarkan keluaran pertanian tempatan di pasar raya besar? Di mana E-perdagangan dalam senario ini? Kita juga wajar menimbang `bandar perkhemahan' (tent cities) di bandar-bandar yang dekat dan memiliki akses mudah ke lebuh raya.

Berapa banyak pengalaman diperlukan sebelum mereka menceburi bidang perniagaan? Kemahiran asas perniagaan seperti rangkaian, hubungan dan modal diperlukan. Untuk menampung idea asas dan buah fikiran lain, bank perlu bantu campur tangan. Mereka perlu dipandu mengenai matlamat bersama dan pada masa sama diingatkan mengenai jimat cermat.

Kita perlu meneliti peranan bank dan kepentingan diri sendiri. Adakah kita menyimpan wang mencukupi untuk pendidikan anak-anak kita?

Adakah itu menjadi elemen penting dan dimasukkan dalam perbelanjaan isirumah?

Agama mewajibkan kita menunaikan fardu haji di Mekah apabila cukup wang atau dengan kata lain berkeupayaan.

Tetapi kenapa Melayu berjaya menyimpan duit untuk menunaikan haji, tetapi tidak ada dana sekali pun untuk memulakan bisnes kecil-kecilan.

Barangkali kita juga patut melihat semula soal atau cara kerjasama itu sendiri.

Sektor kerjasama Malaysia ialah lama dibangunkan. Terdapat banyak dana untuk tujuan itu. Kita ada tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji dan kerjasama lain seperti Koperasi Guru-Guru Melayu, Koperasi Polis dan sebagainya.
Merangsang

Ini merangsangkan ekonomi di peringkat akar umbi. Mereka mementingkan pelanggan lebih baik daripada syarikat kad kredit yang menekan supaya menambahkan jumlah hutang seisi rumah.

Tetapi kita juga perlu melihat ke mana arah masa depan kerjasama sebegini? Mereka menyediakan pinjaman rendah dengan meminimumkan hutang seisi rumah.A pakah mereka patut menggajikan lebih ramai pakar berbanding hanya pemegang amanah bekerja separuh masa bagi memperluaskan peranan mereka dalam perniagaan.

Dalam pada itu, kita tidak sepatutnya takut kepada persaingan. Ia sepatutnya menjadi kekuatan kita.

Sebaliknya pertama sekali kita perlu bersaing di kalangan Melayu itu sendiri, kemudian di antara rakyat Malaysia lain sebelum melangkah di persada dunia.

Persaingan global sedang menuju ke arah kita.

Adakah golongan kulit putih mewarisi yang lebih baik berbanding dengan kita. Apakah mereka lebih bijak daripada kita?

Latihan paling asas ialah bersaing sesama kita, di kalangan pelajar Melayu yang terbaik, profesional Melayu dan pensyarah-pensyarah Melayu terbaik.

Soal kroni dan politik di pejabat hanya akan menjatuhkan kita, Kita perlu untuk `tahu bagaimana' bukan `tahu siapa'.

Untuk berjaya kita memerlukan ilmu pengetahuan, kerja keras atau dalam erti kata bekerja dengan cara bijak.

Melayu boleh menjadi lebih baik dan melakukan yang terbaik.

Demi berjaya dalam persaingan, kita perlu berilmu pengetahuan dan bijak berdepan dengan pesaing.

Malahan, kita perlu berfikiran matang dan berwawasan.

Jika tidak boleh membawa semua kaum Melayu dari kawasan luar bandar ke Kuala Lumpur (KL) untuk melihat sendiri kemajuan dan pembangunan dan memberi contoh bagaimana mereka perlu bersaing, barangkali kita patut`membawa' KL itu sendiri kepada mereka.
Tumbuh pesat

KL telah tumbuh pesat dan menjadi kawasan yang cukup padat. Kita perlu menjadikan `KL kecil' di tempat lain supaya kemahiran disebarkan, kawasan mundur boleh berkembang, kanak-kanak di situ juga boleh bersaing dengan golongan (kanak-kanak) profesional yang ditempatkan di negeri-negeri.

Barangkali Melayu perlu keluar daripada zon selesa dan kawasan selamat di negara serta kampung halaman sendiri.

Apakah kita harus menggalakkan Melayu bekerja di luar negara? Terdapat sejumlah besar orang Cina, India dan Yahudi di seluruh dunia dan dibuktikan berjaya.

Hakikatnya, imigran yang ada di seluruh dunia kebanyakannya dibuktikan berjaya.

Eropah terdahulu membuktikan bahawa bekerja di kawasan luar negara menjadikan mereka berkembang dan membangun.

Penduduk Indonesia `menawan' Chow Kit. Apabila orang ramai berhijrah,mereka didesak agar bersaing dalam usaha untuk meneruskan kelangsungan hidup. Barangkali kita boleh menggalakkan graduan-graduan menganggur untuk ke luar negara.

Tetapi graduan-graduan ini apabila ke luar negara, tidak patut melupakan tanah air sendiri dan ibu bapa mereka. Dalam hal ini, universiti-universiti perlu memikirkan untuk membangunkan kursus untuk melahirkan eksekutif yang boleh bersaing di peringkat global. Kita juga ada banyak cerita kejayaan pelajar Melayu di persada antarabangsa.

Misalnya, jurutera petroleum Melayu dan ahli geologi amat diperlukan diAsia Barat. Mereka ini menerima pendapatan sehingga RM50,000 sebulan.

1 comment:

Susan bowman said...

BERITA BAIK SEMUA ORANG
Adakah anda berfikir untuk mendapatkan bantuan kewangan, anda serius memerlukan pinjaman segera, anda berfikir untuk memulakan perniagaan anda sendiri, anda berada dalam hutang, ini adalah peluang anda untuk mencapai hasrat anda kerana kami menyediakan pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, dan pinjaman korporat , Dan segala macam pinjaman pada kadar faedah 2%. kami adalah 100% syarikat pinjaman legit, kami menjamin semua pelanggan berharga kami bahawa mereka akan mendapatkan semua pinjaman individu dengan senyuman di wajah mereka.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi kami sekarang melalui e-mel:
Susanbowmanloancompany@gmail.com

dan anda juga boleh menghubungi kami di Whatsapp dengan Nombor ini
+12027538718