Tuesday, October 11, 2005

[Malaysia] Persoalan Di Sebalik Cadangan Penyenaraian TH Plantation

Persoalan Di Sebalik Cadangan Penyenaraian TH Plantation
Malaysiakini pada 10 Oktober 2005 melaporkan bahawa Tabung Haji (TH) digesa menimbang dengan teliti langkah menyenaraikan anak syarikatnya, TH Plantation Sdn Bhd di pasaran saham bagi menjaga kepentingan pendeposit dan kewibawaannya sebagai sebuah institusi Islam.

Gesaan itu dibuat oleh Teras Pengupayaan Melayu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Kedah. Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penyenaraian syarikat itu di bursa saham tidak menjamin modal terkumpul akan berkembang dan mendapat keuntungan. Dalam satu kenyataannya, beliau berkata, pembesaran modal melalui pasaran terbuka adalah berisiko tinggi dan ini terbukti dengan banyaknya syarikat awam yang mengalami kerugian.

Azmi menambah, penyenaraian di pasaran saham juga akan mendedahkan syarikat itu kepada punca-punca kewangan yang datang dari pelabur atau sumber-sumber yang tidak mengikut syarak. TH juga katanya perlu mengutamakan kepentingan penyimpan kerana kerugian dalam mana-mana pelaburan, akan memberi kesan kepada dividen yang dibayar kepada penyimpan. Sebagai contoh, katanya banyak tabung amanah saham negeri yang telah gagal mencapai keuntungan dan telah mendatangkan kerugian kepada pendeposit. “Teras mengambil perhatian serius terhadap isu ini kerana tujuan asal penubuhan Tabung Haji adalah untuk memastikan wang terkumpul tidak digunakan dalam pelaburan yang lari dari matlamat asal. Bantahan terhadap TH Plantation Sdn Bhd yang dibangkitkan dalam Parlimen perlu diberi perhatian serius,” katanya .
Bantahan ahli Parlimen
Pengumuman penyenaraian TH Plantation di Bursa Malaysia pada penghujung tahun ini dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan TH Datuk Mohd. Bakke Salleh pada 25 September 2005 lalu. Bagaimanapun, ia telah mendapat bantahan ahli-ahli Parlimen kerana mereka menganggapnya bercanggah dengan kehendak majoriti pendeposit TH.

Bagaimanapun, Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin bertegas untuk meneruskannya kerana berpendapat penyenaraian itu tidak menyalahi syarak. Sementara itu, bekas Pengerusi TH, Tan Sri Hanafiah Ahmad pula dilaporkan hari ini, turut melahirkan kebimbangannya terhadap cadangan menyenaraikan TH Plantation itu. Beliau khuatir penyenaraian anak syarikat TH itu akan menjejaskan peluang agensi itu mendapat tanah ladang dari kerajaan negeri dengan harga yang rendah.
Utusan Malaysia pada 7 Oktober 2005 melaporkan bahawa ahli-ahli Parlimen membantah cadangan penyenaraian TH Plantations dan mahukan langkah itu dikaji semula. Sambil menyifatkan TH merupakan "benteng terakhir" kepada pelaburan umat Islam di Malaysia, mereka berkata langkah itu merupakan pelanggaran kepada Akta Lembaga Tabung Haji.
Antara alasan bantahan ialah (i) tujuan akta jelas TH ditubuhkan bukan untuk dikongsi haknya dengan bukan Islam, (ii) tidak mahu TH terlibat dalam pelaburan berisiko tinggi dan tidak Islamik, (iii) bimbang TH menyimpang jauh dari tujuan asal penubuhan terutama untuk membantu jemaah haji.
Dr Junaidy Abdul Wahab (BN - Batu Pahat) berkata, ia juga merupakan pelanggaran kepada hak pendeposit umat Islam. "Penyenaraian adalah sebagai satu usaha mengasingkan TH Plantations daripada pemantauan, penyeliaan dan tanggungjawab secara terus Tabung Haji. Kegiatan ini merupakan satu pelanggaran hak pendeposit," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2006 di Dewan Rakyat. Katanya lagi, cadangan penyenaraian itu adalah untuk mendapatkan sumber kewangan melalui "initial public offering" (IPO) bagi rancangan pembesaran. Biasanya syarikat yang berhasrat menyenaraikan syarikat-syarikat mereka adalah untuk mendapatkan modal bagi membiayai rancangan pembesaran dengan menjual syer-syer dalam IPO. Tetapi Tabung Haji akan menjual atau menawarkan 75.5 juta syer yang sedia ada atau 38% daripada syer TH Plantations. Pada dasarnya, Tabung Haji mampu membiayai rancangan pembesaran memandangkan ia telah mempunyai kekuatan serta mengaut untung hasil kegiatan perladangan.
Beliau berkata, tujuan penubuhan Tabung Haji adalah untuk menjaga serta membina kekuatan umat Islam di negara ini dan merupakan "benteng terakhir" kepada pelaburan umat Islam di Malaysia. Sebarang hasrat, niat, percubaan dan perbuatan untuk berkongsi hak atau sumber atau kekayaan milik Tabung Haji hendaklah dirujuk kepada Parlimen atau Peguam Negara bagi mendapat mandat untuk membuat perubahan atau penambahan kepada klausa atau seksyen pada akta itu. Kita tidak mahu Tabung Haji terlibat dalam pelaburan yang berisiko dan tidak Islamik.
Pada 25 September 2005 lalu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan TH, Datuk Mohd Bakke Salleh memberitahu bahawa Tabung Haji yang akan menyenaraikan TH Plantations menjelang akhir tahun ini tidak menolak kemungkinan menyenaraikan juga anak syarikat hartanahnya, TH Properties Sdn Bhd.
TH Plantations dan TH Properties adalah dua daripada empat anak syarikat Tabung Haji yang diwujudkan selepas penyusunan semula yang dilakukan pada tahun 2002. Dua anak syarikat lain ialah TH Technologies Sdn Bhd yang terlibat dalam pembinaan dan TH Travel & Services Sdn Bhd, pengendali pakej haji dan umrah.
TH Plantations kini adalah pemegang pelaburan, penanaman kelapa sawit, pemprosesan dan pemasaran minyak sawit mentah (CPO), isirong (PK) dan buah tandan segar (FFB). Syarikat itu memiliki tanah ladang seluas lebih 16,227 hektar dengan 15,521 hektar ditanam sepenuhnya dengan 95% berada di peringkat matang selain memiliki tiga buah kilang minyak sawit. TH Plantations mampu mencatatkan hasil kewangan lebih baik tahun ini berbanding keseluruhan tahun 2004 iaitu sebanyak RM 145.7 juta.
Analisa Awal:
[1] Dari segi faktanya ialah Tabung Haji ingin menyenaraikan anak syarikatnya, TH Plantations, di Bursa Malaysia di penghujung 2005. Setelah disenaraikan, Tabung Haji akan terus menguasai 62% syer TH Plantations. Hanya 38% sahaja yang akan diapungkan (floated).
[2] Walaupun TH Plantations adalah anak syarikat Tabung Haji, tetapi kedua-dua syarikat tersebut adalah dua entiti yang berbeza. Tabung Haji diwujudkan di bawah Akta Lembaga Tabung Haji (1967) dan sebarang perubahan kepada mana-mana klausa di dalam Akta tersebut perlu dirujuk semula ke Parlimen. Tetapi sekiranya perubahan perlu dibuat kepada mana-mana anak syarikatnya (termasuk TH Plantations), hal ini tidak perlu dirujuk ke Parlimen kerana ia tidak melibatkan sebarang perubahan Akta.
[3] Tujuan penubuhan Tabung Haji dan TH Plantations adalah berbeza dan penyenaraian awam tidak akan merubah tujuan mana-mana syarikat. Tabung Haji akan dan perlu terus setia dengan objektif penubuhannya di bawah Akta Lembaga Tabung Haji. Sekiranya tujuan ini ingin dirubah, ia mesti dirujuk semula ke Parlimen. Manakala TH Plantations pula mempunyai tujuan penubuhannya yang tersendiri. Penyenaraian hanya merujuk kepada mekanisme mendapatkan modal untuk terus berurusniaga, bukannya untuk menceburi perkara-perkara lain yang tidak termaktub di dalam "M&A" (Memorandum and Articles of Company).
[4] Selama ini, semua pendeposit Tabung Haji akan menerima dividen tahunan yang berubah-ubah. Malah ada yang merungut apabila paras dividen yang diberikan Tabung Haji dirasakan sangat rendah. Rungutan ini sememangnya wajar kerana terdapat beberapa pelaburan yang tidak berkualiti. Tetapi penyusunan semula telah dibuat sejak 2002 dan urusniaga Tabung Haji kini bertumpu kepada 4 anak syarikat. Pada masa yang sama, Tabung Haji juga mempunyai pelaburan di dalam pelbagai instrumen sama ada menerusi pembelian bon, syer di Bursa Saham atau sebagainya. Falsafah pelaburan sebegini juga adalah wajar kerana ia mempelbagaikan risiko pelaburan. Difahamkan juga kesemua pelaburan Tabung Haji dikawalselia oleh sebuah jawatankuasa khusus.
[5] Hubungan antara TH Plantations dengan Tabung Haji tidak akan berubah setelah penyenaraian. Ketika ini, sebagai pemegang saham, Tabung Haji akan diberi dividen terhadap pelaburannya di dalam TH Plantations. Setelah disenaraikan dividen-dividen ini akan turut dikongsi bersama kesemua pemegang saham TH Plantations. Sebarang risiko urusniaga yang ditanggung oleh TH Plantations tetap tidak berubah sepertimana sekarang. Kalau tinggi risikonya, maka jika dan ketika tidak disenaraikan pun, risikonya tetap tinggi. Dan begitulah sebaliknya. Penyenaraian tidak mengubah risiko urusniaga dan pelaburan TH Plantations.
[6] Alasan yang mengatakan bahawa "penyenaraian syarikat itu di bursa saham tidak menjamin modal terkumpul akan berkembang dan mendapat keuntungan, serta pembesaran modal melalui pasaran terbuka adalah berisiko tinggi yang terbukti dengan banyaknya syarikat awam yang mengalami kerugian" tidak timbul kerana tanpa penyenaraian pun, mana-mana syarikat tidak dapat menjamin modal terkumpul akan berkembang dan mendapat keuntungan. Keuntungan mana-mana syarikat tidak bergantung kepada penyenaraian awam, tetapi bergantung kepada senario sektor tersebut. Dan dalam hal ini, keuntungan TH Plantations di masa-masa hadapan bergantung kepada keadaan sektor minyak kelapa sawit (palm oil industry).
[7] Penyenaraian awam mana-mana syarikat hanyalah untuk mendapatkan sumber kewangan bagi program-program pembesaran syarikat seperti peningkatan urusniaga, projek-projek baru, pengambilalihan syarikat dan sebagainya. Sumber kewangan dan pembiayaan bagi mana-mana syarikat lazimnya ialah pinjaman bank (bank loans) dan pembiayaan dari pemegang saham (cash calls). Penyenaraian awam akan memberi akses kepada syarikat tersebut untuk mendapatkan pembiayaan dari para pelabur awam (public investors). Perlu diingatkan juga bagi pinjaman bank, si peminjam perlu menjelaskan kos pinjaman (cost of debt) iaitu "profit rate" atau kadar faedah (interest rate). Bagi pembiayaan dari pemegang saham, si peminjam perlu menjelaskan pulangannya dalam bentuk dividen (atau "cost of equity"). Bagi pembiayaan menerusi penyenaraian awam, ia dijelaskan menerusi peningkatan modal (capital appreciation) atau dividen biasa di dalam Mesyuarat Tahunan (Annual General Meeting, AGM). Tetapi yang lebih penting, bagi kaca mata TH Plantations atau mana-mana syarikat yang disenaraikan ialah kemudahan mendapatkan sumber kewangan dan modal dari masyarakat awam.
[8] Dengan menyenaraikan TH Plantations ini, ketelusan (transparency) dan urus-tadbir (governance) syarikat ini akan dapat dipertingkatkan. Untuk memantapkan lagi sistem "check and balance", pertubuhan-pertubuhan masyarakat atau para "legislators" sendiri boleh turut memegang saham TH Plantations dan menasihati atau mengkritik pengurusan TH Plantations secara langsung, di samping menikmati dividen hasil pelaburan mereka di dalam TH Plantations. Setidak-tidaknya mereka akan dapat memastikan perjalanan urus-tadbir TH Plantations akan lebih baik.
[9] Kerugian yang dialami oleh tabung-tabung amanah negeri sepertimana yang ditimbulkan oleh sdr Haji Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) adalah satu isu yang wajar. Tetapi isu ini tidak berkaitan dengan penyenaraian TH Plantations. Kajian terperinci perlu dilakukan untuk mengenalpasti punca-punca kerugian yang dialami oleh tabung-tabung amanah ini. Tetapi secara kasarnya, barangkali punca-punca kerugian tabung-tabung amanah negeri ini tidak sama dari satu negeri ke negeri yang lain.
[10] Ada juga yang mengandaikan bahawa penyenaraian TH Plantations ini akan menyebabkan syarikat tersebut tetakluk kepada fenomena naik-turun bursa saham. Hakikat yang perlu difahami ialah fenomena ini adalah lumrah pasaran saham. Bagi pelabur jangka pendek, fenomena ini membimbangkan. Tetapi bagi pelabur jangka panjang, fenomena ini kurang penting kerana yang lebih penting ialah aspek-aspek fundamental seperti keuntungan syarikat tersebut atau prestasi sektor perladangan, umpamanya. Selama inipun, aspek-aspek fundamental ini tidak pernah dibincangkan di khalayak awam. Penyenaraian TH Plantations pastinya akan tertakluk kepada perubahan pasaran jangka pendek, sepertimana ratusan syarikat-syarikat lain yang tersenarai di bursa saham. Tetapi bagi TH Plantations, risiko ini hanya dibataskan kepada 38% pegangan syarikat tersebut. 62% lagi tidak tertakluk kepada perubahan pasaran saham.
[11] Moga-moga bantahan yang diberikan ini bukanlah hanya sekadar bantahan tanpa penelitian yang wajar setelah mendapat kefahaman yang menyeluruh. Perlu diingatkan juga urusniaga korporat secara terperinci tidak perlu dibahaskan di Parlimen. Parlimen bertanggungjawab mencartakan hala tuju sesuatu industri, tetapi bukan untuk campur tangan dalam urusniaga mana-mana syarikat di mana-mana negara. Ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya "conflict of interests" di antara para "legislators" dengan pengurusan syarikat tersebut. Mekanisme "check and balance" bagi pengurusan mana-mana syarikat sudah sedia ada. Dan menjadi tanggungjawab para "legislators" di Parlimen untuk memastikan sistem "check and balance" ini benar-benar mantap berfungsi. Adapun pengurusan syarikat-syarikat tersebut adalah tanggungjawab pengurusannya yang tertakluk kepada para pemegang sahamnya.
[12] Tidak timbul soal sama ada Tabung Haji ini merupakan "benteng terakhir" pelaburan umat Islam di Malaysia. Ini adalah kerana masyarakat Malaysia termasuklah umat Islam boleh melabur di dalam pelbagai instrumen kewangan Islam yang semakin mendapat berkembang subur di Malaysia. Bank Negara sendiri telah meluluskan lesen kewangan Islam kepada beberapa bank Islam antarabangsa. Sewajarnya penyenaraian sebegini perlu dilakukan sejak lama dahulu lagi!
Berdasarkan maklumat yang mampu dicari dari pelbagai media, inilah pendirian kita. Sekiranya ada maklumat-maklumat lain yang penting (significant and material), maka tidak mustahil sekiranya pendirian ini akan disemak semula.
WaLlahu A'lam.

No comments: