Monday, February 22, 2010

PENUBUHAN JAWATANKUASA BERTINDAK ADVOKASI SYARIAH MALAYSIA (JAWAB) DAN PENGANJURAN SEMINAR MEMARTABATKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH DI MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA

PENUBUHAN JAWATANKUASA BERTINDAK ADVOKASI SYARIAH MALAYSIA
(JAWAB) DAN
PENGANJURAN SEMINAR MEMARTABATKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH DI
MALAYSIA


Rentetan daripada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Joint Action of
Gender Equality (JAG) telah mengundang pelbagai reaksi serta respon
daripada pelbagai pihak yang mengganggap kritikan biadap mereka terhadap
pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Malaysia sangat melampau
serta menghina syariah Islam secara keseluruhannya. ABIM memandang serius
kenyataan tersebut dan telah mengambil sikap pro-aktif dengan membuat
laporan polis dan laporan di Jabatan Agama Islam daerah serta negeri bagi
mendesak pihak berwajib menjalankan siasatan terhadap kenyataan mereka
yang dianggap menghina ajaran Islam atau membuatkan ajaran Islam
dipandang hina khususnya berkaitan isu
pelaksanaan hukuman sebat di Mahkamah Syariah serta komen-komen mereka
terhadap undang-undang syariah secara keseluruhanya yang telah
dikeluarkan sebelum ini.

ABIM juga berpandangan bahawa kenyataan-kenyataan mereka yang menghina
bidang kuasa serta kredibiliti Mahkamah Syariah dan Syariat Islam secara
umumnya perlu ditangani secara serius oleh pihak berwajib agar tidak
timbul kekeliruan di kalangan masyarakat umum berkaitan pelaksanaan
undang-undang jenayah syariah di Malaysia serta memelihara kesucian
Syariat Islam. Oleh yang demikian ABIM dengan ini mengumumkan bahawa:-

Penubuhan sebuah jawatankuasa yang akan memantau isu-isu syariah di
Malaysia dengan lebih pro-aktif yang dikenali sebagai Jawatankuasa
Bertindak Advokasi Syariah Malaysia (JAWAB) yang berfungsi sebagai
jawatankuasa khas untuk memantau isu-isu syariah di Malaysia dengan lebih
pro-aktif dan berkesan.

Jawatankuasa ini juga akan bertindak sebagai badan penyelaras untuk
gabungan dengan NGO-NGO Islam yang lain terutamanya dari segi
gerakerja, maklumat dan kenyataan media secara bersama.

Menyediakan dan menjadi pusat maklumat bagi membolehkan
orang awam dan NGO-NGO lain untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan
terkini mengenai isu-isu syariah di Malaysia.

Menggerakkan program-program berteraskan kefahaman Syariah Islam demi
memahamkan masyarakat khususnya masyarakat Islam.

Menjadi platform utama bagi NGO-NGO Islam bergabung dalam
mendepani isu-isu syariah secara berkesan dan serius serta tidak reaktif
semata-mata.

Selanjutnya ABIM juga ingin memaklumkan bahawa lebih daripada 20 laporan
polis telah dibuat di seluruh ngara berkaitan kenyataaan JAG tersebut
serta laporan telah dikemukakan di Jabatan Agama Islam Daerah/Negeri di
seluruh negara. Di antara NGO-NGO Islam yang telah
mengambil tindakan proaktif tersebut adalah:

ABIM Selangor serta seluruh cawangan (11 laporan polis keseluruhannya)
Masjid Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor dan Surau At-Taqwa Tamu
Hill park, Batang Kali.
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
ABIM Pahang dan 14 NGO-NGO Islam Pahang
ABIM Perak

Terdahulu ABIM telah menyertai dan membuat kenyataan bersama dengan PGSM,
PPMM, ALKIS dan JIM pada 1 Oktober 2009 yang lalu berkaitan isu ini.
Berdasarkan laporan polis dan laporan yang dibuat ke Jabatan Agama Islam
tersebut, ABIM mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang
serius isu ini dengan menyiasat secara terperinci dan mendakwa
pihak-pihak tertentu yang didapati mencabar serta menghina Islam secara
khususnya.

ABIM juga akan mengusulkan satu memorandum khas berkaitan isu penghinaan
terhadap Islam ini dikemukakan dan dipersembakan ke bawah Duli Tuanku
Sultan di seluruh negeri di Malaysia memandangkan isu agama dan Mahkamah
Syariah adalah di bawah bidang kuasa Sultan di setiap negeri.

Bagi meneruskan misi Pencerahan Umat, ABIM komited untuk menggerakkan
seminar, forum serta pengisian bagi mewujudkan kefahaman di kalangan
masyarakat khususnya umat Islam sendiri berkaitan isu pelaksanaan
undang-undang jenayah syariah di Malaysia.

Siri-siri seminar untuk kefahaman dan mempertahankan undang-undang syariah
serta kedaulatan Mahkamah Syariah di Malaysia akan diadakan di
negeri-negeri berikut:-

Selangor pada 22 Oktober 2009
Kuantan, Pahang Darul Makmur, pada 25 Oktober 2009
Sarawak pada 14 November 2009

ABIM juga menyeru lebih banyak NGO-NGO Islam, orang
perseorangan serta sukarelawan-sukarelawan untuk menyertai JAWAB ini untuk
bersama memberikan sumbang saran bagi memantau isu-isu kedaulatan syariah
di Malaysia serta memastikan JAWAB akan lebih responsive serta pro-aktif
dalam menangani isu-isu syariah semasa dan konsisten dalam memartabatkan
syariah Islam di Malaysia.


Fadhlina binti Siddiq
Naib Presiden HELWA ABIM
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Advokasi Syariah Malaysia (JAWAB)

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: