Monday, February 22, 2010

Kenyataan ABIM Tentang Kes Penangkapan Dr Asri

Rabu November 4, 2009
Isu Dr. Asri: ABIM seru semua pihak bertenang

PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru semua pihak
agar bertenang dan membenarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
menjalankan tugas dalam isu penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri
Zainul Abidin.

Timbalan Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan berkata pihaknya meyakini bahawa
Mohd Asri akan diadili dengan sebaik mungkin mengikut undang-undang
Syariah Selangor.

"Kita seharusnya membenarkan pihak pentadbir agama seperti JAIS
melaksanakan tugas dengan bebas dan amanah.
"Jika sudah termaktub dalam enakmen peraturan yang sedemikian maka semua
pihak hendaklah menghormatinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Mohd Asri ditahan oleh JAIS di Taman Sri Ukay, Hulu Klang
kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.
Bagaimanapun, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor Isnin lalu
tidak mendakwanya, sebaliknya Mohd. Asri hanya dikenakan bon jaminan JAIS
sebanyak RM3,000.

Menurut Amidi lagi, pertembungan beberapa aliran pemikiran umat Islam di
Malaysia perlu ditangani dengan sebaik mungkin.

"ABIM mencadangkan satu majlis atau jawatankuasa meneliti perkembangan ini
bagi menjaga keharmonian dan perpaduan umat.
"Kita tidak mahu perbalahan ini menjadi semakin besar dan akhirnya merebak
sehingga ia menjadi tidak terkawal.

"Kita tidak mahu nanti umat Islam di Malaysia saling bercakaran kerana
mempertahankan pandangan ulama ikutan mereka menerusi pendekatan yang
sempit dan merugikan," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu surat tauliah bagi membenarkan
seseorang pendakwah itu menyampaikan dakwah di Selangor, beliau berkata
pandangan orang ramai perlu diambil kira mengenai kelulusan akademik.

"Kita tidak mahu soal ketegasan melaksanakan peruntukan enakmen akan
membuat dakwah Islam tersekat dan membeku, isu pentauliahan ini
memerlukan satu perhatian yang sewajarnya.

"Di sebelah pihak lagi, tidak rugi rasanya jika menundukkan rasa hormat
dengan memohon tauliah bagi memenuhi peraturan yang telah ditetapkan.
"Ia bukan satu perkara yang memalukan, sebaliknya ia akan menaikkan
martabat agama Islam di mata umat Islam... itulah yang seharusnya
berlaku," katanya.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: