Friday, January 11, 2008

Tambang bas sekolah naik 20%-Kerajaan BN Tak Boleh Harap

Utusan Malaysia : Tambang bas sekolah naik 20%

Oleh AU YEONG HOW

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Belum pun selesai masalah bayaran yuran tambahan
sekolah, ibu bapa di Lembah Klang kini menghadapi kenaikan tambang bas
sekolah sehingga 20 peratus berbanding kadar tambang tahun lepas.

Tinjauan Utusan Malaysia di Petaling Jaya mendapati bagi perjalanan tiga
kilometer (km), kadar tambang sehala meningkat daripada RM50 kepada RM60.

Di Bangi, tambang bas dilaporkan melonjak sebanyak RM5 untuk perjalanan
sehala. Jika dahulu ibu bapa membayar RM25 untuk perjalanan sehala sejauh
satu setengah kilometer, kini tambangnya naik kepada RM30.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Chee Ah Tey mengakui
sesetengah ahli persatuan itu menaikkan kadar tambang bas sekolah kerana
khuatir harga diesel meningkat dan bas sekolah yang berusia melebihi 12
tahun tidak dibenarkan disewa.

Menurut beliau, gejala itu berlaku di Lembah Klang sekarang dan beliau
bimbang ia akan merebak ke seluruh negara menjelang Februari dan Mac ini.

''Pihak persatuan memang tidak bersetuju dan menasihati ahli agar jangan
menaikkan tambang.

"Pertamanya, kerajaan belum mengumumkan sebarang kenaikan harga diesel.

''Keduanya, pihak persatuan menerusi bantuan Ahli Parlimen Kota Melaka,
Wong Nai Chee bercadang mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan isu sewa bas sekolah
itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas punca kenaikan tambang, beliau menjelaskan, para pemandu bas
sekolah tidak dapat mencari pendapatan tambahan melalui aktiviti sewa
kerana kebanyakan bas milik mereka telah berusia lebih 15 tahun.

''Mereka tidak berupaya menampung kos operasi dengan hanya bergantung
kepada tambang bas. Lebih-lebih lagi sekarang wujud spekulasi kencang
mengatakan harga diesel akan dinaikkan,'' ujarnya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri
Mohamed Khaled Nordin ketika dihubungi berkata, tindakan menaikkan
tambang tanpa kebenaran pihak berkuasa adalah menyalahi undang-undang.

''Jika dikesan berbuat demikian, Lembaga Perlesenan Kenderaan
Perdagangan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bas sekolah
yang ingkar,'' katanya.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: