Monday, January 07, 2008

Hindraf dikaji, Batu Burok diketepi : PM pilih kasih?

Dec 17, 07

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Hrkh) - "Dato' Seri Samy Vellu telah menyampaikan
kepada saya permohonan ibu bapa pemuda seramai 31 orang agar anak mereka
tidak ditahan serta dibebaskan dari tuduhan cubaan membunuh seorang
anggota polis semasa demonstrasi Hindraf di Batu Caves tempoh hari.

"Mereka juga sudah insaf serta berjanji tidak mahu lagi ikut serta
mana-mana perhimpunan Hindraf di masa akan datang kerana selama ini
mereka telah terpedaya. Dan saya meminta Peguam Negara supaya mengkaji
semula tuduhan keatas mereka."


Begitulah antara petikan dan ungkapan yang dianggap sebagai 'pilih kasih'
daripada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang disiarkan di berita TV
15 Disember lalu.


Kenyataan Abdullah mengundang pelbagai persoalan dan pertikaian ramai
pihak dan masyarakat khususnya pemerhati politik dengan pendekatan beliau
dalam menangani krisis yang berlaku.
Dua perkara bersabit yang menyebabkan dibangkitkan, pertama Abdullah
sendiri meminta Peguam Negara mengkaji semula pertuduhan ke atas 31
demonstran Hindraf, seolah-olah membuktikan PM sudah 'memperalat',
'memperkudakan' dan mempengaruhi sistem badan kehakiman.


Secara tidak langsung membayangkan Abdullah berkuasa sama ada mahu
mengekalkan tuduhan atau membebaskan siapa sahaja dengan berselindung di
sebalik kuasa eksekutiff sebagai Perdana Menteri sedangkan beliau dan
Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib pernah menyatakan tidak
sesiapapun boleh mengatasi undang-undang.


Implikasi kedua, dalam insiden Batu Burok, Trengganu yang hampir serupa
tetapi sedikit berbeza, dua mangsa keganasan dan tembakan peluru hidup
Muhammad Azman Aziz, 21, dan Suwandi Abdul Ghani, 38, dituduh cuba
mencederakan Lans Koperal Wan Abdul Aziz Wan Omar sedangkan tubuh mereka
berdua ditembusi peluru namun terpaksa meringkuk di dalam penjara kerana
tidak dibenarkan ikat jamin.


Jauh sekali untuk mendengar sama sekali Perdana Menteri berkata :"Dan saya
meminta Peguam Negara supaya mengkaji semula tuduhan ke atas mereka."


Sebelum ini anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam Mohd
Wahid Endut berkata, beliau agak terkilan dengan tindakan polis yang
menahan dua tertuduh pada awal pagi kerana mereka masih dalam rawatan
selepas ditembak malah tindakan mahkamah tidak membenarkan kedua-duanya
dijamin juga memberi tekanan kepada anggota keluarga masing-masing,
katanya.


Kamal Amir yang menulis di Malaysia Today juga berpendapat kenyataan
Abdullah (yang membela dan percaya 31 demostarn itu insaf) boleh diseret
kemuka pengadilan atas tuduhan "menghina mahkamah" kerana mengeluarkan
kenyataan berpihak "subjudice" sebelum mahkamah memulakan prosiding dan
membuat keputusan.


"Kalau benarpun mahu memenuhi permintaan Samy Vellu yang semakin
ketandusan pengaruh dari masyarakat India kenapa tidak didiamkan sahaja
tanpa diumumkan kepada khalayak," katanya yang dipetik daripada blog
tersebut.


Dalam pada itu, seorang penganalisa politik berpendapat, penangkapan
puluhan aktivis politik dalam isu Hindraf, Himpunan Bersih dan Batu Burok
disifatkan sebagai langkah mempertahankan survival politik Abdullah dan
tiada kaitan dengan unsur jenayah seperti yang didakwa memandangkan
Abdullah sendiri 'boleh berunding' dalam mengkaji semula pertuduhan
mereka.


"Tindakan itu mestilah disusuli dengan mengkaji semula ataupun membebaskan
semua yang terlibat dalam perhimpunan aman Bersih dan Batu Burok juga,"
katanya yang bersetuju dengan sikap Abdullah yang 'boleh bertolak ansur'.


Mengulas isu sama, dalam blog Roslan SMS turut membangkitkan persoalan
mengapa Presiden MIC dan Umno mahu menggunakan kedudukan mereka untuk
menganggu proses pendakwaan?


"Mengapa tiba-tiba Presiden Umno bersimpati dengan 31 ini? Mengapa tidak
bersimpati dengan anggota polis yang tercedera dan orang awam yang
terperangkap dengan angkara keganasan ini? Dan sejak bila pula atas
arahan PM seseorang itu boleh dikecualikan dari undang-undang sedangkan
Raja-raja Melayu pun boleh diseret ke mahkamah!," kata Roslan dalam
blognya.


"Bagaimana dengan kes di Batu Burok? Anggota PAS yang ditembak oleh polis
kini merengkok dipenjara sementara menunggu perbicaraan, mereka yang
ditembak tetapi mereka yang didakwa?," katanya


Beliau dalam blog n32.blogspot.com menganggap Abdullah dan Samy Vellu
tiba-tiba mahu meraih simpati masyarakat India, lalu kini mahu menjadi
juara pula memintas proses mahkamah untuk membebaskan 31 mereka yang
terbabit dalam perhimpunan Hindraf.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: