Monday, January 07, 2008

SPR perlu ambil pengajaran kekacauan di Kenya

Jan 05, 08

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) perlu
mengambil iktibar daripada kekacauan dan kemelut politik yang berlaku di
Kenya akibat hilangnya kepercayaan rakyat negara itu kepada badan
pengendali pilihan raya negara tersebut, kata Pengerusi Lajnah Perpaduan
Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Dalam satu kenyataan yang dimel-e ke pejabat Harakah, petang tadi, Mujahid
berkata, sebahagian rakyat Kenya yang tidak berpuas hati dengan kekalahan
calon mereka, Raila Odinga mendakwa suruhanjaya pilihan raya negara itu
'mencuri undi' dengan melakukan penipuan.


Kebangkitan rakyat Kenya dari etnik Luo itu, ujarnya telah memaksa Ketua
Suruhanjaya Pilihan Raya Kenya, Samuel Kuivitu, mengakui 'tidak pasti'
siapakah yang menang dalam Pilihan Raya Presiden negara itu.


"Kenyataan Kuivita itu mengukuhkan lagi dakwaan pengundi apatah lagi
pegawai-pegawai SPR Kenya mengaku bahawa adanya perubahan pada
dokumen-dokumen yang mereka terima," ujar Mujahid.


Kerajaan pimpinan Presiden Mwai Kibaki bagaimanapun menuduh Odinga
bertanggung jawab terhadap keganasan kaum dan mengetuai kempen
penghapusan etnik terhadap para penyokongnya dari etnik Kikuyu.


Odinga mempertikaikan keputusan pilihan raya Presiden 27 Disember lalu
mengakibatkan kekacauan berlaku dengan angka korban melebihi 300 orang.


Mengulas lanjut, Mujahid mahu insiden yang belaku di Kenya ini diambil
pengajaran oleh SPR Malaysia khususnya pengerusinya yang dipertikaikan
rakyat, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.


"Kalau Kenya yang aman boleh jadi huru hara kerana penyelewengan SPR-nya
dan kegagalannya untuk bersikap adil maka Malaysia tidak mustahil akan
huru-hara jika Tan Sri Abdul Rashid terus bersikap keras kepala dan bisu
kepada tuntutan Bersih (Badan Menuntut Pilihan Raya Besih dan Adil),"
katanya.


Menurut Mujahid, Bersih berusaha memastikan huru-hara tidak berlaku
kerana apabila pengundi merasakan undi mereka 'dicuri' SPR akan
dipersalahkan.


"Lebih buruk daripada itu, huru-hara akan berlaku kerana hilang
kepercayaan kepada SPR akan membawa kepada keadaan ekonomi yang lembab,
hilang FDI (pelaburan terus asing) dan membuka jalan kepada golongan yang
akan mengambil kesempatan dengan sikap chauvinist perkauman."


"Oleh itu SPR Malaysia mesti memandang jauh kepada masa depan pilihanraya
di negara ini," tegasnya.


Mujahid juga menasihati Abdul Rashid supaya tidak menjadi 'hamba golongan
tertentu' dengan sanggup menggadaikan keamanan yang dinikmati hari ini.


Malah Abdul Rashid, ujarnya mesti berterima kasih kepada rakyat Malaysia
kerana jika insiden di Kenya berlaku di negara ini, beliau tidak akan
berpeluang menerajui SPR selepas PRU 1999.


"Tapi yang peliknya Kerajaan BN meneruskan perlantikannya dan untuk
melakukan demikian Parlimen terpaksa meminda Perlembagaan bagi
melanjutkan tempoh perkhidmatan Pengerusi SPR semata-mata kerana Abdul
Rashid sudah melampaui umur persaraan," ujarnya.


Mujahid turut mengingatkan kerajaan BN dan SPR terhadap tuntutan Bersih
yang belum dipenuhi iaitu pembersihan daftar pemilih, akses kepada media
dan penghapusan undi pos.


"Saya mencadangkan Pengerusi SPR letak jawatan, bagi mengembalikan
keyakinan rakyat kepada sistem pilihan raya di negara ini kerana apabila
melihat apa yang berlaku di Kenya," tambah beliau.


Kenya adalah sebuah negara Afrika yang paling menikmati keamanan dan
kedamaian berbanding negara-negara lain di benua itu.


Namun keadaan ini tidak berkekalan apabila keputusan pilihan raya Presiden
yang menyebelahi calon menunggu, Mwai Kibaki dipertikaikan dan menimbulkan
kemarahan rakyat.


Huru-hara menguasai Kenya yang satu ketika dahulu mendapat jolokan negara
paling aman di Afrika.- tajdid -->


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: