Friday, January 11, 2008

Syed Mokhtar: Pesanan ibu bawa berkat

Syed Mokhtar: Pesanan ibu bawa berkat
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Oleh HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 10 Jan. - Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, 56, yang diumumkan
sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 akan sentiasa mengingati pesanan ibunya,
Sharifah Rokiah Syed Abdullah supaya menyumbangkan separuh daripada
pendapatannya bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, separuh daripada pendapatan pertama ketika membantu
bapanya, Syed Nor Albukhary berniaga lembu sebanyak RM1,500 ketika tahun
60-an telah diserahkan kepada ibunya yang kemudian memintanya mengagihkan
wang itu kepada 15 keluarga miskin di Alor Star, Kedah.

''Saya guna pesanan ibu itu supaya separuh daripada pendapatan diberikan
kepada orang kurang mampu, itulah yang telah memberikan saya keinsafan.

''Malah sampai sekarang, sumbangan kepada 15 keluarga tersebut terus
diberikan, kalau yang meninggal dunia diganti dengan orang lain.

''Tuhan sudah memberikan segala nikmat, semuanya saya dah rasa, apa lagi
yang kita mahu, maka nikmat itu perlu digunakan bagi faedah kepada orang
ramai terutama pelajaran," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1429 Peringkat
Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari
ini.

Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan
Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Melalui anugerah tersebut, Syed Mokhtar yang juga Pengerusi Yayasan
Albukhary menerima hadiah wang tunai sejumlah RM60,000 yang disumbangkan
oleh kerajaan manakala RM20,000 lagi oleh Yayasan Ubaidi.

Perniagaan

Syed Mokhtar yang berasal dari sebuah keluarga Arab Hadhrami kurang
berkemampuan di Alor Star kini merupakan ahli perniagaan bumiputera
terkaya di negara ini dengan harta bernilai RM4.16 bilion sebagaimana
dinyatakan dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes 2007.

Syarikat Kumpulan Albukhary yang dibangunkan oleh beliau kini terbabit
dalam beberapa industri utama negara antaranya pengangkutan, logistik,
utiliti, automotif, pertahanan, makanan dan perbankan Islam serta
kewangan.

Kumpulan tersebut menubuhkan Yayasan Albukhary pada 1996 sebagai sayap
kerja-kerja kebajikan dan menyalurkan dana bagi kerja-kerja amal yang
kini berkembang sebagai entiti amal global antaranya penubuhan Muzium
Kesenian Islam Malaysia dan Program Biasiswa Albukhary.

Sehingga 2006, yayasan tersebut menyumbang hampir RM1 bilion secara
langsung kepada usaha kebajikan termasuk menyertai proses membina semula
kehidupan pelarian Afghanistan, bantuan mangsa gempa di Pakistan dan Iran
serta mangsa bencana tsunami di Aceh, Indonesia.

Selain itu, yayasan tersebut sedang berusaha menubuhkan hospital AIDS di
Uganda, membantu kanak-kanak jalanan di Afrika dan merintis program
bantuan kemanusiaan bagi mangsa perang di Iraq dan Lebanon.

Menurut Syed Mokhtar, mengenangkan kejayaan yang dicapainya sekarang
daripada pesanan seorang ibu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi meminta beliau menyerahkan hadiah wang tunai yang diterimanya itu
kepada ibunya.

''Saya tanya pada Pak Lah nak buat apa dengan duit RM80,000 ini, dia kata
bagilah kepada ibu kerana dari situlah asal saya," katanya.


Kejayaan

Syed Mokhtar yang mengakui inilah kali pertama beliau mendedahkan kisah
hidupnya kepada media berkata, meskipun telah mengecapi kejayaan, beliau
sebenarnya hanya sekadar manusia biasa dan Yang Maha Kaya itu adalah
Allah.

''Daripada keinsafan itu, kita cari rezeki macam tidak ada hari esok, saya
usahakan sejak dari tahun 60-an dan telah melalui kepayahan dan kesakitan.

''Dan sehingga hari ini syarikat lori dan beras yang merupakan perniagaan
awal saya di Kedah masih terus beroperasi.

''Saya adalah anak kelahiran Dasar Ekonomi Baru (DEB), melalui bantuan
Mara serta UDA saya mengembangkan perniagaan tetapi melalui proses pahit
maungnya dahulu," katanya.

Jelas beliau, apabila mendapat rezeki yang banyak, ia digunakan untuk
kebajikan lebih 67,700 kakitangan Kumpulan Albukhary dan selebihnya bagi
membantu golongan kurang berkemampuan.

Syed Mokhtar berkata, kesempitan kewangan ketika zaman kanak-kanak
sehingga tidak mampu membayar yuran peperiksaan menyebabkan beliau kini
berusaha membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk mendapat
peluang pelajaran.

''Saya bersekolah setakat tingkatan lima tapi tak sempat ambil peperiksaan
kerana tidak mampu bayar yuran.

''Jadi, mengenangkan dulu saya tidak ada peluang, bila saya dapat peluang
dalam perniagaan saya fikir kena beri peluang pendidikan kepada mereka
yang tidak mampu," katanya.

Katanya, aktiviti kebajikan melalui Yayasan Albukhary diteruskan pula
melalui pembinaan Kompleks Albukhary di Alor Star yang berkonsepkan
pondok moden dengan dilengkapi masjid, rumah anak-anak yatim dan sekolah.

Selain itu katanya, yayasan tersebut yang dijana oleh syarikat Kumpulan
Albukhary turut menyediakan program tuisyen yang sehingga kini telah
melibatkan 22,000 pelajar kurang berkemampuan sejak empat tahun lalu.

Tambahnya, pihaknya kini sedang membina Universiti Antarabangsa Albukhary
yang dijangka siap penghujung 2009 sebagai tempat pelajar-pelajar
cemerlang kurang berkemampuan itu untuk menyambung pelajaran.

''Pelajar-pelajar kurang mampu itu kita beri peluang dengan kita gajikan
guru untuk mengajar mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris
dan alhamdulillah kebanyakannya dapat maju ke depan," katanya.

Katanya, hasil pesanan ibunya, beliau turut mengembangkan aktiviti
kebajikan kepada masyarakat minoriti Islam yang tertindas dan miskin di
luar negara dengan membawa pelajar-pelajar miskin tetapi cerdik untuk
menyambung pelajaran di sini.

Setakat ini, katanya, seramai 372 orang pelajar dari 47 buah negara
minoriti Islam sedang menimba ilmu di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM) di bawah tajaan Yayasan Albukhary.

Yayasan berkenaan juga menaja umat Islam kurang berkemampuan dari segi
kewangan bagi menunaikan ibadah haji serta memberikan bantuan pembinaan
masjid-masjid termasuk membiayai projek membaik pulih Masjid Negara di
ibu negara.

''Usaha membaik pulih Masjid Negara timbul apabila satu malam saya
'berpusing- pusing' (meninjau) kawasan sekitar Muzium Kesenian Islam,
saya dapati ia terang-benderang tetapi Masjid Negara gelap... macam mana
boleh macam ini," katanya.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: