Sunday, September 17, 2006

Resolusi Seminar WADAH 13 Ogos 2006

RESOLUSI

SEMINAR KEBANGSAAN KEDAULATAN

ISLAM DI MALAYSIA : ERTI DAN REALITI

anjuran

WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA

13 OGOS 2006



BISMILLAHIIRAMANIRRAHIM



Mukaddimah:



Seminar Kebangsaan yang bertemakan Kedaulatan Islam Di Malaysia: Erti Dan Realiti, anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) yang berlangsung di Hotel Equotorial, Bangi, Selangor, pada 13hb. Ogos 2006 / 19 Rejab 1427H, telah membahaskan keprihatinan para peserta seminar yang terdiri daripada kalangan ilmuwan, tokoh korporat, pemimpin-pemimipin masyarakat dan NGO terhadap beberapa isu Islam semasa. Justeru, isu-isu tersebut menggugat kedudukan ‘akidah, status syariat, serta peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan. Mengingat peri pentingnya umat mempertahankan kemurnian ajaran Islam sebagai satu amanah dari terus digugat oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab, maka para peserta Seminar pada hari ini telah menyepakati resolusi-resolusi berikut:



1.0: Konsep kedaulatan Islam yang jelas huraiannya di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah hendaklah menjadi asas kepada kedudukan dan penghayatan Islam di Malaysia. Justeru prinsip hakimiyyah dan siyadat’ul Islam hendaklah difahami dengan tepat dan dihayati sepenuhnya.



2.0: Peruntukan artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan hendaklah dipertahankan demi ketinggian status Islam dan sekaligus menghormati status Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Justeru, semua perkara yang berkaitan dengan hal ehwal Islam di Malaysia hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syari’ah sebagai badan kehakiman tertinggi di Malaysia.



3.0: Artikel 11 dalam Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan kebebasan beragama kepada masyarakat bukan Islam di negara ini hendaklah dihormati dan dipertahankan. Namun demikian peruntukan tersebut haruslah dibaca bersama dengan peruntukan lain dalam perlembagaan yang menjamin kedaulatan Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan.



4.0: Semua pihak yang bertanggungjawab dengan Islam hendaklah menjelaskan kepada warga Malaysia bahawa artikel 11 (4) dalam Perlembagaan Malaysia melarang masyarakat bukan Islam menyebarkan ajaran agama-agama lain kepada masyarakat Islam.



5.0 Menggesa semua Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan untuk segera menggubal enakmen/akta yang menghalang gerakan penyebaran dakwah agama-agama lain kepada umat Islam dan pihak berkuasa hendaklah melaksanakan enakmen/akta berkenaan dengan segera.



6.0: Kewajipan mendaulatkan syariat Islam secara komprehensif (syumul) di Malaysia adalah satu amanat Ilahi kerana Syariat Islam pasti memberi kesejahteraan, bukan sahaja dalam kehidupan masyarakat Islam secara khusus tetapi juga kepada seluruh warga manusia.



7.0 Justeru upaya mendidik masyarakat Islam dan bukan Islam tentang dinamika syariat Islam hendaklah ditingkatkan pada semua lapisan masyarakat dengan menggunakan pendekatan ilmiah yang berhikmah.



8.0 Menyeru kepada semua Raja-Raja Melayu supaya bersikap prihatin dan tegas terhadap bidangkuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan untuk mempertahankan kedaulatan Islam supaya tidak dimanupulasikan oleh mana-mana pihak.



9.0 Usaha menjelas dan mendidik masyarakat Malaysia. Muslim dan bukan Muslim dengan konsep-konsep Islam dan isu-isu berkaitan dengannya hendaklah dipergiat supaya mereka lebih faham, lebih rasional dan objektif demi menjamin keharmonian dan kesejahteraan masyarakat Malaysia. JAKIM, IKIM, YADIM dan institusi-institusi keagamaan lain hendaklah pro-aktif berperanan menganjurkan program-program yang bermanfaat dan berkesan kepada semua lapisan masyarakat Islam dan bukan Islam.



10. Memasukkan Islam dalam Perlembagaan Malaysia dan subjek Sejarah Islam (umum dan nusantara) sebagai sebahagian dari kursus hubungan ras di IPT awam dan swasta bagi membudayakan generasi muda Malaysia dengan realiti setempat.



11. Demi kelestarian hidup masyarakat Malaysia yang majmuk, maka dialog agama dan ketamadunan hendaklah ditingkatkan dalam kalangan cendekiawan dan para pimpinan masyarakat untuk mencari formula-formula berkesan bagi meneruskan keharmonian hubungan antara kaum yang unik di Malaysia.



Sekian, Wassalam.





Hotel Equatorial, Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan.

13hb. Ogos 2006 / 19 Rejab 1427H

No comments: