Sunday, September 17, 2006

Gubra didakwa 'hantar mesej' maksiat sebagai satu cara hidup

Gubra didakwa 'hantar mesej' maksiat sebagai satu cara hidup
Mon Aug 14, 06 05:37:54 PM
Oleh Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Hrkh) - Orang ramai dan pengkritik mendakwa 'Gubra' arahan Yasmin Ahmad yang muncul filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM-19) sebagai filem yang cuba 'menghalalkan' dan 'menerima' dengan senang hati perbuatan maksiat, di samping menyinggung sensitiviti umat Islam dan kaum lain.


Selain itu, mereka turut resah dengan unsur-unsur 'Islam liberal' yang cuba ditonjol dalam filem ini kerana ia dikhuatiri akan mengundang suasana tidak sihat, di samping membawa mesej bahawa agama dan sesuatu tindakan perlu dilihat dari sudut akal manusia semata-mata.


Mesej lain dalam filem ini yang mengelirukan ialah, walaupun sesuatu perbuatan itu salah, seperti melacur, bersekedudukan dan berpacaran tanpa batasan, atas dasar kasih sayang dan persetujuan akal sesama manusia, maka perlakuan sumbang tersebut perlu diterima dengan terbuka dan senang hati.


Sesetengah penonton yang ditemui berpendapat bahawa filem ini mepunyai 'agenda tersirat' kumpulan tertentu dalam memperjuangkan ideologi yang menjurus ke arah kebebasan hak individu untuk melakukan apa saja tanpa sebarang halangan dan wajar diterima oleh semua pihak kerana perbuatan tersebut sudah merupakan satu cara hidup yang tidak asing lagi di mana-mana sekalipun.


Dalam rancangan Fenomena Seni yang lalu, produser filem David Teo turut mengulas mesej filem ini yang dipetik sebagai berkata, sebagai pembikin filem, Yasmin perlu bertanggungjawab terhadap filemnya, ia bakal dijadikan warisan generasi akan datang.


"Yasmin perlu menghormati isu-isu sensitif seperti agama dan budaya. Yasmin perlu menjaga perasaan masyarakat pelbagai kaum di negara ini," katanya.


Dilaporkan juga para penonton yang menghubungi program itu berkata, cara penyampaian Yasmin tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia, malah sebanyak 59 peratus penonton yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bersetuju bahawa filem-filem Yasmin mencermarkan budaya Malaysia.


Seorang pengkritik filem dalam rancangan itu turut menyuarakan pandangannya bahawa Yasmin tidak memahami budaya sosial Malaysia yang sebenar.


Katanya, Yasmin secara jelas menerapkan budaya songsang yang boleh mengelirukan pemikiran penonton dalam filem-filemnya umpamanya kesan-kesan budaya yang dibawa Yasmin dapat dilihat pada watak Orked dalam Sepet.


"Orked sebagai perempuan Melayu digambarkan mempunyai didikan agama yang teguh tetapi dia hanya sesuai untuk seorang lelaki Cina penjual CD dan VCD haram yang boleh dikategorikan sebagai penjenayah," ujar beliau dalam rancangan itu.


Mengulas filem 'Gubra', pengkritik itu berkata watak bilal dan isterinya dalam filem tersebut begitu ramah dan mesra dengan pelacur yang juga jiran sebelah rumahnya, menunjukkan bahawa ianya tidak langsung menepati ciri-ciri seorang bilal.


Sewajarnya bilal tersebut, katanya memanggil pihak berkuasa untuk menangkap mereka (pelacur).


"Bilal jenis apa yang 'membenarkan' kegiatan maksiat berlanjutan di sekitar kejiranannya," tanyanya.


Seorang produser kontroversi pula dilaporkan berkata bahawa realiti kehidupan yang dibawa oleh Yasmin tidak berlaku di Malaysia.


"Ia semata-mata pengalaman yang dilalui oleh Yasmin, ertinya pengalaman pengarah filem itu bukan pengalaman majoriti rakyat Malaysia," katanya.


Lain pula pandangan wakil 'Sisters in Islam' yang dipetik sebagai mendakwa filem ini tidak langsung menyinggung atau menghina Islam malah mempamerkan sikap toleransi dan ketulusan perasaan.


Kemenangan 'Gubra' dianggap mengulangi kejayaan filem 'Sepet' karya Yasmin juga yang muncul sebagai filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-18 tahun lalu yang didakwa turut membawa mesej songsang dan mengelirukan.


Filem ini dipilih oleh panel juri FFM-19 yang diketuai Pansha selain Dato' Rahim Razali, Profesor Madya Dr Asiah Sarji selain dua juri luar negara iaitu Zairin Zain dari Indonesia dan Dr Liu Li Hsing (Taiwan). - lanh

No comments: