Sunday, March 12, 2006

Protes ditubuhkan untuk bantah kenaikan harga minyak

Protes ditubuhkan untuk bantah kenaikan harga minyak
Mar 08, 06
Zulkifli Sulong dan Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Hrkh) - Sebuah badan yang dinamakan Gabungan Protes Kenaikan Harga Minyak (Protes) ditubuhkan oleh parti politik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) semalam bagi menyusun aktiviti kempen membantah kenaikan harga minyak 30 sen oleh kerajaan baru-baru ini.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa telah dipilih sebagai jurucakap badan itu dalam mesyuarat pertama mereka semalam.

"Kita akan kumpulkan sebanyak mungkin pertubuhan untuk bersama-sama dalam kempen kita ini sehingga harga minyak diturunkan semula," kata Nasharudin kepada Harakahdaily.

"Slogan kita adalah Protes Sehingga Turun," kata beliau lagi tanpa menjelaskan maksud turun itu turun harga minyak atau Perdana Menteri yang turun.

Projek pertama Protes adalah mengadakan demonstrasi aman kedua di perkarangan KLCC bagi menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga minyak yang sangat tidak wajar ini.

"Kita sedang berusaha untuk kumpulkan lebih ramai penyokong yang akan turun dalam demo aman yang akan buat Jumaat ini. Kita harap 10,000 hingga 15,000 akan turun dari seluruh negara Jumaat ini," kata Nasharudin dalam sidang media khas hari ini.

Ketika ditanya, apa rasionalnya lebih ramai akan turun kali ini, Nasharudin berkata, perhimpunan Jumaat lepas diadakan seluruh negara sedangkan kali ini hanya dua sahaja iaitu di Kuala Terengganu dan KLCC.

Jumaat lalu, perhimpunan bantahan telah berjalan di Kota Bharu, Johor Bharu, Pulau Pinang, Alor Setar dan beberapa tempat lagi.

Ketika ditanya, apakah respon PAS terhadap kenyataan pemimpin kerajaan kononnya para peniaga yang menaikkan harga barangan ekoran kenaikan harga minyak sebagai pengkhianat, Nasharudin berkata, "Pengkhianat rakyat sebenarnya adalah kerajaan kerana kerajaan BN yang menaikkan dulu harga minyak yang menyebabkan harga barangan lain terpaksa dinaikkan untuk menampung kos baru yang dikenakan ekoran kenaikan harga minyak."

Peranan media

Katanya, beliau kesal dengan peranan media yang tidak memberi tempat yang sewajarnya di atas kenaikan harga runcit minyak sebanyak 30 sen sejak 28 Februari.

Katanya, ini kerana rakyat hanya tahu di sebelah! pihak sedangkan pandangan orang ramai tidak didedahkan.

Menurutnya, pihaknya akan menuntut supaya subsidi asal dikekalkan, harga minyak diturun dan jaminan supaya kerajaan tidak menaikkan tarif utiliti api dan air.

“Jika tuntutan ini tidak berlaku maka kita akan teruskan bantahan iaitu ‘protes sampai turun’ ” katanya.

Katanya mereka akan mengajak mendesak kerajaan menarik balik kenaikan itu dan juga akan meneruskan program pengedaran risalah sama ada di peringkat nasional ataupun negeri.
Sementara itu, Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli yang turut sama dalam sidang media tersebut berkata, demo tersebut bukan terhadap kepada parti pembangkang ataupun NGO malah Umno pun dialu-alukan.

Naikkan harga teh tarik

Kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah yang terkejut dengan kenaikan harga teh tarik ekoran kenaikan harga minyak dibidas oleh Bendahari PAS, Dr Hatta Ra! mli yang turut serta dalam sidang media oleh Nasharudin itu.

"Benarlah hujjah Abdullah itu kalau teh tarik menggunakan air sejuk dari paip sahaja tetapi teh tarik perlu dipanaskan dengan menggunakan gas yang telah dinaikkan harganya oleh kerajaan," kata Hatta.

Berhubung dengan polis yang tidak bertindak ganas dalam perhimpunan Jumaat lalu, Nasharudin mengucapkan terima kasih kepada polis yang disifatkan beliau sebagai menjalankan tugas secara profesional.

"Polis bertugas untuk menjaga keamanan. Jadi majlis itu tidak ada kekerasan dan kekecohan kerana polis bertindak berdasarkan fungsinya menjaga keamanan. Kita harap polis kekalkan profesionalismenya," kata beliau.

Pertemuan dengan PM

Sementara itu, sehingga kini PAS tidak menerima sebarang pelawaan atau panggilan dari ! Jabatan Perdana Menteri walaupun PAS sudah menyatakan kesediaannya untuk bertemu PM selepas PM menyatakan kesediaannya untuk bertemu PAS berikutan isu kenaikan harga minyak.

Nasharudin berkata, beliau telah membuat kenyataan semalam menyatakan kesediaan itu ekoran kesediaan Abdullah untuk bertemu PAS.

"Namun sehingga kini, tidak ada sebarang surat atau panggilan dari pejabat PM," kata beliau.
Sebelum ini, katanya, PAS telah tiga kali menghantar surat untuk bertemu PM tetapi tidak ada satupun yang dijawab PM.

Cadangan sakitkan hati rakyat

Berhubung cadangan dari Perdana Menteri agar rakyat berjimat dan melakukan kerja tambahan, Dr Hatta pula berkata, memang perkara itu telah dibuat oleh rakyat.

"Ramai kakitangan kerajaan sudah melakukan dua kerja dalam satu hari untuk menampung kehidupan mereka yang perit. Ada pegawai yang bawa teksi pada waktu malam selepas bekerja di pejabat kerajaan pada waktu siangnya.

"Mereka dah buat sebelum ini untuk hidup. Sebab itu saya katakan cadangan pemimpin Umno itu menyakitkan hati rakyat sahaja," katanya.

BN juga bantah

Nasharuddin pula menambah penentangan kenaikan harga minyak bukan saja di pihak pembangkang tetapi komponen Barisan Nasional pun diyakini tidak bersetuju.

“Kalau tidak takkan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat taklimat kepada ahlinya baru-baru ini, dan ini menunjukkan adanya bangkangan, malah bukan orang PAS saja yang membeli minyak ataupun mengguna gas orang Umno pun guna juga. Lainlah jika mereka masak dengan kayu api,” katanya lagi.

No comments: