Sunday, March 12, 2006

Najib: Penjimatan subsidi minyak bukan untuk selamatkan MAS

Najib: Penjimatan subsidi minyak bukan untuk selamatkan MAS
Malaysiakini, Mar 11, 06 2:46pm


Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan penjimatan daripada pengurangan subsidi minyak kira-kira RM4 bilion tahun ini tidak akan digunakan untuk "menyelamatkan" Penerbangan Malaysia (MAS) sebaliknya bagi meningkatkan sistem pengangkutan awam termasuk di luar bandar. Timbalan Perdana Menteri berkata wang itu juga tidak akan dibelanjakan untuk projek mewah kerajaan atau "menebus" mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menghadapi masalah.

"Ada cerita kononnya duit ini nak digunakan untuk selamatkan MAS, ada saya dengar daripada RM4 bilion ini, RM2 bilion nak bagi pada MAS. Saya nak nafikan. "Ini merupakan satu lagi fitnah yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya ketika sesi taklimat mengenai isu kenaikan harga minyak 30 sen baru-baru ini kepada anggota Kemas dari seluruh negara, di Putrajaya hari ini.

Menurut laporan Bernama, sebelum ini adala laporan menyebut MAS yang memerlukan kira-kira RM4 bilion bagi rancangan pemulihannya, memohon pembiayaan sebanyak RM2 bilion daripada kerajaan manakala RM1 bilion akan dikumpul daripada sumber-sumbernya sendiri dan RM1 bilion lagi daripada pasaran modal.

Najib berkata wang penjimatan RM4 bilion itu akan dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan wang amanah penambahbaikan sistem pengangkutan awam negara. "Dan melalui sebuah jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, diharapkan dalam masa yang terdekat ini kita boleh memperlihatkan perubahan pada sistem pengangkutan awam kita," katanya.

Ketirisan subsidi

Tanpa memberikan butiran mengenai apa yang sedang dirangka kerajaan bagi menolong rakyat, beliau berkata: "Sama ada kita nak usahakan lebih banyak bas lagi, nak usahakan supaya bas itu berhawa dingin, sama ada kita nak tambah monorel dan LRT. "Dan kita jangan lupa sistem pengangkutan di luar bandar dan sebagainya. Ini semua sedang difikirkan oleh kerajaan." Taklimat itu mencakupi pelbagai perkara yang ada hubung kait dengan kenaikan harga minyak 28 Februari lepas, termasuk pemberian pelbagai subsidi oleh kerajaan yang selama ini tidak disedari rakyat dan kesannya jika kerajaan tidak menaikkan harga runcit minyak berikutan lonjakan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Beliau menarik perhatian bahawa selain minyak, kerajaan terus memberikan subsidi bernilai berbilion ringgit kepada rakyat di bidang pelajaran, kesihatan, pertanian dan perikanan, makanan asasi, baja dan harga padi serta tol. "Sebenarnya subsidi yang dinikmati rakyat masih banyak lagi dan ia akan terus dipertahankan selagi kita mampu. Dan kami akan tambah lagi peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk kebaikan rakyat," katanya.

Beliau turut menyentuh "ketirisan" yang berlaku pada sistem subsidi yang menyebabkan golongan sasar tidak menikmati sepenuhnya kemudahan itu. Najib memberikan contoh bagaimana harga minyak lebih murah di Malaysia mendorong pelawat dari negara jiran mengisi minyak di stesen minyak tempatan dan berlakunya perbuatan mengaut untung dengan penjualan minyak bersubsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya menerima kemudahan itu seperti sektor industri.

No comments: