TERAS mendesak kerajaan agar  polisi baru yang berkaitan dengan anugerah tender yang kini berjalan di bawah kepimpinan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas semasa disemak semula.

Walaupun CEO Petronas  tersebut ada menyatakan mahu melakukan reformasi besar dalam pengurusan Petronas, namun perubahan polisi yang menyisihkan syarikat tempatan dan syarikat Bumiputera bukan perubahan yang dapat diterima.

Berdasarkan perkembangan terkini yang melibatkan penganugerahan konsesi Petronas kepada syarikat asing, peranan Petronas untuk meningkatkan penyertaan syarikat Bumiputera dalam industri minyak dan gas kini terjejas.

Perubahan dari polisi yang asal kepada yang baru dalam Petronas jelas tidak memenuhi aspirasi Petronas untuk membantu membina keupayaan syarikat kontraktor tempatan terutama syarikat Bumiputera untuk aktif dalam industri minyak dan gas.

Kami mengikuti perkembangan sebuah syarikat luar Technip yang telah membolot konsesi yang besar dari projek tanpa tender dan  tender tertutup Petronas sehingga banyak syarikat Bumiputera yang dahulu dapat turutserta dalam industri hiliran minyak dan gas kini tersisih.

Kami amat prihatin bagaimana sebuah GLC gergasi yang merupakan agensi tulang belakang ekonomi negara kini semakin menyisihkan peranannya untuk membantu Bumiputera untuk maju dalam industri berkenaan.

Kami mengesa bahawa kategori yang khusus untuk vendor Bumiputera sepatutnya diteruskan, bukan membatalkan pelesenan yang biasa untuk penyertaan syarikat Bumiputera seperti yang berjalan dalam polisi yang asal.

Petronas yang selama ini mewujudkan Program Pembangunan Vendor (VDP) tidak sepatutnya memberhentikan polisi ini malah harus diperkemaskan serta dikukuhkan.


Teras  tidak dapat menerima perubahan polisi di bawah kepimpinan Petronas kini yang memberi keutamaan kepada syarikat luar .

Kami dimaklumkan  Program Pembangunan Fabrikasi dihentikan untuk syarikat tempatan. Ini sangat bertentangan dengan dasar mengutamakan syarikat tempatan yang seharusnya diberi ruang dan peluang mengukuhkan keupayaan syarikat Bumiputera.

Soalnya apakah syarikat luar terjamin mampu melaksanakan program fabrikasi yang belum tentu sempurna berbanding jika ia diberi kepada syarikat tempatan?

Ternyata kepimpinan Petronas sekarang yang tidak menjiwai perjuangan memperkasa syarikat Melayu untuk industri penting dalam negara ini akan menjejaskan matlamat memperkasa syarikat Melayu. Kepimpinan pengurusan Petronas dengan ini harus disemak semula.

Jawatan 'Executive Vice President (Exploration and Production Bussiness)' hendaklah terdiri daripada orang yang mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam urusan industri minyak dan gas di kalangan kakitangan Petronas sendiri yang sekaligus memahami aspirasi Petronas.

Malah Pengarah Urusan dan CEO Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) milik negara yang bukan dari kalangan rakyat Malaysia seharusnya disemak semula kerana ada ahli profesional tempatan yang layak untuk menjawat jawatan strategik tersebut.

Keuntungan MMHE di bawah CEO yang ada sekarang semakin menurun sejak dua tahun kebelakangan ini. Oleh itu pihak pengurusan atasan Petronas harus menjelaskan kenapa ini boleh berlaku .

Kami berpandangan mereka yang menjawat jawatan kanan dalam pengurusan Petronas perlulah mempunyai komitmen yang tinggi untuk merealisasikan matlamat meningkatkan penyertaan syarikat Melayu dalam industri minyak dan gas.

Pengurusan oleh warga asing tidak menjamin kepentingan Bumiputera diutamakan seperti terbukti dalam pelaksanaan polisi baru yang kini sedang digunapakai oleh Petronas.

Pemberian konsesi kepada syarikat luar yang dipersoalkan kepakaran dan rekod pencapaiannya adalah sangat dikesali. Bukan sahaja Petronas telah mengenepikan syarikat tempatan malah ia telah mengadai khazanah negara kepada syarikat asing.

Jikapun syarikat Bumiputera tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi apakah pihak agensi yang berkenaan seperti Pemandu dan Mtem tidak boleh membantu meningkatkan keupayaan mereka melalui pengawasan yang rapi?

Pemberian lesen dan tender Petronas kepada syarikat tempatan sememangnya patut disaring dengan rapi tetapi kami berpendapat syarikat tempatan terutama syarikat Melayu tetap perlu diutamakan bagi memberi peluang kepada syarikat bumiputera untuk membangunkan kemahiran dalam sektor ini.

Kami yakin ramai anak Melayu yang sudah mampu mengendalikan operasi korporat gergasi seperti Petronas dan MMHE setelah sekian lama industri minyak dan gas bertapak di negara ini.

Teras juga mengingatkan anak-anak syarikat Petronas di luar negara yang berpotensi besar dan memberi keuntungan tidak dijual dan digadaikan memandangkan peluang ekonomi di peringkat antarabangsa semakin mengecil untuk diterokai kembali.

Teras menuntut supaya  Presiden/CEO Petronas mengambil perhatian terhadap isu-isu  yang dibangkitkan. Dasar membuka ruang kepada syarikat asing dan warga asing menguruskan industri minyak dan gas akan merugikan negara dalam jangka masa panjang.

Rakyat akan terus meletakkan tanggungjawab Ini kepada kerajaan jika wang Petronas dibolot oleh warga dan syarikat asing. Jika kerugian ini terus diselindung, rakyat akan menunjukkan amarahnya dalam piliharan raya umum ke-13.

*Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Teras

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.